29 March 2011

Soalan-Soalan Parlimen Dato' Kamarul Baharin Abbas

Tarikh 28.3.2011

Minta Menteri kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah menyatakan :

a) Hasrat kerajaan untuk memberi hak milik tanah secara individu kepada setiap keluarga Orang Asli; dan

b) Mewartakan bahagian tanah kemunal seperti mana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara.

Merujuk kepada jawapan yang telah diberikan oleh kementerian terbabit, menerusi Jabatan Kemajuan orang Asli (JAKOA) telah meningkatkan usaha serta mewujudkan suatu Dasar iaitu Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah kepada Orang Asli (DPPTOA) seperti mana yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) kali ke 65 pada 4 oktober 2009.

Mesyuarat tersebut telah mengambil ketetapan dan bersetuju dengan cadangan dasar yang telah dibentangkan di mana antara intipati yang penting adalah pemberian hak milik tanah individu kepada Ketua Isi Rumah Orang Asli dengan purata 0.1 hektar (1/4 ekar) untuk tapak rumah dan 2 hingga 6 ekar bagi tanah ladang.

Isu pemilikan tanah di kalangan masyarakat Orang Asli sering dibangkitkan sejak tahun 1990an oleh pelbagai pihak termasuk masyarakat Orang Asli sendiri. Isu ini mendapat perhatian umum dalam tempoh lima (5) tahun kebelakangan ini sama ada melalui forum, seminar, persidangan dan mesyuarat-mesyuarat yang telah diadakan.

Sehingga kini tanah yang diduduki dan diusahakan oleh Orang Asli adalah seluas 50,563.51 hektar (19,713 hentar) telah diwartakan sebagai tanah rizab dan 30,849.86 hektar telah lulus oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) tetapi belum diwartakan. Dianggarkan seluas 85,934.80 hektar tanah telah dipohon kepada PBN dan seluas 8,990.71 hektar didiami tanpa permohonan.

Pihak kementerian telah dan sedang mengadakan perbincangan di antara Kerajaan persekutuan dan Kerajaan negeri bagi menyemak semula Dasar pemberimilikan dan Pembangunan tanah kepada Orang Asli termasuk tanah komunal yang telah dipohon kepada PBN untuk kegunaan aawam seperti mana di bawah Seksyen 62, Kanun tanah Negara.


Pendapat ;

Kita bersetuju dengan tindakan yang telah diambil oleh kerajaan dalam memastikan hak Orang Asli terdapat tanah mereka dan ini dilihat satu usaha yang positif setelah mendapat tekanan daripada pihak tertentu.

Persoalan yang ditimbulkan bilakah kerajaan ini melaksanakan tuntutan pemberian hak milik tanah kepada individu setial keluarga masyarakat orang Asli?

15 March 2011

www.telokkemang.blogspot.com/: Kerajaan Gagal Perjelaskan Kenyataan Perunding Mor...

www.telokkemang.blogspot.com/: Kerajaan Gagal Perjelaskan Kenyataan Perunding Mor...: "Soalan Jawab Lisan 14hb Mac 'Dato' Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang) minta Perdana Menteri menyatakan tindakan kerajaan mengatasi kehilan..."

Kerajaan Gagal Perjelaskan Kenyataan Perunding Morgan Stanley

Soalan Jawab Lisan 14hb Mac

"Dato' Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang) minta Perdana Menteri menyatakan tindakan kerajaan mengatasi kehilangan (mengikut anggaran Perunding Morgan stanley) USD100 bilion kerana rasuah sejak tahun 1980)"

Kerajaan sekali lagi dilihat gagal memperjelaskan secara terperinci soalan jawab lisan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Telok Kemang, Dato' Kamarul Baharin Abbas yang meminta tindakan yang akan diambil oleh kerajaan bagi mengatasi kehilangan USD100 bilion kerana rasuah sejak tahun 1980 lagi mengikut anggaran Perunding Morgan Stanley.

Soalan tersebut dikemukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu adalah satu usaha ingin mengenalpasti tindakan kerajaan dalam usaha untuk membasmi kadar rasuah yang semakin serius di setiap agensi kerajaan terutamanya dalam mendapatkan tender -tender kerajaan secara runding terus mahupun melalui sokongan pegawai atasan.

Melalui jawab lisan secara bertulis yang dikemukakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz itu menjelaskan keutamaan kerajaan untuk membanteras rasuah bukan semata-mata didorong atau disebabkan oleh mana-mana indeks yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak.

Nazri melalui jawapan itu juga memberitahu kerajaan tekad dan komitmen kerajaan ini lahir dari hasrat untuk membina masyarakat Malaysia yang bebas dari rasuah, ini terbukti dengan tindakan telus dan usaha keras yang bersunggug-sungguh yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangani gelaja rasuah tanpa mengira kedudukan individu yang disiasat atau fahaman politik.

