21 November 2009

MENGGILAP HARAPAN RAKYAT

Parti KeADILan Rakyat Negeri Sembilan Darul Khusus akan menganjurkan Konvensyen Khas pada hari Ahad ini (22/11/2009) bertempat di Dewan Sekolah Menengah Chong Hwa, Seremban mulai jam 9.00 pagi. Dengan tema: MENGGILAP HARAPAN RAKYAT, konvensyen ini nanti akan menjurus ke arah persiapan segenap lapisan pendokong, baik kepimpinan ataupun aktivis di peringkat cabang, agar mempunyai kefahaman dan kesedaran mengenai apa yang diperjuangkan oleh Parti keADILan Rakyat khasnya dan Pakatan Rakyat secara keseluruhannya.

Semua anggota parti dari seluruh Negeri Sembilan dijemput hadir ke konvensyen ini. Tuan/Puan diminta hadir awal pagi kerana pendaftaran peserta akan bermula seawal jam 8.00 pagi. YB Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan amanatnya dalam konvensyen tersebut. Berikut adalah aturcara konvensyen:

0800 – 0845
Pendaftaran

0900 – 0945
Ucapan dan Perlancaran Konvensyen oleh YB Dato’ Kamarul Bahrin Abbas
(Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan)

0945 – 1010

Rehat

1010 – 1050
Pelancaran Tema Konvensyen oleh Saudara Ibrahim Yusof
(Ketua Penerangan Majlis Pimpinan PKR NS)

1050 - 1120
Ucapan YBhg. Dato' Salehuddin Hashim
(Setiausaha Agung PKR)

1130 – 1230
Amanat YB Dato Seri Anwar Ibrahim

1230 – 1400
Rehat / Makan Tengahari

1400 – 1600
Sesi Pembentangan Kertas Kerja

1600 – 1700
Sesi Dialog

1700 – 1730
Ucapan Penggulungan oleh Saudara Hj. Nordin Ismail
(Timbalan MPN 1)


1730
Bersurai

MASALAH RAKYAT DI KAWASAN D.U.N LINGGI DAPAT PERHATIAN AHLI PARLIMEN TELOK KEMANG

Majlis Dialog Ahli Parlimen bersama masyarakat di Masjid Kg. Permatang Pasir, Linggi telah merungkai beberapa permasalahan yang selama ini terpendam. Walaupun kawasan ini diwakili oleh seorang Wakil Rakyat bertaraf EXCO Kerajaan Negeri, situasi banjir yang kerap dihadapi di kawasan ini telah menjadi buah-mulut di kalangan penduduk tempatan: Adakah penduduk Linggi memang sengaja dibebankan dengan keadaan demikian?
-
Adalah sukar untuk difahami bagaimana kerja-kerja mendalamkan sungai (ataupun sebenarnya aktiviti "mengambil pasir" secara terancang) yang didakwa oleh penduduk sebagai punca utama masalah ini berlaku. Bagaimana si cerdik pandai yang terlibat dalam projek mengorek pasir itu dengan sengaja menutup aliran air dari parit-parit kecil dari mengalir ke sungai? Juga ditagih adalah inisiatif serius Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah banjir dari berterusan.
-
Turut disentuh dalam majlis dialog ini ialah peranan Pejabat Ahli Parlimen Telok Kemang di Pekan Linggi dalam menyalurkan apa juga masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat. Sesungguhnya Pejabat Ahli Parlimen Telok Kemang akan sentiasa bersama-sama dengan rakyat, dalam apa jua keadaan dan komited menyuarakan masalah rakyat.


