23 April 2012

NEGARA KAYA - KITA MAMPU MANSUH PTPTN - PAKATAN RAKYAT TAWAR PENDIDIKAN PERCUMA


NEGARA KAYA - KITA MAMPU MANSUH PTPTN - PAKATAN RAKYAT TAWAR PENDIDIKAN PERCUMA

Minggu ini pimpinan UMNO/BN resah serta tidak tentu arah dalam menjawab isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), DS Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri juga gagal untuk menyakinkan mahasiswa tentang masa depan pendidikan mereka. Apatah lagi Menteri Pengajian Tinggi yang diam seribu bahasa dalam memberikan hujah kukuh berkaitan pemansuhan hutang PTPTN.
Kita harus faham bahawa pendidikan adalah asas penting dalam sesebuah masyarakat, namun apabila DS Najib gagal untuk menjawab dengan tepat angka dan nilai hutang yang kononnya didakwa bernilai RM 43 bilion sedangkan cacatan sebenar menunjukkan bahawa hanya sekadar RM 24.7 bilion sahaja hutang yang belum dibayar. Hutang tersebut juga adalah jumlah hutang PTPTN sejak daripada penubuhan PTPTN pada tahun 1997. Hutang tersebut wujud dalam tempoh 15 tahun. Secara purata hutang PTPTN setiap tahun adalah RM 2 bilion ringgit. Ini bukanlah suatu jumlah yang besar untuk ditanggung negara.
Ini bermakna DS Najib sendiripun tidak memaklumi data tepat tentang hutang sebenar yang tertunggak sekarang. Hutang PTPTN sebanyak RM 24.7 bilion inipun bukannya dibuat dalam masa setahun ianya memakan masa hampir 15 tahun dengan sekarang jumlah pelajar yang terhutang sekitar 651 000 mahasiswa.
Petronas punyai keuntungan setahun RM 90 bilion. Apakah tidak boleh untuk hanya sekadar 2-3% daripada keuntungan Petronas ini digunakan untuk membayar semula hutang PTPTN para mahasiswa. Jika ini dapat dilakukan, insyallah setiap tahun kerajaan mampu untuk membayar antara RM 2-3 bilion bagi melupuskan hutang PTPTN dalam tempoh 10-12 tahun akan datang.
Dalam pada masa yang sama kita harus mengembalikan suasana pendidikan percuma sehingga keperingkat ijazah bagi menjamin masa depan yang lebih cemerlang buat anak muda Malaysia. Malaysia mampu melaksanakan sistem pendidikan tinggi secara percuma. Laporan audit negara pernah menyebut bahawa Malaysia ketirisan RM 28 bilion setahun. Ini bermakna jika berlakunya penjimatan maka RM 3-4 bilion daripada nilai ketirisan ini juga dapat digunakan untuk membayar hutang PTPTN 651 ooo mahasiswa seluruh negara.
Ini belum lagi dikira jika berlakunya penjimatan pembayaran subsidi gas sebanyak RM 19 bilion kepada penjana bebas yang boleh dijimatkan untuk membiayai pendidikan percuma buat anak muda Malaysia. Kita harus sedar bahawa sumber kewangan negara yang stabil serta diuruskan dengan jujur dan amanah mampu untuk memberikan kita keyakinan bahawa pendidikan percuma bukan suatu yang mustahil untuk dilaksanakan di Malaysia terutamanya sehingga peringkat pengajian tinggi. Ini belum dikira lagi kemana hilangnya RM 52 bilion saham Bumiputera yang juga merupakan harta negara dan rakyat.
Negara tidak akan bankrab jika beri pendidikan percuma kepada rakyat, namun Malaysia akan bankrab jika terus dibiarkan negara diurus oleh pemimpin yang tidak amanah.

Yb. Dato’ Kamarul Baharin Abbas
Ahli Parlimen Telok Kemang
Pengerusi MPN Keadilan N. Sembilan

14 April 2012

Mansuh PTPTN kononnya Negara Bankrab - Tapi ini bukti Kelemahan UMNO BN N. Sembilan


UMNO BN N. Sembilan kena jawab ini dahulu sebelum nyatakan bahawa kononnya negara akan bankrab kalau hapuskan hutang pendidikan PTPTN untuk anak muda dan mahasiswa.

07 April 2012

SOALAN PARLIMEN BERKAITAN DAKWAAN RASUAH PEGAWAI KASTAM - SOALAN MP TELOK KEMANG

7. Dato’ Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang) minta PERDANA MENTERI menyatakan :-

a. Perkembangan penyiasatan kes dakwaan rasuah yang melibatkan pegawai-pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) termasuk yang melibatkan arwah Ahmad Sarbaini Mohamed.


JAWAPAN : YB. DATO’ SERI MOHAMED NAZRI BIN ABDUL AZIZ

Tuan Yang Di-Pertua,

Hasil daripada Ops 3B yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama beberapa agensi penguatkuasa lain, sebanyak 85 Kertas Siasatan telah dibuka yang melibatkan pegawai-pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) termasuk yang melibatkan arwah Ahmad Sarbaini Mohamed.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 23 Kertas Siasatan telah diperakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya

untuk diambil tindakan tataterbit ke atas pegawai Kastam yang berkenaan, 2 kes disyorkan untuk dilucuthak dan 25 Kertas Siasatan masih dalam kajian. Sementara 7 Kertas Siasatan pula sedang diambil tindakan selepas menerima arahan lanjut daripada Timbalan Pandakwa Raya.