Dalam pada itu beliau tidak menolak masih terdapat amalan surat sokongan yang kerap digunakan oleh ahli-ahli politik untuk mempengaruhi dan memintas dasar serta tatacara standard kerajaan bagi mendapatkan kontrak sepertimana garis panduan yang telah ditetapkan oleh Ketua Setiausaha Negara pada 8 Mac 2010.

Dato' Kamarul Baharin dalam ulasannya menjelaskan kenyataan anggaran yang dikeluarkan oleh perunding tersebut perlu diambil serius dan kerajaan tidak boleh mengganggap ia hanyalah sebagai andaian semata-mata kerana angka akibat amalan rasuah itu adalah amat besar dan dalam tempoh 20 tahun kerajaan telah kehilangan USD100 bilion disebabkan oleh rasuah.

Kegagalan kerajaan untuk menjadikan angka tersebut sebagai satu aras petanda kehilangan wang negara akan menyebabkan usaha kerajaan untuk mengatasi gegala rasuah dalam setiap agensi kerajaan tidak akan tercapai.

Beliau dalam pada itu bersetuju dengan usaha kerajaan yang ingin mengatasi aktiviti rasuah ini tetapi dalam masa yang sama beliau mahukan kesungguhan ini perlu meliputi semua lapisan pagawai mahupun pemimpin politik dan yang paling ketara amalan rasuah ini dilakukan adalah ketika berlangsungnya Pilihanraya kecil (PRK) yang mana bukan hanya pegawai bawahan yang mengamalkan rasuah malah ia melibatkan pucuk pimpinan tertinggi di dalam kerajaan dan Umno.

Sikap SPRM yang gagal mengambil tindakkan amalan rasuh PRK ini akan memperlihatkan wang negara akan terus meningkat kehilangannya, jika dalam masa 20 tahun kehilangan USD100 bilion dan tidak mustahil dalam tempoh 5 tahun boleh mencecah USD200 bilion.

Jawapan sesi Soal Jawap 10hb Mac

Dato’ Kamarul Baharin Abbas [Telok Kemang] minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan:-

(a) rasionalnya penswastaan pengurusan sisa pepejal dan juga
penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan
Awam; dan
(b) tindakan yang akan diambil memandangkan sekarang kerajaan
telah menanggung hutang sebanyak RM349 juta kepada syarikatsyarikat konsesi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan [Dato’ Wira Chor Chee Heung]:

Tuan Yang di-Pertua, pertama sekali izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Telok Kemang yang telah pun mengemukakan soalan pada pagi ini. Izinkan saya juga menjawab soalan ini bersekali dengan soalan Yang Berhormat Tanjong pada 15 Mac 2011 dan Yang Berhormat Petaling Jaya Selatan bertarikh 16 Mac 2011 kerana ketiga-tiga soalan ini menyentuh isu yang sama iaitu mengenai pengurusan sisa pepejal.

Tuan Yang di-Pertua, dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih dan sejahtera, penswastaan sistem pepejal dilaksanakan setelah diambil kira;

Pertama, kelengkapan tenaga kerja, sumber kewangan dan kepakaran yang terhad pada kebanyakan PBT dalam menguruskan sisa pepejal. Penswastaan hanya terhad kepada pengutipan dan pengurusan sisa pepejal isi rumah dan pembersihan awam sahaja. Aspek penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang akan dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam suatu agensi di bawah kementerian saya.

Kedua, selain daripada aspek pengurusan dan penguatkuasaan sisa pepejal di tapak-tapak pelupusan, kerajaan turut komited untuk mengurangkan penjanaan dan penghasilan sisa isi rumah di peringkat punca. Oleh yang demikian, program kesedaran rakyat melalui program seperti Kempen Kitar Semula, Kempen 3R dan pengasingan sisa pepejal di punca, separation at source dengan izin adalah amat penting.

Memandangkan aspek ini turut menuntut komitmen dan perhatian yang berterusan dari segi pelaksana maka adalah kurang praktikal sekiranya ianya dibebankan kepada PBT yang telah memikul pelbagai tanggungjawab dalam soal pentadbiran tempatan.

Ketiga, melalui penswastaan juga kerajaan mampu mewujudkan perkongsian pintar ataupun smart partnership dengan syarikat swasta untuk sama-sama meneroka kaedah-kaedah dan teknologi terkini dalam pengurusan dan pelupusan sisa. Aspek pembangunan dan penyelidikan ini amat penting kerana ianya merupakan langkah jangka panjang bagi menjamin kaedah pelupusan sisa pepejal negara sentiasa sejajar dengan tahap pembangunan semasa, kos efektif dan mesra alam.

