22 November 2010

Jawapan Kepada Jawab Lisan

Tarikh : 10 November 2010

Soalan

Y.B Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan:

a) alasan perancangan projek lebuh raya Central Spine Expressway dari Seremban-Karak-Gua Musang-Kota Bharu dibatalkan pembinaannya; dan
b) apakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menaik taraf laluan yang sedia ada

Jawapan

Tuan Yang Di-Pertua;

Kerajaan tidak pernah berhasrat membatalkan perlaksanaan Projek Pelebaran Jalan Persekutuan Central Spine, sebaliknya projek berprofil tinggi ini sedang dibina secara berperingkat-peringkat oleh Kerajaan bagi tujuan merancakkan pembangunan infrastruktur di Wilayah Pembangunan pantai Timur (ECER)

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, skop Projek Pelebaran Jalan persekutuan Central Spine ini ialah menaik taraf Jalan Persekutuan 8 (FT08) dan sebahagian Jalan Persekutuan 9 (FT09) sepanjang 390 kilometer bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangi Pahang sepanjang 390 kilometer kepada 2 lorong 2 hala berdasarkan piawaian JKR R5. Skop projek ini turut melibatkan pembinaan jalan pintas dibandar-bandar tertentu dan pembinaan lorong khas memotong di setiap 5 kilometer laluan. Pembinaan projek ini telah dibahagikan kepada 6 pakej, iaitu seperti berikut:

1) Pakej 1: Kuala Krai ke Jambatan Sg. Lakit, Kelantan;
2) Pakej 2: Jambatan Sg. Lakit ke Gua Musang, Kelantan;
3) Pakej 3: Gua Musang, Kelantan ke Kg. Relong, Pahang;
4) Pakej 4: Kg. Relong ke Raub, Pahang;
5) Pakej 5: Raub ke Bentong, Pahang; dan
6) Pakej 6: Bentong ke Simpang Pelangi, Pahang.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa kini Pakej 3, iaitu dari Gua Musang, Kelantan ke Kg. Relong, Pahang sedang dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2012 manakala pakej-pakej lain sedang dalam peringkat reka bentuk dan akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Sekian, terima kasih

*petikan dari Berita Harian

Pahang tolak projek baik pulih jalan hubungkan Seremban-Gua Musang


2010/09/01

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang hari ini menolak projek untuk membaik pulih jalan raya yang menghubungkan Seremban, Negeri Sembilan ke Gua Musang, Kelantan selepas Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Kerja Raya hanya memperakukan untuk membaiki kawasan yang berlaku kemalangan sahaja.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata pendirian Exco kerajaan negeri hari ini ialah bahawa tidak perlu dilakukan sebarang pembaikan di jalan berkenaan sehingga ekonomi kembali pulih.
Mengikut perancangan awal, jalan berkenaan yang menghubungkan Seremban ke Gua Musang melalui laluan Simpang Pelangai, Bentong, Karak, Kuala Lipis, bakal dinaikkan taraf kepada empat lorong dengan membabitkan kos sebanyak RM3.7 bilion.
"Telah banyak perbincangan dilakukan sebelum ini dan berdasarkan perancangan sepatutnya dahulu jalan empat lorong kemudian dikurangkan kepada dua lorong dengan kos RM1.3 billion,"

"Dan keputusan terakhir, hanya untuk memperbaiki jalan terpilih iaitu tempat-tempat yang dipercayai mempunyai risiko tinggi punca berlaku kemalangan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri Pahang di sini, hari ini.

"Oleh sebab perakuan ini dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Kerja Raya iaitu hanya baiki kawasan yang berlaku kemalangan saja, maka reaksi kerajaan negeri Pahang ialah saya cadangkan tak perlu buat apa-apa hingga ekonomi pulih.

