21 October 2010
Jawapan Jawab Lisan, Isu Lebuh Raya Seremban Port Dickson
20 October 2010
Jawapan Jawab Lisan, Isu Felda
(a) tindakan kerajaan terhadap peguam yang gagal menghadirkan diri di mahkamah yang menyebabkan FELDA disabitkan kesalahan oleh mahkamah; dan
(b) apakah FELDA bercadang untuk menaikkan kadar perahan gred (KPG) setelah mahkamah memutuskan memihak terhadap penerokaan FELDA Kemahang, Kelantan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Datuk Haji Ahmad bin Haji
Maslan]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, FELDA mengambil iktibar yang serius terhadap ketidakhadiran peguam dalam FELDA Kemahang 3, Kelantan. Kes ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 13 Januari 2008 yang telah menyebabkan FELDA disabitkan kesalahan dan FELDA telah membayar lebih kurang RM11 juta.
Mahkamah telah menetapkan perbicaraan kes tersebut berlangsung selama dua hari iaitu pada hari Ahad, 13 Januari 2008 dan 14 Januari 2008. Walau bagaimanapun perbicaraan kes diteruskan tanpa kehadiran peguam FELDA pada 13 Januari 2008 itu. Peguam kes meletakkan jawatan atas sebab peribadi pada 28 Disember 2007. Mahkamah telah mensabitkan kesalahan ke atas FELDA dengan tanpa mendengar pembelaan daripada pihak FELDA, kes ini dimuktamadkan di Mahkamah Persekutuan pada 26 Ogos 2010.
Sebagai tindakan kepada peguam berkenaan, FELDA melalui sebuah jawatankuasa khas telah memanggil firma guaman itu dan mengeluarkan satu notis tunjuk sebab bertarikh 4 Oktober 2010 kepada firma guaman tersebut untuk mengemukakan penjelasan bertulis berhubung ketidakhadiran mereka pada perbicaraan berkaitan. FELDA akan mempertimbangkan jawapan pada notis tunjuk sebab itu untuk mengambil sebarang tindakan terhadap firma guaman tersebut termasuklah kemungkinan mengambil tindakan undang-undang, menamatkan perkhidmatan mereka dan membuat aduan rasmi kepada Majlis Peguam.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat pada soalan bahagian dua, penentuan kadar perahan gred sawit (KPG) bagi hasil buah tandan segar (BTS) yang dihantar oleh peneroka sama ada naik atau turun bergantung kepada kualiti BTS yang diterima oleh kilang. Pemberian gred adalah berpandukan kepada manual penggredan BTS yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). MPOB adalah pihak berkuasa yang berkaitan dengan industri sawit dan sebuah badan bebas yang mengeluarkan garis panduan penggredan BTS. Ini adalah contoh manual sebanyak 40 muka surat.
Bagi memastikan penggredan berjalan lancar di peringkat kilang dan rancangan, pihak FELDA telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Persepakatan Bersama (JCC) yang dianggotai oleh pengurus rancangan, pengurus kilang dan wakil peneroka setiap rancangan di Malaysia. Di peringkat ibu pejabat pula, jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Bertindak Khas yang dianggotai oleh FELDA, Syarikat Felda Palm Industries Sdn. Bhd., ketua peneroka yang merupakan Ahli Lembaga FELDA dan seorang Ahli Lembaga pengarah FELDA yang lain.
Jawatankuasa ini akan memantau setiap Jawatankuasa Persepakatan Bersama (JCC) dan mengadakan mesyuarat pada setiap bulan, kadar perahan sawit setiap kilang adalah di antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan dan pemantauan akan sentiasa dilakukan. Bukti-bukti dan rekod yang ada dalam kes FELDA Kemahang 3, kadar perahan adalah yang betul dan tidak wujud penipuan konspirasi sebagaimana di pihak FELDA yang dituduh oleh pelbagai pihak. FELDA tidak menipu peneroka tetapi sentiasa membina peneroka dan generasi barunya di seluruh negara.
Mengenai kadar perahan juga, Pusat Bioteknologi FELDA di Nilai Negeri Sembilan merupakan pusat tissue culture yang terbesar di dunia, antara lain untuk mencari pelbagai benih termasuk sawit yang terbaik. Benih sawit terkini keluaran FELDA bernama Yangambi ML 161 adalah antara yang terbaik di negara ini dan berpotensi mengeluarkan kadar perahan yang sangat tinggi, terima kasih.