Keempat, ketiadaan perundangan dan dasar berkaitan pengurusan sisa pepejal yang seragam antara negeri-negeri menyebabkan usaha pengurusan sisa pepejal tidak dapat dilakukan dengan bersepadu dan holistik lantaran peningkatan kos pengurusan dan kos pengendalian sisa pepejal.
Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan pertimbangan-pertimbangan di atas, kerajaan telah pun membentangkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 ataupun dikenali sebagai Akta 672 di Parlimen setelah mendapat persetujuan semua wakil kerajaan-kerajaan negeri dalam mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan ke-58 pada 22 Jun 2007. Oleh yang demikian, tidak timbullah isu bahawa Dewan Undangan Negeri belum meluluskan peralihan kuasa bagi perkara ini.

Penguatkuasaan Akta 672 ini telah dilakukan secara interim di beberapa negeri iaitu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Perlis.

Dalam tempoh interim ini, urusan pengurusan sisa pepejal masih lagi terletak di bawah PBT dan kerajaan mendapati terdapat PBT yang tidak berkeupayaan menjelaskan bayaran kepada syarikat konsesi. Maka bagi meringankan beban PBT yang terlibat, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyalurkan bantuan kewangan kepada PBT-PBT yang kurang berkemampuan iaitu yang mempunyai cukai taksiran di bawah RM10 juta setahun bagi menjelaskan sebahagian bayaran perkhidmatan kepada syarikat konsesi. Namun ingin ditegaskan di sini bahawa kerajaan tidak berhutang sebanyak RM349 juta kepada syarikat konsesi kerana kerajaan belum lagi menandatangani sebarang perjanjian dengan mana-mana syarikat.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 ini dijangka akan dikuatkuasakan di negeri-negeri Semenanjung pada bulan April ataupun masa terdekat. Akta ini akan mengambil alih tanggungjawab pihak berkuasa tempatan dalam urusan sisa pepejal agar segala perancangan dasar, pembangunan fasiliti, pengendalian perkhidmatan dan kawal selia dapat dilaksanakan secara holistik, bersepadu dan lebih efektif lagi.

Perbadanan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam pula telah diberikan mandat untuk merealisasikan hasrat ini dengan memastikan syarikat-syarikat konsesi yang dilantik untuk menjalankan perkhidmatan kutipan sisa pepejal domestik dan pembersihan awam menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan memenuhi kehendak rakyat, mengikut
tatacara berlandaskan KPI yang amat ketat dipatuhi ketiga-tiga buah syarikat konsesi
selepas menandatangani surat perjanjian konsesi. Sekian, terima kasih.

Dato’ Kamarul Baharin Abbas [Telok Kemang]: Terima kasih sekali lagi Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin tanya kepada Yang Berhormat Menteri, sehingga ini Akta PSP dan PA itu belum dilaksanakan sepenuhnya. Jadi setakat mana efektifnya penguatkuasaan mengikut seksyen 34(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya dapat mengatasi kesan buruk kepada alam sekitar, kesihatan komuniti manusia dan ada atau tidak dakwaan dan denda dikenakan kepada syarikat konsesi yang tidak mematuhi mengikut akta tersebut?

Bagaimana cara kementerian mengawal bahan yang tidak termasuk dalam Akta PSP dan PA 2007 ini seperti bahan radioaktif, perubatan atau patologi dan juga bahan-bahan letupan? Sekian, terima kasih.

Dato’ Wira Chor Chee Heung: Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Telok Kemang. Memang kita semua dimaklumkan bahawa Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam masih belum dilaksanakan di negara ini.

Tadi saya sudah sebut dalam jawapan asal. Akta ini akan dikuatkuasakan tidak lama lagi. Mungkin dalam bulan April ataupun masa terdekat. Walaupun demikian, segala pengawasan dan pengawalan aktiviti-aktiviti dan kerja-kerja yang dijalankan oleh syarikat-syarikat konsesi
secara interim, maksudnya dari setahun ke setahun ini diawasi oleh PBT-PBT sendiri.

Kementerian saya melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam sentiasa memberi tunjuk ajar, sentiasa memberi nasihat kepada PBT-PBT untuk mengawasi segala aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh syarikat-syarikat konsesi. Buat masa ini memang tidak ada sebarang denda atau lain-lain tindakan kepada tiga buah syarikat. Cuma setakat ini sudah – penswastaan secara interim telah dijalankan selama 13 tahun dan selama ini kita dapat melihat bahawa walaupun di sesetengah tempat, prestasi, pengutipan dan pengurusan sisa pepejal memang tidak begitu memuaskan lagi. Akan tetapi kita sentiasa memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada mereka.