"Walau apapun, keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), kita akur, tetapi pada EPU dan JKR, tak payah buat apa-apa, pesan pada orang balik Kelantan (cuti Aidilfitri nanti) hati-hati..," katanya dengan nada sinis.
Projek melebarkan jalan berkenaan adalah sebahagian daripada projek Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dilancarkan Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Oktober 2007.

Adnan yang kesal dengan keputusan itu berkata apa yang perlu dilakukan cuma jalan terbabit ditambah papan tanda amaran di sepanjang kawasan berisiko kemalangan. - BERNAMA

11 November 2010

Jawapan Kepada Jawab Lisan

Tarikh : 02.11.2010

Dato' Kamarul Baharin bin Abbas (Telok Kemang) minta Menteri Kewangan menyatakan:

a) adakah wang KWSP digunakan oleh kerajaan bagi menampung kos tambahan kepada setiap projek yang mengalami kerugian; dan

b) senaraikan projek-projek tersebut serta jumlah suntikan kewangan dari KWSP dan berapakah jumlah pinjaman telah dibayar mengikut jadual kepada KWSP.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

a) Untuk makluman Yang Berhormat, KWSP menyediakan pinjaman secara langsung kepada Kerajaan dan syarikat-syarikat Kerajaan dari masa semasa untuk membiayai dan melaksanakan projek-projek Kerajaan yang penting dan yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara, menyediakan peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat. Berdasarkan rekod, wang KWSP tidak pernah digunakan untuk menampung kos tambahan kepada sebarang projek Kerajaan yang mengalami kerugian.

b) Setakat 30 oktober 2010, jumlah baki keseluruhan pinjaman KWSP yang digunakan untuk membiayai projek-projek Kerajaan ialah RM74.49 bilion. Dari jumlah tersebut, sebanyak RM55.79 bilion (75%) merupakan pinjaman kepada badan berkanun dan syarikat Kerajaan dengan jaminan dan tanpa jaminan Kerajaan seperti Sarawak Hidro Sdn. Bhd., Perbadahan Tabund Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pembinaan PFI Sdn. Bhd dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (BPMB). Pinjaman ini adalah untuk projek-projek dalam sektor pendidikan, bekalan elektrik, peladangan, hartanah dan intitusi kewangan sementera baki pembiayaan RM18.7 bilion (25%) merupakan pinjaman langsung kepada Kerajaan bagi menyediakan skim pembiayaan perumahan kakitangan Kerajaan. Prestasi bayaran balik adalah baik dan mengikut jadual yang ditetapkan.

Untuk makluman Yanb Berhormat, setakat ini pendedahan pinjaman kepada Kerajaan mahupun syarikat Kerajaan tidak pernah mengalami sebarang keingkaran pembayaran dan tiada pinjaman diklasifikasikan sebagai pinjaman tidak berbayar atau dengan izin "Non-Performing Loan" (NPL).

06 November 2010

Petikan Perbahasan Bajet 2011 Di Parlimen Pada 27hb Oktober

Dato' Kamarul Baharin Abbas [Telok Kemang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mulakan dengan menyebut bahawa bajet ialah satu perkara yang kemuncak yang ditunggu-tunggu oleh rakyat dan tidak kurangnya pada tahun ini, saya dimaklumkan bahawa sejumlah lebih kurang 10 juta rakyat telah mendengar atau menonton televisyen dan radio untuk mengetahui apakah bajet tahun ini akan memberi harapan terhadap mereka pada tahun 2011.

Pendapat umum berbeza-beza tetapi yang nyata adalah mereka kurang puas hati dengan apa yang dibentangkan oleh kerajaan. Banyak persoalan yang timbul dalam bajet kali ini dan secara ringkasnya saya rujuk kepada carta dalam bajet ini yang menyebut di antara lain, pendapatan kerajaan akan datangnya daripada pinjaman dan penggunaan asset kerajaan.