Dato’ Kamarul Baharin Abbas [Telok Kemang]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, sebenarnya perkara tidak seharusnya sampai ke mahkamah, sesudah 15 tahun kalau kita mengamalkan kerjasama di mana FELDA menganggapkan peneroka ini sebagai rakan kongsi dan bukan sebagai pekerja ataupun kuli. Jadi pendapat mahkamah yang berpuas hati bahawa kadar gred harga kelapa sawit yang diberikan oleh pihak berkenaan adalah tidak munasabah, ini keputusan mahkamah.
Oleh itu, jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri itu tidak menjawab apakah FELDA sekarang ini akan meningkatkan kadar gred mengikut apa yang terdapat dalam keputusan yang dibuat oleh mahkamah yang disokong oleh Makmal Sime Darby Research dan Felda Analytical Laboratory. Ini kerana dalam hal kelapa sawit perbezaannya lebih kurang dalam 5% dan ini juga akan mengakibatkan gred kadar getah kering yang sekarang ini perbezaannya lebih daripada 10%.
Jadi soalan saya ialah, kenapa FELDA tidak mengikut apa yang – kerjasama dengan peneroka untuk menentukan gred yang sesuai dan boleh diterima oleh kedua dua belah pihak, terima kasih.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Saya telah menjawab tadi Yang Berhormat. Kita ada satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Persepakatan Bersama. Siapa dia dalam jawatankuasa itu. Pertama pengurus kilang di tempat ladang kelapa sawit itu. Kedua ketua peneroka, ketiga pengurus rancangan. Selepas itu kita ada juga Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR).
Jawatankuasajawatankuasa ini bermuafakat dan bukan kita buat keputusan semberono. Kita ada manual penggredan buah kelapa sawit yang dikeluarkan oleh MPOB bukan kita buat keputusan sesuka hati tentang gred sawit ini. Dalam kes Kemahang 3, para pegawai memaklumkan kepada saya sebenarnya bukan tidak ada langsung penipuan. Padahal gred yang kita bagi itu adalah yang terbaik dan yang sepatutnya diberikan di Kemahang 3. Itu yang berlaku.
Kemudian mengenai kaedah-kaedah yang disebut oleh Yang Berhormat itu, FELDA sedang memikirkan tentang hal yang terbaik dan sentiasa memikirkan perkara yang terbaik untuk peneroka. Itu sebab kita ada pelbagai usaha untuk mencari benih yang terbaik bukan hanya benih kelapa sawit, tetapi juga benih yang terbaik untuk getah dan juga tanaman-tanaman yang lain. Terima kasih.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: [Bangun]
Tuan Haji Salleh Kalbi [Silam]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, kita melihat peranan FELDA itu dari segi pembangunan hartanah dan kawasan yang terdapat di kawasan saya merupakan antara yang terbesar di Malaysia dan di dunia. Saya risau akan berterusan kes-kes saman ini dilakukan oleh pihak-pihak tertentu. Saya mohon penjelasan daripada pihak kementerian berhubung dengan kenyataan saman baru yang diutarakan oleh pihak tertentu di akhbar Harakah baru-baru ini tentang kes saman peneroka FELDA di Sungai Koyan 2 dan 3.
Saya berharap penjelasan daripada pihak kementerian, adakah ianya menjurus kepada pengurusan tanah yang akan dilibatkan peneroka itu dan ini boleh menjejaskan kredibiliti FELDA dalam pengurusan tanah di negara kita ini. Terima kasih mohon jawapan.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat Silam. Di Silam ada satu kawasan FELDA, nama FELDA Sahabat. Keluasan FELDA Sahabat itu lebih kurang sama besar dengan sebuah Negeri Sembilan. Apa yang berlaku baru-baru ini tentang FELDA Sungai Koyan 2 dan 3 dan dilaporkan dalam muka depan sebuah akhbar pembangkang menyatakan bahawa, “FELDA Kalah Lagi.” Sebenarnya laporan itu tidak benar, tidak tepat, tidak betul.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Yang tadi lawyer tidak hadir. [Ketawa] Lawyer letak jawatan 2007, 2008 patut cari lawyer lainlah. Apa.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Yang ini peguam bela FELDA datang. Dalam kes Koyan ini, peguam bela FELDA datang. Kalau FELDA kalah Ahli-ahli Yang Berhormat, FELDA akan merayu kes ini. Akan tetapi FELDA tidak merayu kes ini sebab keputusan mahkamah sebenarnya menyebut bahawa Felda hendaklah membayar kepada mereka yang tanam semula sawit secara sendiri ini RM1,700 seekar jika mereka mengikuti garis panduan FELDA. Kita selama ini telah memberikan mereka yang tanam semula sawit secara sendiri ini wang RM17,000 untuk 10 ekar itu jika mengikut garis panduan FELDA. Bererti keputusan itu mengesahkan apa yang dibuat FELDA sebelum ini.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Lawyer hadir. Lawyer hadir, lawan jugalah. [Dewan riuh]
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Dengarlah sudah cakap tadi.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat...