Bila kita sampai masa selepas menandatangani surat perjanjian konsesi, masa itulah mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, tindakan akan diambil terhadap ketiga-tiga buah syarikat ini jika mereka ini menjalankan kerja tidak berlandaskan ataupun tidak memenuhi KPI-KPI yang telah pun ditetapkan.

Bagi masalah pembuangan sisa-sisa toksik, sisa-sisa radioaktif, walaupun ini bukan di bawah kementerian kita, ini adalah di bawah Kementerian NRE tetapi kita juga mempunyai peranan untuk memberitahu pihak-pihak berkuasa lain yang mengawal sisasisa toksik ini. Kita akan sentiasa berwaspada supaya sisa-sisa ini tidak dibuang oleh mana-mana pihak dengan sewenang-wenangnya. Sekian, terima kasih.

Datuk Dr. Marcus Mojigoh [Putatan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan. Yang kita faham, kementerian ini memang tugasnya melihat bahawa negara ini kita akan ke arah negara maju. Bermakna keterangkuman semua negeri di negara kita termasuklah dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak yang mana terdapat pihak berkuasa tempatan dijaga oleh kementerian negeri masing-masing. Jadi persoalan di sini adakah pihak kementerian yang bertugas sebagai di peringkat nasional ini jenis bantuan kepada PBT-PBT di negeri Sabah ataupun di negeri Sarawak.

Adakah peruntukan yang diberi untuk menangani masalah pembersihan awam dan pengutipan
sampah seperti mana yang telah dilaksanakan di Semenanjung bahawa tiga syarikat yang besar, gergasi dilantik untuk melaksanakan projek yang tertentu dan apa jenis. Kalau tidak ada, apa jenis bantuan yang diberi oleh pihak kementerian pusat kepada PBT-PBT terutama sekali kepada Dewan Bandaraya yang harus dibangun termasuklah pembangunan landskap. Minta penjelasan.

Dato’ Wira Chor Chee Heung: Terima kasih Yang Berhormat Putatan. Memang pada setiap tahun, adalah tanggungjawab Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyalurkan peruntukan-peruntukan kepada semua PBT bukan sahaja setakat mengendalikan pengurusan sisa pepejal. Lain-lain kemudahan pun melalui peruntukan diberikan. Misalnya pada dua hari yang lepas saya berada di Kota Kinabalu untuk menyampaikan geran-geran – dua jenis geran kepada semua PBT di negeri Sabah.

(i) Geran kapital. Di bawah Perlembagaan yang wajib diberikan dan sentiasa dikira mengikut peruntukan-peruntukan yang sedia ada; dan
(ii) Geran bantuan kadar. Jika terdapat bangunan-bangunan kepunyaan Kerajaan Persekutuan di tempat-tempat di bawah kawasan mana-mana PBT. Hasil pintu tidak dibayar oleh Kerajaan
Persekutuan tetapi ia akan digunakan melalui bantuan khas.

Peruntukan khas diberikan juga kepada PBT. Saya ingin bagi satu contoh. Semasa saya ada di Sabah dua hari lepas, kita ambil contoh Kota Kinabalu. Majlis Bandaraya Kota Kinabalu yang dapat lebih daripada RM8 juta. Ini adalah geran kapital dan geran bantu kadar. Selain daripada itu juga, di sebelah Semenanjung, oleh kerana Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan
Awam ini akan dilaksanakan, Kerajaan Persekutuan juga akan menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk membantu mana-mana PBT yang kurang berkemampuan untuk membayar selepas pengutipan hasil pintu.

Walaupun tidak mencukupi untuk membayar syarikat konsesi, Kerajaan Persekutuan masih akan bantu juga. Tanggung beban ini, bantu. Tapak-tapak pelupusan juga walaupun kepunyaan negeri-negeri di Semenanjung tetapi Kerajaan Persekutuan harus menanggung juga beban bayaran untuk menaik taraf tapak-tapak pelupusan. Ini melibatkan peruntukan yang cukup banyak. Walaupun itu adalah kepunyaan kerajaan negeri tidak kira sama ada Kerajaan Negeri Kedah ataupun Kerajaan Negeri Selangor ataupun di mana-mana pun, Kerajaan Persekutuan sanggup juga membantu.

