27 June 2011

Soalan Jawab Lisan 16 Jun 2011

Minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan :-

a) Apakah cadangan melarang pembelian gula bersubsidi kepada semua pihak termasuk kecil dan sederhana telah dilaksanakan ; dan
b) Berapakah jumlah gula yang diimport oleh pengilang makanan dan minuman pada tahun 2010 melalui permit (AP).

Jawapan:

Kementerian menjelaskan penstrukturan semula pemberian subsidi gula kepada industri makanan dan minuman berskala besar secara berperingkat-peringkat telah dilaksanakan kepada 13 syarikat pada 1 januari 2011 bagi mengurangkan tanggungan bebanan Kerajaan. Langkah ini adalah wajar bagi memastikan peruntukan yang disediakan mencukupi untuk menampung subsidi gula kepada pengguna domestik selain melaksanakan liberalisasi subsidi gula secara berperingkat.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk liberalisasi subsidi, kerajaan telah memutuskan untuk mengecualikan 13 syarikat makanan dan minuman berskala besar yang purata penggunaan gula melebihi 500 metrik tan sebulan daripada membeli gula bersubsidi. Perlaksanaan pengecualian pembelian gula oleh industri akan memberikan penjimatan kepada kerajaan sebanyak RM128 juta setahun.

Cadangan pengecualian pembelian gula bersubsidi kepada semua pihak industri termasuk kecil dan sederhana akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat supaya tidak membebankan pihak industri dan pengguna akibat peningkatan harga produk akhir.

Pada tahun 2009, KPDNKK telah melaksanakan larangan pembelian gula bersubsidi oleh syarikat yang menghasilkan produk untuk dieksport. Bagi tujuan tersbut, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersetuju membenarkan pembukaan permit import (AP) gula kepada pengilang makanan dan minuman mulai tahun 2010.

Walaubagaimanapun, tidaka permohonan mendapatkan permit import diterima pada tahun 2010. bagi tahun 2011, dua syarikat telah diluluskan permit import (AP) gula iaitu

1. Malaysia Milk Sdn Bhd (300 metrik tan setahun)
2. Able Dairies Sdn Bhd (10,000 metrik tan setahun)

Soalan Jawab Lisan 14 Jun 2011

Minta Menteri Kerja Raya menyatakan :-

a) Tindakan mengatasi keretakan di bahagian pier head yang menyokong jambatan sepanjang 1.7km. Projek Jalan Lingkaran tengah 2, Pakej II (MRR2) yang telah diperbaiki pada tahun 2006 dan sekali lagi pada 2008; dan
b) Adakah kegagalan 3 tendon CFRP berpunca dari kelemahan dalam kerja kejuruteraan reka bentuk dan kerja binaan.

Jawapan :

Kementerian Kerja Raya melalui jawapan bertulisnya mengesahkan pada bulan Ogos 2008 telah mengesahkan kerosakan yang berlaku di rasuk silang jejambat di pier 28, Jalan Lingkaran tengah 2 (MRR2) di Kepong. Dalam pada itu kementerian juga berpendapat ia berpunca dari tindak balas kimia disebabkan oleh pemilihan tendon pra tegasan yang tidak bersesuaian dengan iklim persekitaran iaitu dari jenis Carbon Fibre Reinforced Polymer (CFRP).

Sehubungan dengan itu, JKR telah memutusakan untuk mengantikan tendon dari jenis CFRP tersebut kepada tendon pra tegasan dari jenis keluli. Kerja-kerja pembaikan di pier 28 itu telah dimulakan pada 5 November 2009 dan siap pada 12 Disember 2010. Kos kerja-kerja pembaikan tersebut termasuk pemasangan rangka pengikat dan jaring keselamatan di tiang-tiang jejambat lain ialah sebanyak RM3 juta dan ia dilaksanakan oleh syarikat Bridgex Sdn Bhd. Manakala tender untuk mengantikan tendon bagi baki 25 tiang jejambat yang lain telah ditawarkan kepada syarikat yang berkelayakan dan kini sedang dalam peringkat penilaian harga oleh JKR.

Anggaran kos pembaikan ini ialah sebanyak RM45 juta dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan, perlaksanaan projek pembaikan ini akan dimulakan selewat-lewatnya pada bulan September 2011.