Memanglah pinjaman ini tahun demi tahun menjadi sumber pendapatan kerajaan dan tidak kurangnya pada tahun ini pinjaman dan penggunaan asset kerajaan yang mana kebanyakannya ialah pinjaman yang berjumlah lebih daripada RM46 bilion dan ini secara langsung meningkatkan hutang kerajaan sampai kepada lebih kurang RM400 bilion. Dalam masa yang sama dalam perbelanjaan pembangunan.

Perbelanjaan ada peruntukan sebanyak lebih daripada RM18 bilion mengenai dengan bayaran khidmat hutang. Bermakna kita tidak mampu membayar hutang dan meminjam lebih daripada yang kita mampu untuk membayar. Jadi ini tidak mencerminkan satu usaha kerajaan untuk menentukan supaya hutang kerajaan itu dikawal dan kita meminjam mengikut kemampuan kita untuk membayarnya.

Dalam hal ini, saya ingin rujuk kepada cara kita membelanjakan dana negara. Kita pernah dengar dalam Dewan ini di mana perbelanjaan lebih daripada RM20 bilion yang tidak dapat dijelaskan. Ini yang disebutkan sebagai angka ketirisan dana kerajaan. Dalam masa yang sama juga kita membelanjakan kewangan dan beberapa projek yang dilaksanakan tidak mengikut peruntukan yang dibenarkan, sering berlaku pertambahan kos, penambahan variation orders dan juga tambahan tambahan yang tidak munasabah yang meningkatkan harga kos projek itu yang kadang-kadang melibatkan lebih daripada 50%. Ini satu tanda bahawa kita tidak boleh mengawal, tidak mengamalkan good governance dan accountability. Ini melibatkan pertambahan yang sia-sia yang perlu dicari oleh kerajaan yang boleh digunakan untuk projek-projek yang lain – projek projek yang terbengkalai.

Umpamanya projek-projek seperti yang disebutkan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Umpamanya, saya sebut Politeknik Muadzam Shah di Pahang – RM295 juta yang sekarang ini hanya siap 87%. Projek ini dimulakan pada 2003. Ini tahun yang kelapan dan projek ini masih lagi tidak siap. Untuk menyiapkannya, sudah pasti pertambahan pada perbelanjaan dan kos pada projek. Satu lagi, umpamanya Kompleks Bridget Kem Skudai, Johor Bahru – RM256 juta yang sudah lebih sepuluh tahun dan tahun ini kemajuannya hanya 18.3%. Akan tetapi apa yang lebih merunsingkan ialah tanah itu sudah dicagarkan kepada bank dan kita tidak mampu menarik bon pelaksanaannya yang sebanyak lebih kurang RM13 juta dan juga bon tanah yang sebanyak RM256 juta kerana tempoh bon itu sudah tamat. Jadi di sini kehilangan lebih kurang RM300 juta dan projek hanya siap 18.3%.

Banyak lagi boleh disebut dalam pelaksanaan projek-projek yang tidak siap. Umpamanya soalan saya dalam Parlimen tempoh hari berkenaan Projek Lebuh raya Seremban-Port Dickson-Linggi yang mana walaupun sudah empat hingga lima kali dilanjutkan, masih lagi tidak siap. Sudah enam tahun dan sekarang ini kontraktor projek itu telah ditamatkan dan akan ditawarkan semula kepada kontraktor baru yang sudah semestinya akan meningkatkan kos pada projek yang berkenaan.

Tuan Yang di-Pertua, disebut juga dalam bajet ini mengenai dengan private sector investment yang melibatkan RM86 bilion. Saya curiga bagaimana kerajaan boleh memberi angka mengenai dengan private sector investment melainkan ia melibatkan perbelanjaan yang dianggarkan oleh syarikat-syarikat GLC. Bagi saya, GLC bukanlah sumber ataupun diklasifikasikan sebagai private sector investment.