Setakat ini memang kita tidak dapat memperluaskan penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Sabah ke Sarawak sebab terdapat akta-akta yang berlainan. Akta kerajaan tempatan berlainan di Semenanjung dan Sarawak, tetapi selepas saya meneliti kandungan akta ini dan akta kerajaan tempatan, memang tidak ada percanggahan pun. Jika kedua-dua buah negeri hendak, minta juga, selepas kita jalan dengan lancar di Semenanjung, kita akan memperluaskan kepada Sabah dan Sarawak. Sekian, terima kasih

03 March 2011

PKR yakin tawan Negeri Sembilan

Berita& Foto Oleh :NIZAM ZAIN (siasah)

Tembual Dato' Kamarul Baharin Abbas Bersama Wartawan Siasah

Imbasan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008 lalu menyaksikan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Sembilan hampir sahaja menawan negeri adat perpatih ini setelah Barisan Nasional hanya menang tipis pada pertandingan itu. PR telah mendapat sokongan luar biasa rakyat pada pemilihan itu dengan memenangi 15 Dewan Undangan Negeri (Dun) dan tiga parlimen.

Kemenangan PR di Negeri Sembilan ini disumbangkan menerusi Parlimen Telok Kemang, Rasah dan Seremban termasuk beberapa kawasan pedalaman seperti Dun Bahau dan Repah. Walaupun PR gagal menubuhkan kerajaan di negeri ini ekoran kekurangan empat kerusi Dun namun PR berjaya mengagalkan suara dua pertiga BN di Negeri Sembilan.

Ikuti bual bicara NIZAM ZAIN bersama Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR)Negeri Sembilan, DATUK KAMARUL BAHARIN ABBASselaku Ahli Parlimen Telok Kemang untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan semasa politik di negeri adat perpatih ini.

SIASAH: Bagaimana Datuk melihat trend sokongan pengundi di Negeri Sembilan pada pilihan raya akan datang khususnya kawasan Felda yang menjadi kubu kuat Umno-Barisan Nasional, mungkinkah tsunami politik 2008 bakal berulang kembali ekoran BN menang tipis pada PRU Ke-12 lalu?

DATUK KAMARUL BAHARIN ABBAS: Sokongan luar biasa pengundi Negeri Sembilan pada 2008 lalu kebanyakannya datang dari kawasan bandardan kawasan Parlimen yang menang itu hanya Telok Kemang kerana komposisi kaumnya agak seimbang peratusannya iaitu Melayu-40.6%, Cina-36.1%, India-22.2% dan Lain-lain-1.1%. Kawasan yang kebanyakannya pengundi Melayu adalah kawasan Felda yanggagal kita tembusi.

Kawasan Felda seperti Tampin, Jempol, Jelebu dan Labu, kalau dahulunya Felda sukar ditembusi, tapi sekarang sudah ada kesan disebabkan oleh beberapa isu yang kita perolehi dan kita berjaya ketengahkan, melalui beberapa kes yang sudah ditangani dalam mahkamah di mana ada keputusan, tidak kurang pula ada kes baru, seperti kes warga Felda Negeri Sembilan yang berjaya mengenai kes penanaman semula iaitu Felda Serting.

Kes ini bermula apabila Felda melantik kontraktornya sendiri bagi projek penanaman semula malah tawaran yang diberikan kepada peneroka Felda di situ begitu rendah berbanding jika diusahakan mereka sendiri.Kes ini mendapat perintah injuksi dan mahkamah telah memberi kemenangan kepada peneroka Felda.

Insiden ini membuka mata warga Felda, rentetan itu Datuk Seri Najib Razak telah memberi beberapa insentif dan penambahan elaun kepada peneroka Felda tetapi ia tidak cukup untuk menangani masalahmereka. Warga Felda harus insaf kerana perkara ini sudah berlanjutan lebih 40 tahun lalu, jadi kerugian yang dialami peneroka terbabit tidak boleh diabaikan begitu sajakalau tidak dengan tekanan daripada Pakatan Rakyat.

Oleh kerana itu kita berjaya menyedarkan warga Felda terbabit khususnya kawasan Palong, kalau dahulunya sukar ditembusi kerana mereka adalah pengundi tegar BN kerana kita pernah memasukidi sana tetapi gagal apatah lagi Pas yang pernah hilang deposit di kawasan ini.

Sekarang usaha kita mewujudkan pasukan khas untuk menangani masalah dalam Felda ini dengan kerjasama jawatankuasa PKR Pusat yang diketuai oleh Suhaimi Said, kebanyakannya dianggotai pimpinan Negeri Sembilan seperti Ketua Cabang Jempol, Karip Salleh.

Pada PRU12, BN hanya menang tipis, ketika itu Menteri Besarnya adalah Tan Sri Isa Samad yang terlibat dalam politik wang pada pemilihan Umno lalu, tetapi kini beliau dilantik sebagai Pengerusi Felda yang baru, sejauhmana Datuk melihat keupayaan Tan Sri Isa dalammenangani masalah peneroka Felda?