Dalam pada itu Kementerian Kerja Raya juga telah memfailkan kes tuntutan ganti rugi membaiki keseluruhan kerosakan jejambat MRR2 ini terhadap kontraktor utama di Mahkamah tinggi. Sehubungan itu, punca keretakan sebenar jejambat MRR2 di kepong ini tidak dapat diberikan kerana ia dianggap sebagai subjudice, walaubagaimanapun kementerian ini telah mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan jejambat berkenaan terlebih dahului tanpa perlu menunggu keputusan kes dari mahkamah. Ini bagi memastikan tehap keselamatan pengguna sentiasa diberikan keutamaan berbanding tuntutan kerugian kos yang masih lagi dalam status pengurusan kes oleh pihak mahkamah.

16 June 2011

Soalan Jawab Lisan 15 Jun 2011

Kementerian Sumber Manusia menyifatkan peruntukkan sebanyak RM90 juta yang diluluskan pada tahun 2009 adalah tidak mencukupi serta menjelaskan peruntukan ini hanya dapat menampung 7,000 pelatih sahaja dari jumlah pelatih yang diunjurkan.

Menteri Sumber Manusia yang soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Telok Kemang, Dato' Kamarul Baharin Abbas yang mahukan penjelasan dari kerajaan berhubung atas alasan apakah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) meluluskan pinjaman sebanyak RM145.4 juta pada tahun 2009 sedangkan kerajaan hanya meluluskan RM90 juta.

Dalam pada itu Kementerian Sumber Manusia menjelaskan PTPK telah meluluskan penggunaan dana pusingan (Pungutan bayaran Balik) bagi menampung sebahagian keperluan tersebut iaitu sebanyak RM55.4 juta sebagai memberi peluang kepada 12,205 pelatih iaitu 50 peratus daripana unjuran untuk meneruskan latihan kemahiran yang diikuti pada tahun 2009.

PTPK yang diwujudkan pada tahun 2001 dan telah diperbadankan pada tahun 2006 melalui Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 adalah bagi membantu pelatih latihan kemahiran mengikuti latihan di 296 Penyedia Latihan yang berdaftar dengan PTPK, mereka ini akan mengikuti kursus Persijilan Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5 yang meliputi 12 kemahiran.

Berdasarkan unjuran dan kapasiti Penyedia latihan, sekurang-kurangnya sebanyak RM350 juta adalah diperlukan oleh 296 Penyedia Latihan berdaftar dengan PTPK untuk membiayai 25,000 pelatih latihan kemahiran setiap tahun khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Kementerian juga memjelaskan dana pusingan tidak mampu menampung keperluan pembiayaan kepada pelatih yang meningkat setiap tahun disebabkan oleh pungutan bayaran balik yang masih rendah serta menegaskan kementerian masih memerlukan peruntukkan tahunan daripada kerajaan untuk menampung keperluan bagi melahirkan pekerja mahir negara.

Kesimpulan :

Kebiasaan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan adalah mengikut apa jua kertas kerja yang telah dikemukakan oleh kementerian terbabit, adakah setiap tahun kemenenterian tersebut tidak peka dengan segala kos-kos tambahan, jelas terdapat kelemahan dalam pentadbiran peruntukkan dalam Kementerian Sumber Manusia dan ini perlu pemantauan sepenuhnya dari kerajaan agar kos penggunaan wang rakyat tidak dibazirkan begitu sahaja.

08 June 2011

Buku Jingga (Siri 2)

NEGARA DALAM KRISIS

Krisis Ekonomi

Ekonomi negara terus kekal di takuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur 1997/98. Selepas sedekad berdepan dengan kelesuan ekonomi, Malaysia kini ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura sementara kita juga diancam oleh jiran serantau seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Jawapan pentadbiran sedia ada kepada kemelut ekonomi ini adalah dengan menabur janji-janji melalui kempen slogan yang menelan belanja ratusan juta wang rakyat.

Rakyat disajikan dengan pelbagai perancangan ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Kerajaan (PTK), Program Transformasi Ekonomi (PTE) dan lain-lain yang sebenarnya tidak keluar dari kebijakan ekonomi yang digunapakai selama ini.