Pada hemat saya, ini ialah termasuk dalam perbelanjaan yang akan dilakukan oleh kerajaan. Ini kerana selalunya dan sering dilakukan. Mengikut pengalaman kita bahawa projek GLC yang besar-besar akan mendapat jaminan daripada kerajaan apabila mereka mengeluarkan bon untuk melaksanakan projek-projek ini.

Projek seperti PKFZ misalnya – ini bon telah dikeluarkan. Projek Syarikat Perumahan Negara – apabila mahu pinjaman, dikeluarkan bon sehingga RM10 bilion dan perlu dibayar dan bon ini dijamin oleh kerajaan. Kita tahu kemampuan SPN tidak boleh membayar bon ini dan akhirnya kerajaan yang menanggungnya. Syarikat Prasarana Negara mengeluarkan bon RM10 bilion juga dan ini dengan jaminan kerajaan. Kita dimaklumkan mengenai dengan pelaburan PNB dan ini melibatkan wang pelabur-pelabur iaitu orang awam termasuk kita semua. Wang ini dilaburkan dalam sektor-sektor seperti yang disebutkan. Di antara lain, disebutkan juga bahawa portfolio KWSP akan meningkat daripada 7% kepada 20% untuk pelaburan luar negara. Saya tidak mahu panjang lebar mengenai pelaburan ini. Pelaburan PNB mengenai dengan RM5 bilion menara 100 tingkat itu sudah banyak diperkatakan.

Apa yang saya mohon dan cadangkan ialah supaya kerajaan mewajibkan syarikat-syarikat berkanun yang melibatkan pelaburan orang ramai perlu mengisytiharkan keuntungan atau pulangan yang akan didapati daripada pelaburanpelaburan ini dan juga memberi jaminan kepada pelabur kalau seandainya dividen dalam KWSP 6% atau 7%. Dengan pelaburan ini, maka KWSP boleh menjamin bahawa dividen ini akan mendapat peningkatan sekurang-kurangnya 1% atau 2%. Ini seperti apa yang dilakukan oleh Bursa Saham Malaysia ataupun pasaran saham – Securities Commission yang memerlukan public listed company (PLC) mengisytiharkan pelaburan dan memberi anggaran keuntungan atau pulangan. Maka dengan itu, saya mohon supaya diwajibkan badan-badan berkanun yang melibatkan kewangan rakyat ini untuk membuat pengisytiharan dan memberi jaminan mengenai pulangan-pulangan.

Saya juga ingin menyentuh mengenai dengan beberapa pampasan dan ini mengakibatkan aliran tunai kerajaan akan tergugat dan perlu kerajaan mengambil peruntukan daripada sektor-sektor yang lain untuk membayar pampasan-pampasan mengenai projek-projek yang pada mulanya dirancang dan pada akhirnya dibatalkan. Kita juga menyebut mengenai dengan pelaburan nuklear. Kelmarin ada pengumuman mengenai dengan rancangan untuk mengadakan reaktor nuklear pada tahun 2014 yang dijangka akan siap pada tahun 2021. Saya ingin maklumkan di dalam laporan IAEA bahawa tidak boleh reactor nuklear ini dioperasi secara komersial sebelum 15 tahun. Maknanya, jangka masa untuk membuat satu reaktor ini akan mengambil masa 15 tahun. Dalam masa yang sama, saya juga menyebut mengenai dengan keperluan kita untuk memikirkan pelaburan dalam perlombongan uranium. Ini keperluan loji nuklear. Jadi...

Tuan Hee Loy Sian [Petaling Jaya Selatan]: Saya hendak bertanya Yang Berhormat Telok Kemang. Saya difahamkan dengan cerita loji nuklear yang pertama tapaknya akan diadakan di Port Dickson. So, saya hendak bertanya sama ada ini berita yang betul atau tidak. So, sebagai Ahli Parlimen di Telok Kemang, boleh terima atau tidak rakyat di sana, bagi menerima satu loji nuklear yang pertama kalau dibuat di Port Dickson?