Selain itu satu Surat Nasihat juga diberi kepada Ketua Jabatan supaya memperbaiki dan mengambil langkah sewajarnya agar salah laku dan ketidakpatuhan peraturan tidak berulang.

Manakala sebanyak 27 Kertas Siasatan yang telah dikemukakan, pihak Timbalan Pendakwa Raya setelah meneliti kes-kes tersebut mendapati tidak cukup keterangan untuk meneruskan pendakwaan dan mengarahkan supaya ianya ditutup.

Sekian, terima kasih.

03 April 2012

Menteri jawab isu Hospital Rembau - Rupa tidak ada peruntukan ketika diumumkan dahulu


Rujukan Hansard Parlimen 29 Mac 2012 - http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-29032012.pdf

Dato’ Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI KESIHATAN menyatakan :-

a. Rancangan Kementerian untuk membina Hospital Daerah Rembau seperti mana yang dijanjikan ketika Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu; dan

b. Bilakah pembinaan dijangka bermula dan jangkaan kos yang terlibat dan nisbah doktor berbanding pesakit.

Menteri Kesihatan [Dato’ Seri Liow Tiong Lai]:

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Kementerian Kesihatan telah memulakan perancangan bagi membina Hospital Rembau dalam rolling plan pertama Rancangan Malaysia Kesepuluh. Hospital Rembau ini akan dibina di atas tapak seluas 45 ekar yang terletak di mukim Chembong dengan kapasiti 76 buah katil yang akan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit luar dan pesakit dalam serta mempunyai kemudahan perubatan lain seperti yang terdapat di hospital daerah tanpa pakar yang lain. Hospital Rembau juga akan dilengkapi dengan kemudahan satu bilik pembedahan dan menyediakan ruang tambahan bagi sebuah lagi bilik bedah tambahan bagi menampung keperluan pada masa akan datang.


Saya ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Rembau. Sebenarnya beliau telah pun banyak memperjuangkan pembinaanhospital ini dan dapat dipercepatkan sehinggakan beliau berkali-kali berjumpa saya dan juga berjumpa dengan Perdana Menteri untuk dapat kita melaksanakan hospital ini dengan secepat mungkin. Pembinaan Hospital Rembau ini akan dilaksanakan secara berfasa yang melibatkan kerja-kerja tanah dalam fasa pertama dan fasa kedua, pembinaan bangunan.

Kos projek dianggarkan berjumlah RM122.6 juta. Bagi fasa pertama, pihak Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah mengiklankan tender pada 27 Februari 2012 dan tender telah ditutup pada 27 Mac 2012 dan kerja-kerja tanah akan bermula pada awal bulan Mei dan mengambil masa selama empat bulan. Sementara itu, tender bagi fasa dua untuk pembinaan bangunan akan ditender pada penghujung bulan Mei.

Mengikut perancangan Hospital Rembau akan mempunyai enam buah wad termasuk wad lelaki, wad perempuan, wad kanak-kanak, wad bersalin, wad geriatric dan wad rehabilitasi. Fasiliti-fasiliti lain termasuk untuk perkhidmatan pesakit luar, unit kecemasan dan forensik, unit rawatan harian, jabatan x-ray, makmal dan sebuah dewan bedah. Hospital Rembau akan menerima perkhidmatan lawatan pakar-pakar dari Hospital Tuanku Jaafar Seremban yang akan turut memantau perkhidmatan geriatric dan rehabilitasi secara berkala. Hospital Rembau dijangka akan mempunyai pegawai perubatan, doktor seramai 10 sehingga12 orang. Sekian, terima kasih.

Dato’ Kamarul Baharin Abbas [Telok Kemang]:

Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya berterima kasih dengan penjelasan Yang Berhormat Menteri yang begitu detail sekali, hanya semenjak ia dimaklumkan pada tahun 2008 dan juga kawasan pun telah ditentukan, sewaktu itu dengan papan tanda siap dengan papan tanda dan kawasan telah pun di pagar tadi. Saya hanya menyoal perkara ini adalah kerana perkara ini telah memakan begitu lama untuk dilaksanakan dan ditanya-tanya oleh rakyat Rembau apakah ini satu rancangan yang telah pun dimaklumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sewaktu itu sebagai satu cadangan politik. Akan tetapi, alhamdulillah oleh kerana rancangan ini akan diteruskan maka saya hanya ingin tahu mengikut jadual bilakah hospital ini akan siap dan boleh digunakan. Secara keseluruhan kelengkapan yang disebutkan tadi disediakan dan mengikut perbelanjaan yang diperuntukkan iaitu RM122 juta, terima kasih.

Dato’ Seri Liow Tiong Lai:

Memang hospital ini telah pun dirancang pada tahun 2008 dan mempunyai perancangan untuk membina melalui PFI tetapi kerana kesuntukan kewangan, maka ia dimasukkan dalam perancangan Rancangan Malaysia Kesepuluh. Kita telah pun dapat mendahulukan projek komitmen, komitmen-komitmen telah dibuat untuk melaksanakan projek ini dan mengikut perancangan apabila hospital ini dapat ditenderkan pada hujung bulan Mei ini, maka kita boleh mulakan projek pada tahun ini dan ia akan siap dalam masa tiga tahun untuk kita membolehkan hospital ini dapat berfungsi dengan sepenuhnya. Sekian, terima kasih.