Program-program ini masih bersandarkan kepada keborosan membelanjakan wang rakyat untuk membina projek-projek mega tanpa ada keikhlasan untuk melaksanakan reformasi ekonomi yang diperlukan negara.

12 tahun berturut-turut kerajaan Malaysia mengalami belanjawan defisit.
10 tahun berturut-turut Malaysia gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi.
4.7% purata pertumbuhan ekonomi 2001 – 2005, sedangkan sasaran adalah 7.5%.
4.2% purata pertumbuhan ekonomi 2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6%.
KDNK negara adalah lebih kecil dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah ia berlaku.

325 bilion ringgit wang PETRONAS diambil antara tahun 2007 hingga 2010. Ini bermakna purata setahun adalah 81.25 billion ringgit.
53.3% adalah kadar hutang negara berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998.
3 kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh wang PETRONAS dan hutang, dari RM68 bilion (1998) kepada RM214 bilion (2010).

Kerosakan Institusi Negara

Institusi-institusi negara rosak akibat dari campur tangan penguasa. Kewibawaan badan kehakiman terhakis. Salah laku hakim-hakim yang dibongkarkan dan diketahui umum menyebabkan rakyat dan masyarakat antarabangsa hilang keyakinan terhadap institusi kehakiman.

Malah, amalan mencampur-adukkan kepentingan politik penguasa dengan pentadbiran negara untuk memberi kelebihan kepada parti yang berkuasa semakin menjadi-jadi.

Jika integriti institusi-institusi utama negara tidak dipulihkan, bahana kepada negara dan rakyat adalah berganda. Selain ketidakadilan yang berleluasa di dalam masyarakat, sebarang usaha untuk membaiki imej Malaysia di mata pelabur asing juga akan terus cacat dan tidak berkesan.

Malaysia jatuh 26 anak tangga dalam indeks integriti institusi awam dalam laporan Daya Saing Global oleh World Economic Forum dari tahun 2007 ke 2009

Ketegangan Masyarakat Pelbagai Kaum

Pemerintah sedia ada mengambil jalan tidak bertanggungjawab memecah belahkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum untuk terus kekal berkuasa. Taktik pecah dan perintah yang diwarisi dari penjajah ini semakin menjadi-jadi sejak tsunami kebangkitan rakyat 2008; menggambarkan tingkah laku penguasa yang akan menggadaikan keharmonian masyarakat pelbagai kaum apabila semakin terdesak.

Rentetan peristiwa berbaur perkauman yang berlaku sejak Mac 2008 akibat permainan politik perkauman sempit UMNO/BN mengancam persaudaraan rakyat pelbagai kaum.
Kegilaan menggunakan isu-isu yang mengapi-apikan perasaan curiga antara kaum dan menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa semakin menjadi-jadi mutakhir ini kerana penguasa yang terdesak.

Bebanan Rakyat

Kelesuan ekonomi dan kegagalan pentadbiran sedia ada melonjakkan ekonomi ke prestasi lebih tinggi membawa kesan yang mendalam kepada rakyat. Gaji yang tidak meningkat menyebabkan kuasa beli rakyat berkurangan, apatah lagi dalam suasana kos sara hidup yang makin meningkat.

2.6% purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000 – 2010, berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia (termasuk negara-negara miskin).

4% penurunan kuasa beli pengguna jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun 1990 dan 2009.

40% dari rakyat Malaysia berada dalam lingkungan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia.

3 dari 4 keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputra.

34% dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran dibawah paras kemiskinan.

62% dari jumlah RM39 bilion bayaran subsidi dan pampasan yang ditanggung kerajaan setiap tahun adalah subsidi kepada sektor korporat (penjana bebas, konsesi lebuhraya).

RM4 bilion adalah subsidi makanan (gula, gandum, beras) yang cuba ditarik balik UMNO/BN, berbanding RM19 bilion subsidi gas kepada penjana bebas dan RM4 bilion pampasan kepada konsesi lebuhraya setiap tahun.

RM19 bilion subsidi diberikan kepada penjana bebas milik kroni setiap tahun, berbanding hanya RM11 bilion subsidi minyak kepada rakyat yang cuba ditarik balik.