Pada PKR itu satu pelantikan yang baik, kerana memberi ruang kepada Pakatan Rakyat untuk membawa isu-isu yang mana pelantikan Tan Sri Isa itu tidak menunjukkan kebijaksanaan Najib untuk menangani masalah di Felda. Ini dilihat sebagai membayar hutang dengan memberi tempat kepada Tan Sri Isa ekoran daripada hukuman rasuah dalam pemilihan Umno telah mulai kabur, sekarang ini diberi ruang kembali oleh Najib khususnya PRK Dun Bagan Pinang.

Saya tidak yakin Tan Sri Isa dapat menangani masalah Felda kerana ini berkaitan dengan soal dasar yang begitu lama warga Felda telah dikelirukan dengan bermacam-macam tekanan. Dalam masa yang sama Felda melalui Felda Global Ventures Holdings membelanjakan ratusan jutahingga berbillion ringgit membuat pelaburan dalam dan luar negara.

Sejauhmana kerajaan BN di Negeri Sembilan mampu membawa perubahan dalam pembangunan prasarana dan program kebajikan memberi manfaat kepada rakyat setelah 40 tahun menjadi kerajaan negeri? Adakah benar terdapat sesetengah kawasan di negeri ini terpinggir daripada pembangunan?

Saya tidak lihat ada kesungguhan untuk membangunkan Negeri Sembilan contohnya sewaktu Tan Sri Isa menjadi Menteri Besar selama 22 tahun, kawasan Dun Linggi pun tiada pembangunan, selain daripada pembangunan-pembangunan yang wajib yang harus dilaksanakan oleh kerajaan, tidak nampak perkembangan di Negeri Sembilan, itu sebabnya negeri ini agak terpencil pembangunannya berbanding Melaka dan Selangor, kita nampak perbezaannya.

SIASAH: Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi insentif kepadaguru besar dan guru cemerlang, apa yang Datuk lihat di sebalik pemberian ini?

Ini adalah gimik politik, kalau diamati memorandum kita dari dahulu lagi sejak Barisan Alternatif lagi kita amat konsisten mengenai menaik taraf nasib guru-guru, bahkan dalam konvensyen kita baru-baru ini juga menekankan kesungguhan kita menangani masalah elaun guru, guru Kafa, guru sekolah kebangsaan, elaun ketua kampung dan sebagainya, maka kita tidak hairan isu ini cuba bangkitkan Umno-BN.

Pernah kita bangkitkan soal menaikkan elaun kepada Ketua Adat di Negeri Sembilan ini, dengan serta merta kerajaan negeri menaikkan elaun ketua-ketua adat ini, apa pun terserah kepada rakyat untuk menentukan keikhlasan mereka tetapi ada baiknya.

Kalau dahulu sejarah Umno, guru ini adalah simpanan tetap mereka, pemimpin peringkat cawangan dan bahagian Umno itu majoritinya adalah guru-guru, kerana pembabitan mereka dalam kemerdekaan dahulu merupakan pejuang-pejuang tulen, bagaimanapun peranan itu sudah jauh daripada perjuangan asal kerana peranan mereka itu diambil alih oleh pengusaha-pengusaha atau peniaga-peniaga Melayu,dengan kata lain ahli perniagaan yang mengawal peringkat cawangan dan bahagian Umno. Oleh kerana khuatir golongan guru ini merajuk, maka mereka ini diberikan elaun, habis cerita.

Insentif RM7,500 itu diberikan kepada sebuah sekolah, sekiranya saiz sekolah itu besar dan guru pula ramai, akhirnya insentif ini tiada maknanya sekiranya diagihkan, gimiknya apabila dimainkan dalam akhbar diberikan kepada guru besar itu nampak banyak, hakikatnya adalah kecil.

SIASAH: Sejak mutakhir ini kita dikejutkan dengan kematian ramai wakil rakyat yang bertali arus, adakah masih relevan PRK diteruskan yang dilihat membazir wang rakyat walhal ia kerusi yang kosong itu boleh diambil alih oleh kerajaan yang memerintah?

Asasnya adalah perlembagaan, melainkan kita mengubah peruntukan dalam perlembagaan itu, kita terpaksa teruskan PRK, keduanya kita tidak boleh tahan kuasa tuhan sekiranya ramai yang meninggal pada tahun itu, maka kita terpaksa melaksanakan pilihan raya berlandaskan perlembagaan dan peruntukan sedia ada.

Mengenai kesan PRK, kita perlu mengadakannya bagi meneruskan kesinambungan untuk melaksanakan tugas-tugas dalam kawasan, sebenarnya kalau diikutkan tugas-tugas pengurusan ia boleh dilakukan oleh pegawai kerajaan, pejabat daerah, majlis perbandaran dan sebagainya.

Wakil-wakil rakyat hanya menasihati atau melaksanakan dasar mengikut saluran-saluran tertentu, kalau tiada wakil rakyat, maka rakyat tiada tempat untuk mengadu kerana aduan kawasan perlu dikemukakan kepada wakil rakyat menerusi pejabat khidmat masyarakat.