Tuan M. Kulasegaran [Ipoh Barat]: Suara UMNO.
Tuan Yang di-Pertua: Perkara lain itu Yang Berhormat nanti bincang di luar.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Ya.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Tuan Yang di-Pertua, cara dia jawab FELDA Kemahang, lawyer letak jawatan 2007.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Saya belum habis lagi Tuan Yang di- Pertua.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Kes 2008 Januari patut hantar ke lawyer lain. Yang ini dia kata, dia tidak bantah keputusan mahkamah, tidak rayu sebab keputusan itu sama dengan pendirian FELDA. Kalau tidak bantah, kalau sudah sama, patut tidak hantarlah lawyer lawan. [Ketawa]
Tuan M. Kulasegaran [Ipoh Barat]: Menteri kelam-kabut.
Tuan Yang di-Pertua: Teruskan, teruskan Yang Berhormat Timbalan Menteri.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Ya. [Ketawa] Ini cerita pasal Sungai Koyan Yang Berhormat Pokok Sena. Sungai Koyan.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Memalukan.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Kerenah Ahli Yang Berhormat itu memalukan yang sebenarnya. [Ketawa] Jadi apa yang berlaku di Sungai Koyan ini Tuan Yang di-Pertua, kes itu FELDA tidak kalah dan kita ingin menasihatkan kepada peneroka-peneroka yang dihasut oleh pihak-pihak yang macam Pokok Sena...
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Dua-dua kalah. Yang satu tipu, yang ini kecuaian. Dua-dua kalah. Apa.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Supaya jangan menyaman FELDA kerana kalau saman FELDA Tuan Yang di-Pertua. Kalau saman FELDA, kalau tidak saman pun kita bagi juga. [Dewan riuh]
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: [Menyampuk]
Tuan Yang di-Pertua: Jangan bertengkar Ahli-ahli Yang Berhormat, jangan bertengkar. Sila teruskan Yang Berhormat Timbalan Menteri. Yang Berhormat Pokok Sena sudah Yang Berhormat Pokok Sena.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: [Ketawa]
Seorang Ahli: Tidak samanlah.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Ini, apa? Pusing. Memang ini kuat putar alam. [Ketawa]
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Bukti bahawa FELDA bukan kalah lagi sebab kami tidak akan merayu. FELDA tidak merayu kes ini...
Tuan M. Kulasegaran [Ipoh Barat]: Menteri kelam-kabut.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Itu sebab FELDA tidak kalah dalam kes Sungai Koyan ini.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Tidak merayu tetapi lawan kes...[Ketawa]
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Tuan Yang di-Pertua...
Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Jangan hendak jadi herolah.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Kita boleh jumpa di luar selepas ini. Hari itu sudah jumpa di luar tidak selesai lagi nampaknya. Kalau tidak dapat jumpa di sini kita jumpa di Galas, insya-Allah.
Dato’ Mahfuz bin Haji Omar [Pokok Sena]: Boleh, no problem.
Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Terima kasih, terima kasih.
Tuan Yang di-Pertua: Ya, ya. Saranan saya terima. Kamu berjumpa di Galas.[Ketawa]
19 October 2010
Speaker Tolak Usul Iktiraf Orang Asli Semenanjung Sebagai Bumiputera

Speaker Parlimen hari ini menolak usul Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas agar menangguhkan mesyuarat di bawah peraturan mesyuarat 18(1) bagi membincangkan pengiktirafan kedudukan peribumi Orang Asli sebagai bumiputera .
