29 March 2010

FUTSAL PIALA DATO KAMARUL BERJAYA TARIK SOKONGAN GOLONGAN MUDA


(Foto sumbangan dari Sdr Saufi)

28 Mac, 2010 - Selesai saja urusan mesyuarat parti di Kuala Lumpur, saya telah bergegas untuk menyaksikan kemeriahan anak-anak muda Telok Kemang beraksi dalam pertandingan futsal merebut Piala Dato Kamarul. Pertandingan cukup sengit dengan lebih daripada 60 pasukan menonjolkan kehebatan aksi dan skil mereka masing-masing. Hmm..mungkin kalau saya sebaya dengan mereka, saya juga akan turut turun padang beraksi.

Tahniah kepada rakan-rakan dan petugas dari Pusat Khidmat Ahli Parlimen Telok Kemang dan seluruh anggota parti terutamanya AMK Telok Kemang diatas kejayaan menganjurkan pertandingan futsal ini. Ayuh AMK....tunggu apa lagi, pastikan semua anak muda yang hadir baik sebagai pemain atau penonton dapat terus bersama menyokong perjuangan parti Keadilan.

PERGINYA SEORANG PEJUANG

Saya dan seluruh isi keluarga merakamkan ucapan takziah di atas pemergiaan mantan Ketua Wanita Telok Kemang, Allahyarhamah Puan Sariah Mohd Yassin. Semoga keluarga allahyarhamah akan terus tabah dalam menghadapi saat-saat kesedihan ini. Kami doakan semoga roh allahyarhamah akan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

28 March 2010

PAKATAN RAKYAT TETAP JADI PILIHAN











27 Mac, 2010 - Susulan dari kejayaan menganjurkan program Semboyan Halilintar ke Putrajaya, satu majlis makan malam bersama rakyat telah diadakan di Bukit Pelanduk. Kehadiran lebih daripada 500 orang penduduk setempat terdiri dari pelbagai bangsa dan agama terus membuktikan bahawa Pakatan Rakyat semakin diterima. Turut hadir adalah rakan-rakan seperjuangan, antaranya YB Tian Chua, Ahli Parlimen Batu, YB Chai Tong Chai, ADUN Chuah, YB Ravi Munusamay, ADUN Port Dickson, YB Cha Kee Chin, ADUN Bukit Kepayang, YB Ean Yong Tin Sin, ADUN Lukut. Pemimpin negeri dan kawasan dari ketiga-tiga komponen parti Keadilan, PAS dan DAP turut hadir yang sekali gus membuktikan keakraban dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi.

Saya merasa cukup optimis bahawa Pakatan Rakyat Negeri Sembilan berada dalam kedudukan yang cukup selesa dan jitu untuk mengambil alih pemerintahan Negeri Sembilan.

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN CABANG TELOK KEMANG






21 Mac, 2010 - Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Telok Kemang telah berlangsung dengan jayanya dan dihadiri oleh lebih 80 orang anggota Keadilan Telok Kemang. Mesyuarat telah dirasmikan oleh sahabat saya, YB Aminuddin Harun, ADUN Sikamat.

KEBAJIKAN RAKYAT TETAP MENJADI KEUTAMAAN






19 Mac, 2010 - Pusat Khidmat Ahli Parlimen Telok Kemang terus berperanan aktif untuk menjadi pusat bagi menyalurkan bantuan kepada penududuk setempat. Berkat kegigihan petugas dan rakan-rakan Keadilan yang begitu komited dan berdedikasi, Alhamdulillah pejabat saya terus menjadi pilihan rakyat setempat untuk mengadu masalah. Setakat ini kami telah berjaya menyelesaikan hampir kesemua permasalahan yang diadukan. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada saya dan rakan-rakan untuk terus memberikan khidmat yang terbaik untuk seluruh penduduk di Parlimen Telok Kemang.

19 March 2010

AKTIVITI SEPANJANG MINGGU

19 Mac, 2010
11.30 pg - 12.30 tgh : Majlis penyampaian bantuan kepada penduduk di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Telok Kemang.
12.30 tgh - 3.00 ptg : Solat Jumaat dan ramah mesra bersama penduduk di Masjid Bandar Sunggala.
3.00 ptg - 6.00 ptg : Sesi bertemu penduduk di Bukit Pelandok.
7.00 ptg - 10.30 mlm : Program sambutan Maulidur Rasul di Masjid Kampung Paya.

20 Mac, 2010
9.00 pg - 12.30 tgh : Sesi bertemu penduduk di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Telok Kemang
12.30 tgh - 3.00 ptg : Makan tengahari bersama penduduk di Pasir Panjang
3.00 ptg - 6.00 ptg : Bertemu penduduk di Pasir Panjang
7.00 ptg - 8.00 mlm : Solat Maghrib di Masjid Jamek Telok Kemang
8.00 mlm - 9.30 mlm : Program Makan Malam Bersama Rakyat di Dataran Kemang
9.30 mlm - 10.30 mlm : Program bersama penduduk di Taman Poli

21 Mac, 2010
9.00 pg - 12.30 tgh : Sesi bertemu penduduk di Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Telok Kemang
12.30 tgh - 2.30 ptg : Makan tengahari dan bertemu pimpinan Cabang Telok Kemang
2.30 ptg - 6.30 ptg : Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Telok Kemang, bertempat di Hotel Front, Jalan Pantai
7.00 ptg - 10.30 mlm : Solat Maghrib dan Isya' di Masjid Lukut dan sesi bertemu penduduk di Lukut.