Kali ini sahaja banyak pilihan raya kecil, tidak tahu pasal apa, terlampau banyak orang persoalkannya, apakah perlunya PRK setiap kali ada kematian, tetapi keadaan ini hanya sehingga Mac ini sahaja, selepas tempoh tersebut tiada lagi PRK kerana genap 2 tahun atau akhir satu penggal, jadi peruntukan itu sudah ada untuk menghadkan tempoh PRK diadakan.

SIASAH: Apakah harapan Datuk terhadap PRK Merlimau dan Kerdau yang bakal dilaksanakan secara serentak, oleh kerana itu apakah usaha dan program yang dilaksanakanPakatan Rakyat dalam memenangi hati rakyat di kawasan tersebut?

Kedua-dua tempat ini saya yakin Pas akan bertanding, jadi kita memberi bantuan dan kerjasama dalam semangat Pakatan Rakyat. Sepertimana PRK yang lain,soal tenaga dan program kerja itu sama mengikut kawasan-kawasan tertentu. Sekarang ini Pakatan Rakyat Melaka akan menentukan tugas-tugas diketuai oleh PKR.

Dun Kerdau ini terlalu awal kerana ia agak mengejutkan dan keputusan untuk pengundian pula adalah sama, soal pembahagian jentera pilihan raya itu tidak menjadi masalah hanya logistik lebih baik di Merlimau kerana ia kawasan separuh bandar berbanding Dun Tenang yang kebanyakannya adalah kawasan Felda.

SIASAH: Jika dilihat suasana di Merlimau, kita dapati seolah-olah tiada isu yang dimainkan oleh Barisan Nasional, adakah mungkin kerana jumlah pengundi agak sedikit berbanding di Tenang dan 4,000 pengundi Merlimau adalah ahli Umno?

Mungkin BN sangat yakin di Merlimau, mereka yakin mampu bertahan, saya lihat Pas bersungguh-sungguh pada PRK kali ini, sekurang-kurangnnya sasaran kita adalah mengurangkan majoriti BN, yang penting kita sampaikan mesej, agenda besar kita ialah Pilihan Raya Umum ke-13, kepada sesiapa yang memenangi kedua-kedua PRK ini, mereka hanya boleh mentadbir kawasan tidak lebih dua tahun sahaja, terpulang kepada kerajaan apabila hendak mengadakan pilihan raya umum, sekiranya PRU13 pada hujung tahun ini, maka tidak sampai 6 bulan penggal mereka nanti, melainkan mereka diberi peluang sekali lagi bertanding di tempat yang sama pada PRU13 akan datang.

Lawan itu tetap kita lawan dan bertanding, kita tidak mahu mana-mana pihak menang tanpa bertanding.Ini juga adalah kesempatan untuk mengukurkemampuan kita untuk menawan kerusi-kerusi tersebut.

Biarpun ahli Umno di Merlimau adalah lebih 4,000 orang tetapi banyak kali diperkatakan soal ini malah dahulu pun pernah disebut ahli Umno lebih 3 juta orang, bagaimanapun tidak semua ahlinya masih aktif, tidak kurang juga mereka yang sudah meninggal dunia, maka tiada jaminan Umno akan kekal menang di mana-mana kawasan pun.

Kalau kita imbas kembali Pemilu 2008, jumlah undi yang diperolehi Umno tidak mencerminkan keahlian Umno, apa maksudnya? Kita dapat simpulkan di sini bahawa bukan semua mengundi Umno ataupun bukan semua yang keluar mengundi ataupun ahli Umno sendiri mengundi pembangkang. Oleh kerana itu jumlah ahli Umno itu tidak memberi kesan dalam jumlah undi bakal diperolehi nanti.

Lebih memalukan apabila terdapat ahli Umno itu sendiri yang tidak mendaftar sebagai pengundi yang sah.Pelbagai kemungkinan tetapi yang jelas bukan semua ahli Umno yang berdaftar itu mengundi, selain itu bukan semuanya mengundi Umno, itu yang bahaya kepada mereka, tidak dinafikan situasi ini juga boleh berlaku dalam Pakatan Rakyat atau PKR sendiri.Kalau kita bandingkan jumlah undi yang kita perolehi pada pilihan raya lalu dan jumlah undi yang berdaftar sebagai ahli, ia mencerminkan kelebihan yang mengundi, pada saya tidak penting berapa ramai ahli, yang penting berapa ramai pengundi dan penyokong.

SIASAH: Trend PRU 2008 dilihat orang Cina dan India menyokong Pakatan Rakyat, adakah trend ini dapat dikekalkan pada masa akan datang dalam membantu PR menjadi Kerajaan Persekutuan?