Takrifan ini yang termaktub dalam Fasal (2) Perkara 160 serta memaktubkan secara jelas kedudukan istimewa mereka sebagai bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan dalam kamar di parlimen tengahari tadi.Kamarul yang ditemui media di lobi parlimen menyatakan kekesalan terhadap keputusan itu namun berikhtiar akan terus memperjuangkan hak Orang Asli seluruh Semenanjung Malaysia.
“Kita minta kerajaan mempertimbangkan usul kerana Orang Asli menunggu terlalu lama untuk mendapatkan pengiktirafan dan hak sebagai kaum bumiputera,” rayu beliau.
Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Simpang Suda yang ditemui TV Selangor berkata, perancangan dibuat bersama Datuk Kamarul sejak minggu lalu selain menaruh harapan besar terhadap kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut.
Beliau menambah, kedudukan Orang Asli di Semenanjung Malaysia seolah-olah dipinggirkan walhal golongan ini turut membantu memperjuangkan kemerdekaan negara sejak 53 tahun lalu.
Menurut Simpang, pihaknya sangat mengharapkan usul ini diterima oleh dewan. Kalau tidak terima kami sedih sebab dalam hanya diletakkan dalam perlembagaan orang Melayu, Bumiputera, Sabah dan Sarawak. Habis di mana orang asli ini? Kerana itu lah kita memohon dewan masukkan perkataan dan Orang Asli Semenanjung Malaysia, itu sahaja.
Menurut Simpang lagi, tidak wujud sebarang niat untuk melakukan demostrasi di Parlimen namun sekadar untuk menjadi pemerhati kepada usul yang cuba dibawa ke parlimen.
“Apa yang kita lihat, di mana kedudukan Orang Asli ini. Kalau dalam perlembagaan sudah ditetapkan, jadi itu satu pengitirafan kepada masyarakat Orang Asli bahawa kami dapat keistimewaan seperti apa yang orang lain dapat. Tidak tertindas tapi kami rasa terpinggir kerana pengiktirafan didalam perlembaagan iaitu undang-undang tertinggi di dalam negara seolah-olah tidak mengiktiraf Orang Asli. Terkecil hati juga lah,” rintih beliau.
Seramai 18 wakil Orang Asli dari seluruh Malaysia tiba di bangunan Parlimen seawal 9 pagi tadi, namun mereka ditahan pihak polis kerana khuatir akan mewujudnya demostrasi. Namun mereka dibenarkan masuk kemudian.
13 October 2010
Jawapan Kepada Jawab Lisan
7. Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan
adakah kerajaan mempunyai dasar mengenai kegunaan tenaga nuklear memandangkan beberapa negara telah menunjuk minat untuk beralih kepada tenaga atom seperti jangkaan International Atomic Agency (IAEA) bahawa 10.4% tenaga global akan dihasilkan oleh loji nuklear (nuclear reactor) pada tahun 2030.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air [Dato' Sri Peter Chin Fah Kui]:
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mohon izin untuk menjawab soalan pagi ini bersama
dengan beberapa persoalan yang dikemukakan oleh beberapa Ahli-ahli Yang Berhormat
pada sesi ini serentak. Ini kerana kesemua soalan adalah berkaitan nuklear dan
memerlukan jawapan secara holistik supaya ia lebih jelas dan mudah difahami.
Ahli-ahli Yang Berhormat dan pertanyaan-pertanyaan yang dimaksudkan adalah
daripada Yang Berhormat Petaling Jaya Selatan pada 11 Oktober, Ahli Yang Berhormat
Hulu Langat bertarikh 22 November, Ahli Yang Berhormat Seremban bertarikh 24
November, Ahli Yang Berhormat Shah Alam bertarikh 1 Disember, dan juga Ahli Yang
Berhormat Telok Kemang bertarikh 2 Disember.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, kerajaan telah
melaksanakan dasar mempelbagaikan bahan api bagi penjanaan elektrik untuk
memastikan keselamatan tenaga dengan izin, energy security serta kemapanan Sistem
Bekalan Elektrik Negara jangka masa panjang.
Permintaan bekalan elektrik negara dijangka meningkat pada kadar purata 2.6%
setahun untuk tempoh tahun 2010 sehingga tahun 2030. Dalam hal ini, kebergantungan
secara berterusan kepada sumber bahan api, gas dan arang batu dijangka tidak mampu
untuk menampung peningkatan dalam penjanaan tenaga elektrik khususnya bagi
memenuhi keperluan based load dengan izin, yang mana memerlukan kuantiti
penjanaan yang besar dan berterusan.