RM11 bilion hutang peribadi yang ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia, paling buruk di Asia.

Hak Rakyat Dinodai

Peristiwa salah guna kuasa yang memangsakan rakyat berleluasa. Insiden-insiden yang melibatkan remaja ditembak polis semakin meningkat dan merangkumi mangsa dari pelbagai kaum.

Kebebasan rakyat untuk berkumpul dan menyatakan pandangan mereka juga disekat dari pelbagai arah; baik yang melibatkan rapat umum mahupun di laman internet. Ada ura-ura pentadbiran sedia ada mencari jalan untuk mengetatkan kawalan mereka terhadap internet, memandangkan ia satu-satunya jalan yang berkesan menyebarkan maklumat alternatif kepada rakyat.

Tindakan-tindakan penguasa sebegini tidak menggambarkan niat sebuah kerajaan yang menghormati kebebasan rakyat dan menjaga kehormatan rakyatnya. Kekangan dari pihak berkuasa berterusan dan tidak ada tanda-tanda akan berubah dengan sendiri.

Gejala Rasuah Berleluasa

Rasuah adalah barah utama yang menghancurkan negara dan bangsa dari dalam. Gejala rasuah yang berakar menjadi halangan kepada usaha-usaha untuk menyuntik dinamisme ke dalam ekonomi dan masyarakat Malaysia keseluruhannya. Sejak sedekad lalu, rasuah juga adalah penyebab kurangnya minat pelabur asing untuk datang ke Malaysia yang telah merumitkan lagi usaha memulihkan ekonomi negara yang kian malap.

Rasuah berleluasa kerana dokongan pentadbiran sedia ada yang selesa dengan golongan rentier (terutamanya dari kalangan kroni dan parti pemerintah). Golongan rentier ini dikenali dengan pelbagai nama sebelum ini – atas angin, Ali Baba dan sebagainya. Golongan ini adalah parasit yang menyelewengkan sumber negara dari rakyat ke poket mereka.

Gejala rasuah akan terus meruntuhkan daya saing dan jati diri rakyat Malaysia dalam suasana acuh tidak acuh yang ditunjukkan pentadbiran sedia ada.

RM28 bilion kerugian yang ditanggung negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa.

3 kali ganda hasil negara hilang melalui rasuah, berbanding yang dibelanjakan untuk subsidi minyak rakyat.

4.4 skor dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah Negara tahun 2010, sedangkan sasaran UMNO/BN adalah 4.9. Skor ini lebih rendah dari tahun 2009.

46% dari rakyat yang ditinjau oleh Transparency International menyatakan bahawa gejala rasuah semakin berleluasa dalam tahun 2010 berbanding 2009.

Krisis Pendidikan

Kelesuan ekonomi dan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat pelbagai kaum adalah bahana yang menimpa rakyat apabila pendidikan di negara ini diperkotak-katikkan mengikut selera pemerintah. Selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan, dunia pendidikan Malaysia hilang serinya – dulu dihormati serantau, kini hanya mengambil tempat kedudukan yang corot dalam senarai-senarai pendidikan antarabangsa.

Sekolah-sekolah dan universiti dilihat sebagai pentas menjual pengaruh politik walhal pendidikan rakyat adalah kaedah terbaik menstrukturkan masyarakat dan memacu ekonomi negara demi kesejahteraan bersama. Negara-negara yang paling makmur dan sejahtera adalah negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan peringkat rendah, menengah dan tertiari yang paling berkesan dan adil.

57 anak tangga dalam senarai Laporan Pembangunan Dunia UNDP 2010 mengenai kadar pembangunan insaniah di dunia, jauh ditinggalkan Korea Selatan (12), Hong Kong (21), Singapura (27) dan Brunei (37).

68.7% sahaja rakyat Malaysia yang menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009, berbanding Korea Selatan (96.4%), Hong Kong (75.2%) dan Brunei (88.2%).

1 orang dari setiap 4 orang rakyat Malaysia tercicir dari pendidikan menengah dan tidak menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009.

29.7% sahaja rakyat Malaysia yang memasuki alam pendidikan tertiari, berbanding Korea Selatan (96.1%).