Seorang Ahli: [Menyampuk]

Dato’ Kamarul Baharin Abbas [Telok Kemang]: Saya juga ada membaca mengenai dengan perkara ini dan belum dapat pasti bahawa ia akan diletakkan di Port Dickson. Akan tetapi, saya juga dimaklumkan melalui beberapa risalah bahawa seandainya diadakan di Port Dickson, saya mengalu-alukan pembinaannya kerana sudah dijamin keselamatannya asalkan ia mengikuti spesifikasi-spesifikasi yang ditentukan oleh IAEA. Setakat ini di seluruh dunia, kita juga dimaklumkan bahawa ada 400 nuclear reactors seluruh dunia. Lebih kurang 376,000 megawatt iaitu 13% ataupun 14% keperluan tenaga elektrik dunia sekarang. Jadi, memang itu satu tindakan yang baik sekiranya kita mempunyai perancangan kerana ini telah menjadi satu usaha yang dilakukan oleh negeri China, India dan negara-negara yang lain. Jadi, pelaburan mengenai uranium tadi, perlombongan uranium – ini tidak ada di semua negara melainkan beberapa Negara seperti Kazakhstan, Namibia, Australia dan saya mencadangkan supaya kita fikirkan Petronas misalnya ataupun Khazanah Nasional memperuntukkan untuk melabur kerana negara seperti Kazakhstan atau Namibia menjemput negara-negara luar atau sesiapa yang mempunyai minat untuk membeli saham dalam perlombongan uranium. Inilah satu bahan yang perlu dalam projek nuklear.

Jadi, pendek kata Tuan Yang di-Pertua, kita perlu melihat bajet ini umpama perancangan negara untuk melihat supaya matlamat kita yang sekarang ini seharusnya meliputi semua kaum. Apa yang disebutkan sering dalam bajet ini hanya meliputi kebanyakannya ialah projek-projek yang besar-besar dan tidak langsung melibatkan ataupun diperjelaskan apakah projek-projek yang besar-besar ini memberikan manfaat kepada orang ramai. Ini kerana kebanyakan rakyat kita masih lagi di desa.

Umpamanya, kita dalam ucapannya menyebut mengenai dengan untuk meningkatkan kemajuan industri. Akan tetapi dalam masa yang sama, ia industry pertanian diturunkan peruntukannya. Tiga tahun atau empat tahun dahulu, melebihi RM10 bilion. Sekarang ini hanya RM3.8 bilion. Bermakna tidak ada keutamaan kita memberi pada industri pertanian untuk membangun. Kalau kita lihat negara-negara yang lain, Korea, Taiwan, Thailand yang mempunyai keseimbangan antara industri pertanian dan juga industri berat. Jelas sekarang ini mereka lebih maju daripada kita. Jadi, kita harus kembali pada asas pembangunan yang memberikan keseimbangan yang membangunkan, yang akan memberikan manfaat pada yang di bandar dan di desa.

Jadi, Tuan Yang di-Pertua, hanya setakat ini. Kesimpulannya ialah kita masih menumpukan kepada good governance, akauntabiliti, kita mesti kawal ketirisan, kita tingkatkan produktiviti kita supaya jangan beberapa bulan lagi kita datang di sini untuk memohon Parlimen meluluskan tambahan pada bajet kerana untuk menampung perkara yang tidak diambil kira ataupun perkara-perkara yang perlu dipertingkatkan perbelanjaan kosnya supaya projek itu akan siap selagi sikap kita menganggap bahawa asalkan setiap saat itu minyak itu mengalir bahawa kita tidak mempunyai masalah kerana kita mempunyai wang tunai. As long as there is flow of oil, we think that we will not be affected by short falling cash flow. Jadi, sikap ini yang melemahkan kita dan tidak memberikan kita semangat untuk memikirkan soal yang lain untuk mendapatkan dana hasil daripada pertumbuhan daripada projek-projek yang kita laksanakan. Sekian, terima kasih.