Justeru itu, kerajaan sedang mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai salah
satu sumber tenaga automatif jangka panjang yang dapat menampung peningkatan
permintaan elektrik khususnya bagi tempoh pasca 2020. Opsyen penjanaan daripada
sumber tenaga nuklear ini juga boleh dianggap memenuhi sebahagian besar kriteria
teknologi hijau seperti berikut:-
(i) meminimumkan degradation kualiti persekitaran;
(ii) mempunyai pembebasan gas rumah hijau (GHG) yang rendah
atau sifar;
(iii) selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat
yang lebih baik untuk semua hidupan; dan
(iv) menjimatkan tenaga dan sumber asli.
Walau bagaimanapun, keputusan muktamad untuk mengembangkan dan
meluaskan sumber tenaga nuklear masih belum dibuat oleh kerajaan. Keputusan
muktamad mengenai perkara ini akan hanya dibuat setelah melaksanakan kajian-kajian
tertentu selaras dengan garis panduan International Atomic Energy Agency (IAEA) yang
antaranya merangkumi aspek perundangan, sumber manusia, teknologi dan
sebagainya.
Memandangkan keputusan muktamad mengenai penglibatan negara dalam
bidang kuasa nuklear untuk penjanaan elektrik masih belum dibuat, maka kerajaan
masih belum menentukan lokasi bagi loji jana kuasa nuklear pertama di negara ini.
Namun, kajian mengenainya sedang dilaksanakan dan kerajaan akan memastikan
bahawa semua peraturan atau piawaian yang berkaitan dengan keselamatan loji jana
kuasa nuklear termasuklah keselamatan lokasi, diguna pakai dan dipatuhi sebelum
lokasi yang bersesuaian ditentukan selepas keputusan muktamad mengenai
pelaksanaan loji jana kuasa nuklear dibuat.
Ahli-ahli Yang Berhormat, di samping pelaksanaan kajian-kajian tersebut yang
bertujuan untuk mengukur tahap kesediaan dan kemampuan negara untuk menceburi
bidang kuasa nuklear, maklumat mengenai tenaga nuklear perlu dipertingkatkan
penyebarannya bagi meningkatkan kesedaran serta memberi pendidikan kepada semua
lapisan masyarakat terhadap manfaat dan risiko penggunaan tenaga nuklear.
Sehingga kini, pelbagai program pendidikan dan kesedaran awam telah
dilaksanakan oleh pihak kerajaan sama ada dalam bentuk penganjuran seminar dan
bengkel, penyediaan buletin dan brosur dan sebagainya. Namun, usaha-usaha tersebut
perlu dilipatgandakan lagi dan kementerian saya bersama-sama dengan agensi-agensi
lain yang berkaitan sedang merancang dan melaksanakan program pendidikan dan
kesedaran awam secara lebih komprehensif dan telus.
Justeru, suka saya ingin menyatakan di Dewan yang mulia ini bahawa pemilihan
sesuatu sumber penjanaan tenaga elektrik sama ada dari sumber tenaga nuklear
ataupun sumber tenaga boleh diperbaharui ataupun sebagainya, bukan merupakan
penyelesaian mutlak kepada keperluan bekalan elektrik pada masa hadapan. Malah,
sumber penjanaan elektrik yang berpotensi di negara ini perlu digunakan secara
optimum untuk menjadi pelengkap dan bukannya pengganti dalam keseluruhan sistem
pembekalan elektrik negara. Sekian, terima kasih.
07 October 2010
Soalan-Soalan Parlimen Dato' Kamarul Baharin Abbas
PERTANYAAN-PERTANYAAN BAGI MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KETIGA
PARLIMEN KEDUA BELAS
diterima dan dijawab mengikut tarikh
Hari Selasa, 19 Oktober 2010 - soalan no 16
1. Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas (Telok Kemang) minta PERDANA MENTERI menyatakan:-
a) tindakan kerajaan terhadap peguam yang gagal menghadirkan diri di mahkamah yang menyebabkan Felda disabitkan kesalahan oleh mahkamah; dan
b) apakan Felda bercadang untuk menaikkan kadar perahan gred (KPG) setelah mahkamah memutuskan memihak terhadap peneroka Felda Kemahang, kelantan
Hari Khamis, 21 Oktober 2010 - soalan no 2
2. Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan:-
a) status pembinaan Lebuh Raya Seremban-Port Dickson ke FR5 Pasir Panjang-Linggi yang telah tergendala; dan
b) nyatakan bilakah kerja penyambungan projek tersebut akan dimulakan dan jumlah penalti yang dikenakan kepada kontraktor berkenaan sehingga kini.