Ini jelas undi Cina terbukti dalam pilihan raya kecil di Johor, ia nampak konsisten dan India pun ada sedikit, mereka masih menganggapkan kaum yang terpinggir, kita tidak boleh bandingkannya dengan pilihan raya umum kerana bermacam habuan diberikan pada pilihan raya kecil, namun mereka masih sedar bahawa mereka kaum terpinggir termasuk Orang Asal dan kaum Melayu di luar bandar khususnya Felda.

Dalam PRK mudah kita mengawalnya berbanding PRU, siapa jangka PR boleh menang besar pada 2008, ini kerana BN pada waktu itu mengambil kira perkembangan sebelum 2008 apatah lagi 2004 khususnya Keadilan hanya tinggal satu kerusi, daripada senario ini mereka tidak mengambil kira perubahan yang berlaku, tetapi 2008 berlaku.

Kalau trend iniberterusan malah undi kaum Melayu, India dan Cina akan meningkat itu cuma satu andaian yang kita buat kerana hendak ambil kira sebagaimana mengambarkan apa yang akan terjadi PRU13 akan datang. Terserah kepada mereka tetapi kita tahu kenapa perubahan itu berlaku apakah khusus untuk PRK dan tidak mencerminkan suasana kalau kita mengadakan PRU akan datang.

SIASAH: Ada pihak mengatakab bahawa ahli dan penyokong PKR sendiri akan merosakkan parti itu pada masa akan datang disebabkan sejak mutahir ini banyak kontroversi, banyak kes dan banyak perkara yang mencerminkan PKR tidak konsisten medan politik negara?

Soal konsisten itu saya tidak bersetuju, kita (PKR) sememangnya konsisten Cuma pelaksanaan itu mungkin ada kelemahan di sana sini, makluma kita satu parti yang baru 12 tahun, begitu mendadak sekali peningkatan prestasi parti dan dalam masa itu juga kita terpaksa mengambil kira tenaga baru yang mahu bersama kita dalam parti.

Parti ini asalnya daripada gabungan ahli dari badan bukan kerajaan (NGO), parti-parti lain dan partipertama bagi mereka yang belum mempunyai parti politik, oleh kerana pada waktu itu dalam masa yang singkat peningkatan prestasi yang mendadak itu banyak pula kelemahan yang tidak dapat kita atasi, tiada ruang masa sepenuhnya untuk menumpukan kepada masalah-masalah.

Jika lihat pada pemilihan PKR baru-baru ini, satu pembaharuan cuba kita bawa yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana parti politik negara ini dengan mengiktirafkan hak undi setiap ahli PKR, kita akui wujudnya banyak kelemahan, tetapi apakah sistem yang kita guna pakai itu tidak elok? Sistem itu sebenarnya elok tetapi kelemahannya pada pelaksanaan, ini tidak bermakna kelemahan itu akan berpanjangan selamanya.

Saya percaya kalau parti lain termasuk Umno kalau melaksanakan sistem yang sama, mereka akan mengalami masalah ini, dalam hal ini dalam tempoh 3 tahun akan datang kelemahan ini akan berkurangan.

SIASAH: Sekiranya empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat ini masih belum menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, adakah rakyat akan memberi peluang kedua dan yang seterusnya kepada PR sebagaimana yang pernah diberikan kepada Barisan Nasional sejak 50 tahun lalu?

Yang pertamanya belum habis satu penggal lagi, apa yang rakyat boleh harapkan dengan kerajaan Pakatan Rakyat berbanding kerajaan BN yang tidak mampu mempamerkan prestasi kerja setelah memenangi dalam 12 pilihan raya umum, oleh sebab itu kita tidak boleh bandingkan dengan PR belum pun sepenggal mentadbir negeri.

Berdasarkan tinjauan yang kita jalankan dalam empat kerajaan negeri Pakatan Rakyat mendapati banyak ruang pembaharuan boleh dilakukan yang memberi manfaat kepada rakyat. Tidak dapat dielakkan kelemahan yang wujud tetapi kelemahan itu hasil daripada mana, apakah kelemahan ini hasil daripada kemampuan Pakatan Rakyat mentadbir ataupun kelemahan ini ialah diwarisi oleh kerajaan PR.

Oleh kerana banyak kelemahan yang kurang diurus dengan baik berpuluh tahun ini, kadang-kadang memberi kesukaran kepada kita menangani masalah itu dalam masa yang singkat. Jadi waktu memang kita tidak ada, saya percaya kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa berusaha, oleh kerana terlalu banyak kelemahan lampau, kita terpaksa mendahulukan mengatasinya mengikut keutamaan dan kemampuan menyelesaikannya.