CERAMAH KELOMPOK DI TAMAN POLI






13 Mac, 2010 - Malam ini saya telah berkesempatan untuk beramah mesra dengan penduduk Taman Poli dan juga menjelaskan isu-isu semasa yang berlaku di dalam negara dan juga kawasan Telok kemang. Sdr Mejar (B) Zainal, Ketua Ranting Taman Poli, juga selaku tuan rumah telah berjaya mengumpulkan seramai lebih 40 orang penduduk dan anggota Ranting Taman Poli. Turut hadir adalah sahabat saya, Sdr YB Yusmadi, Ahli Parlimen Balik Pulau.

Saya telah menjelaskan tentang keadaan ekonomi negara yang semakin meruncing. Kesannya turut dirasai oleh penduduk di kawasan Telok Kemang seperti kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat, kenaikan harga barang, pengangguran dan sebagainya. Ini adalah akibat dari ketidakupayaan pemimpin negara dalam mengurus tadbir ekonomi negara secara berhemah dan cekap. Ianya diburukkan lagi oleh perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang semakin berleluasa.

Menyentuh tentang perbuatan khianat oleh segelintir Ahli Parlimen yang keluar parti, saya menjelaskan bahawa ianya merupakan satu proses pembersihan bagi memastikan cuma pemimpin yang benar-benar ikhlas dan komited dengan perjuangan parti sahaja akan kekal. Ianya sedikit pun tidak menggugat keutuhan parti malah menjadikan seluruh pemimpin dan anggota parti lebih bersemangat. Ini dibuktikan dengan sokongan dari orang ramai yang semakin meningkat, terkini adalah kejayaan Program Semboyan Halilintar Ke Putrajaya yang berjaya menarik lebih dari 10,000 orang hadir walaupun dalam kedaaan hujan lebat.

Sdr YB Yusmadi telah memberi penjelasan terperinci tentang kes liwat II terhadap DSAI. Penjelasan dan fakta yang diberikan oleh beliau berjaya meningkatkan keyakinan orang ramai yang hadir bahawa pertuduhan tersebut sengaja diada-adakan dan merupakan konspirasi dan fitnah peringkat tertinggi.

Majlis yang sepatutnya berakhir pukul 11 malam telah dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi bagi membolehkan saya dan Sdr YB Yusmadi menjawab semua soalan dan pertanyaan. Syabas diucapkan kepada Sdr Mejar (B) Zainal dan anggota Ranting Taman Poli atas kejayaan menganjurkan program tersebut!

12 March 2010

BANTUAN UNTUK RAKYAT






12 Mac, 2010 - Pagi ini saya dan isteri, Datin Faridah Abdullah telah berpeluang untuk menyampaikan bantuan kepada tiga buah keluarga penduduk di kawasan Parlimen Telok Kemang yang ditimpa musibah. Hati saya rasa cukup tersentuh dengan kesusahan yang dialami oleh dua orang ibu tunggal yang terpaksa bekerja keras untuk menyekolahkan anak-anak mereka. Seorang lagi merupakan nelayan yang kehilangan mata pencarian akibat kehilangan bot. Semoga dengan bantuan yang sedikit ini dapat meringankan bebanan yang terpaksa mereka tanggung. Saya juga merayu kepada orang ramai agar dapat menyalurkan sebarang bantuan atau sumbangan melalui kakitangan saya di Pejabat Ahli Parlimen Telok Kemang.

PROGRAM SEMBOYAN HALILINTAR KE PUTRAJAYA BUKTI SOKONGAN PADU RAKYAT





9 Mac, 2010 - Biarpun dalam keadaan hujan yang begitu lebat, namun ianya tidak sedikitpun mematahkan semangat lebih 10,000 orang yang hadir di kawasan tapak program di Oakland, Seremban 2. Kejayaan program ini ternyata memberikan tamparan yang cukup hebat kepada usaha jahat BN yang sejak awal lagi berusaha keras untuk memperlekehkan dan menggagalkan program tersebut.

Amanat oleh pimpinan dari Pakatan Rakyat terutamanya dari YB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, YB Sdr Lim Kit Siang dan Dato' Mustafa Ali benar-benar memberikan kekuatan dan menambahkan keyakinan rakyat bahawa Pakatan Rakyat mampu untuk membentuk Kerajaan Persekutuan di dalam Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.

Dalam ucapan, saya telah memberi penegasan bahawa Pakatan Rakyat Negeri Sembilan telah membentuk satu permuafakatan yang cukup jitu dan sentiasa bersedia untuk menghadapi PRU 13. Keyakinan ini jelas dibuktikan dengan kejayaan dan kerjasama yang cukup erat di kalangan pemimpin dan ahli komponen parti Pakatan Rakyat Negeri Sembilan di dalam melaksanakan program ini. Sokongan padu oleh rakyat yang tidak berbelah bahagi sekaligus merupakan amaran awal kepada BN bahawa kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya tidak dapat disekat lagi.

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada seluruh sekretariat dan petugas Pakatan Rakyat Negeri Sembilan!