PERJUANGAN HAK ORANG ASLI

Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa di kawasan Parlimen Telok Kemang terdapat dua buah perkampungan masyarakat Orang Asli: Kg. Org. Asli Sunggala & Kg. Org. Asli Bukit Kepong. Kedudukan dua buah perkampungan ini letaknya hanya beberapa kilometer di pinggir kawasan pelancongan "Pantai Peranginan Negara" Port Dickson. Namun agak mendukacitakan kerana setelah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan, kemudahan prasarana di perkampungan ini seolah-olah dipinggirkan.
-
Mengambil contoh tentang permasalahan yang dihadapi di Kg.Org. Asli Bukit Kepong, penduduknya yang telah sekian lama dahagakan kemudahan air bersih disalurkan ke perkampungan mereka. Sebelum ini media tempatan telah menyiarkan mengenai projek gajah putih: tangki air milik Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (kini S.A.I.N.S) yang sudah lama siap tetapi tidak berfungsi oleh kerana kegagalan JBANS menyiapkan kerja-kerja menyambung paip dari jalan utama ke perkampungan ini.
-
Kemudiannya setelah Ahli Parlimen Telok Kemang mengadakan lawatan mengejut ke perkampungan tersebut, inisiatif Pejabat Ahli Parlimen telah diambil bagi menempatkan sebuah pam air di situ. Sedikit sebanyak masalah bekalan air yang dihadapi oleh masyarakat Asli telah dapat dibantu. Namun matlamat kita adalah untuk melihat Kerajaan Negeri Sembilan khususnya Wakil Rakyat di kawasan perkampungan itu (yang juga EXCO Kerajaan Negeri) agar menyegerakan projek penyambungan paip air ke perkampungan berkenaan.
-
Dalam perjuangan Hak Orang Asli, Ahli Parlimen Telok Kemang mengalu-alukan keputusan Kerajaan Negeri Selangor menarik balik rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap kes Sagong Tasi yang membabitkan pengambilan 38.477 ekar tanah adat kaum Temuan di Bukit Tampoi, Dengkil pada tahun 1995 (oleh Kerajaan Selangor pada ketika itu). Kami prihatin bahawa walaupun Orang Asli adalah masyarakat yang sangat bernilai, mereka adalah kumpulan masyarakat yang telah diabaikan sekian lama.
-
Majoriti Orang Asli tidak dapat menikmati sepenuhnya hak-hak asasi mereka kerana tradisi, adat dan nilai mereka sedang dihakiskan. Amalan tanda dan cakap-cakap kosong yang ditawarkan oleh segelintir pemimpin parti Pemerintah kepada masyarakat ini harus dihentikan. Kaedah bagaimana negara ini melayan keperluan-keperluan dan hak-hak masyarakat ini mencerminkan komitmen kita kepada demokrasi dan hak-hak asasi manusia.
-
Gambar:
Majlis Dialog Ahli Parlimen Telok Kemang bersama dengan Masyarakat Kg. Org. Asli Sunggala.
-
Sehubungan itu, kami menyeru supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sembilan serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asli mengambil tindakan segera untuk menunaikan tanggungjawab fidusiari mereka untuk menghormati, mendukung dan melindungi kebajikan dan hak-hak Orang Asli khususnya di negeri ini. Sejajar dengan Pengisytiharan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak-Hak Orang Asal 2007, dan tidak bertindak bertentangan dengan hak-hak tersebut.

20 November 2009

RAKAN ALAM SEKITAR

Isu pencemaran alam sekitar telah lama menjadi antara agenda utama Ahli Parlimen Telok Kemang. Sebelum ini pun telokkemang.blogspot.com telah mendedahkan pelbagai laporan mengenai isu ini yang sehingga kini masih belum ditangani secara benar-benar serius oleh pihak Pemerintah. Dari isu pencemaran di pantai peranginan Bt.8 Telok Kemang, isu pembinaan Kolej Tentera Darat di pantai Segenting yang mengalirkan lumpur pantai hingggalah kepada isu pembuangan air panas berkimia oleh sebuah stesyen janaletrik. Namun timbul juga persoalan adakah di pihak Pemerintah benar-benar serius mengangani isu ini ataupun hanya sekadar retorik?

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Sumber Asli & Alam Sekitar telah meminta semua anggota Parlimen di seluruh negara melaksanakan aktiviti Rakan Alam Sekitar untuk menimbulkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar di kawasan masing-masing. Timbalan menteri berkenaan Tan Sri Joseph Kurup berkata setakat ini hanya kawasan Parlimen Maran, Langkawi & beberapa kawasan Parlimen di Sabah & Sarawak telah melancarkan program Rakan Alam Sekitar itu. Beliau mendapati banyak kawasan Parlimen belum melaksanakan program Rakan Alam Sekitar dan kita berharap semua anggota Parlimen akan mempercepatkan pelaksanaan program itu supaya rakyat di peringkat akar umbi bersama-sama bertanggungjawab menjaga alam sekitar.

Joseph berkata program Rakan Alam Sekitar itu sebenarnya harus diwujudkan di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara dengan setiap kawasan diberi peruntukan sebanyak RM30,000 oleh kementerian. Rakan Alam Sekitar di setiap kawasan Parlimen itu akan dipengerusikan anggota Parlimen dan wakil dari Jabatan Alam Sekitar atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilantik sebagai urusetia. Penubuhan Rakan Alam Sekitar sejak Jun lepas adalah sebagai usaha kerajaan meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar di kalangan masyarakat dan memberi pendidikan serta maklumat mengenai pemuliharaan alam sekitar kepada masyarakat.


Justeru Ahli Parlimen Telok Kemang menyeru pihak Pemerintah bersifat profesional bekerjasama dengan Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat untuk sama-sama menjayakan program itu. Menyedari hakikat bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar ini tidak harus diletakkan di bahu pihak yang berwajib semata-mata, berikut disiarkan semula foto-foto arkib yang menunjukkan peranan serius Warga keADILan untuk bersama menjayakan hasrat murni ini.

ADAKAH MEREKA PERDULI PADA ALAM SEKITAR?


Masalah pencemaran perairan Telok Kemang sekali lagi telah mendapat perhatian serius dari Ahli Parlimen Telok Kemang. Bersama dengan YB Saudara M.Ravi (ADUN Port Dickson) & YB Saudara Ean Yong (ADUN Lukut) serta aktivis alam-sekitar dan wartawan, YB Dato' telah meluangkan masa hampir 3 jam menaiki bot menyusuri perairan pantai Port Dickson bagi melihat sendiri kesan kemusnahan yang didakwa berpunca dari pembuangan air panas berkimia dari sebuah loji janaletrik di Jimah, Port Dickson.