Hari Selasa, 2 November 2010 - soalan no 35
3. Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan:-
a) adakah wang KWSP digunakan oleh kerajaan bagi menampung kos tambahan kepada setiap projek yang mengalami kerugian; dan
b) senaraikan projek-projek tersebut serta jumlah suntikan kewangan dari KWSP dan berapakah jumlah pinjaman telah dibayar mengikut jadual kepada KWSP.
Hari Rabu, 10 November 2010 - soalan no 28
4. Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan:-
a) alasan perancangan projek lebuh raya (Central Spine Expressway) dari Seremban-Karak-Gua Musang-Kota Bharu dibatalkan pembinaannya; dan
b) apakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menaiktaraf laluan yang sedia ada.
Hari Rabu, 24 November 2010 - soalan no 3
5. Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan:-
a) berapakah jumlah dana yang telah diberikan kepada Value CAP dari mula ditubuhkan sehingga sekarang untuk melabur dipasaran saham; dan
b) prestasi kedudukan untung rugi pelaburan itu sehingga masa kini.
Hari Isnin, 29 November 2010 - soalan no 32
6. Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan:-
a) berapakan jumlah jaminan yang diberikan kepada pinjaman yang diambil oleh syarikat milik kerajaan (GLC) yang berbentuk pinjaman langsung atau pengeluaran bon-bon dari 2005 hingga 2009; dan
b) baki tertunggak dan perlu dijelaskan dari sekarang hingga tahun 2020.
Hari Khamis, 2 Disember 2010 - soalan no 37
7. Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan
adakah kerajaan mempunyai dasar mengenai kegunaan tenaga nuklear memandangkan beberapa negara telah menunjuk minat untuk beralih kepada tenaga atom seperti jangkaan International Atomic Agency (IAEA) bahawa 10.4% tenaga global akan dihasilkan oleh loji nuklear (nuclear reactor) pada tahun 2030.
Hari Isnin, 6 Disember 2010 - soalan no 13
8. Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan:-
rasionalnya mengadakan kursus berasingan untuk mendapatkan sijil NIOSH OIL & GAS SAFETY PASSPORT (NIOSH) dengan yuran RM250 bagi tiap-tiap sijil untuk pekerja bagi beberapa sektor-sektor industri yang mewajibkannya dan kenapa tidak satu kursus untuk semua industri.
Hari Khamis, 9 Disember 2010 - soalan no 12
9. Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan:-
a) jumlah sebenar pinjaman 'UK Malaysia Aids' oleh Perbadanan Aset Keretapi (PAK) sehingga kini; dan
b) kenapakan pinjaman tersebut tidak dibayar mengikut jadual dan baki hutang tertunggak sehingga kini.
Hari Isnin, 13 Disember 2010 - soalan no 24
10. Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas (Telok Kemang) minta PERDANA MENTERI menyatakan:-
a) jumlah pengagihan zakat yang telah dikeluarkan mengikut negeri dan data terperinci pada tahun 2005 hingga 2009; dan
b) cara mana pihak pengurusan dan jumlah pegawai yang ditugaskan supaya dapat mengenal pasti mereka yang benar-benar layak mendapat bantuan.
note:-
kesemua 15 soalan yang dikemukakan telah diterima termasuk 5 soalan untuk jawapan bertulis
JAWAPAN BERTULIS
Dato’ Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI SAINS TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan:-
Berapakah jumlah keseluruhan (statistik) pendatang asing yang memegang VISA dan VOA yang telah melakukan kesalahan didakwa ataupun tidak dan jumlah mereka yang telah dihantar balik sesudah tamat menjalani hukuman.
Dato’ Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan:-
Nyatakan nama syarikat-syarikat mengikut jumlah yang diperuntukan Permit Import (AP) sejak 2008 sehingga kini .
Dato’ Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan:-
Jumlah projek pembangunan yang melibatkan beberapa unit rumah mampu milik diseluruh negara yang dilaksakankan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) pada masa kini dan berapa yang telah siap serta dijual.
Dato’ Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan:-
Jumlah dana digunakan daripada RM5 bilion yang telah diperuntukkan untuk bantuan dan pembangunan orang asli mengikut negeri setakat ini.