30 November 2009

AKHIRNYA KURIKULUM BIRO TATA NEGARA AKAN DIROMBAK

Kami memilih untuk mengulas isu ini pada saat-saat akhir. Setelah hebat diperkatakan oleh Rakyat, hari ini akhirnya Kabinet bersetuju merombak kurikulum dalam kursus Biro Tata Negara (BTN) supaya ia lebih sesuai untuk semua kaum sejajar dengan konsep 1Malaysia. Mengumumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata keputusan kabinet minggu lalu itu dibuat bagi memastikan kursus tersebut tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja dan tidak memecahkan rakyat mengikut etnik.

Isu BTN memuncak apabila Kerajaan Negeri Selangor minggu lalu memutuskan melarang kakitangan dan pelajar Institut Pengajian tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri itu daripada mengikuti kursus atau program BTN berkuatkuasa serta-merta. Arahan kerajaan Negeri Selangor itu dikeluarkan kerana program BTN didakwa sekadar sesi membasuh otak yang sengaja diolah Barisan Nasional (BN) untuk meracuni pemikiran peserta bagi membenci pembangkang selain dijadikan tempat memupuk semangat perkauman di kalangan peserta yang boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Tindakan Negeri Selangor itu juga dijangka bakal diikuti Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Difahamkan Kerajaan Negeri Kedah juga akan berbuat demikian.

Jelaslah sekarang bahawa percanggahan pandangan oleh beberapa pemimpin Kerajaan Persekutuan dengan apa yang diumumkan oleh Nazri Aziz itu. Beberapa pemimpin UMNO mengatakan BTN diasaskan untuk menimbulkan kesedaran serta memupuk semangat kebangsaan, sedangkan apa yang diumumkan Mohamed Nazri adalah sebaliknya.

Rakyat tidak mampu dibohongi lagi dalam isu ini. Melalui laman Friendster kami: http://profiles.friendster.com/wiradamai, kita di Telok Kemang telah menerima banyak kiriman email dari para pelajar Politeknik Port Dickson, Kolej Kejururawatan Port Dickson, Pegawai/Anggota Tentera bahkan Pegawai/Kakitangan Kerajaan yang telah mengikuti program anjuran BTN mengesahkan bahawa BTN melakukan program menyusun akal peserta supaya membenci kaum Cina dan parti-parti yang tidak sealiran dengan UMNO. Peserta juga diajar untuk menyanyikan lagu: ANAK KECIL MAIN API..

Biro Tata Negara yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri hanya berperanan untuk indoktrinasi kepada peserta untuk benci kepada Pakatan Rakyat dan menyokong UMNO/BN sahaja. Modul yang diselit ialah kononnya negara sedang mengalami ancaman perkauman. Kuasa Melayu semakin terhakis. Ini adalah modal lapuk yang dihidangkan kepada para peserta. Semangat "cintakan negara" yang kononnya mahu ditanamkan kepada peserta akhirnya bertukar menjadi propaganda UMNO dan Barisan Nasional itu sendiri. Selain api perkauman yang dimainkan, terkini BTN lebih menjurus kepada meyakinkan peserta tentang isu Ketuanan Melayu, PKR Agen Yahudi, Anwar Ibrahim sokong Chin Peng, DAP Proksi Singapura dan PAS Parti Ajaran Sesat.

Kami juga menerima laporan bahawa terdapat pensyarah yang hendak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di peringkat M.A dan PHD perlu lulus kursus Biro Tata Negera. Mereka yang tidak sealiran tidak akan mendapat biasiswa walaupun akademik mereka cemerlang. Inilah yang pernah dialami oleh Saudara Ramadhan Fitri Alias bekas Presiden Mahasiswa Universiti Malaya walaupun beliau mendapat kelas pertama dan Sijil Dekan setiap semester namun beliau telah gagal dalam kursus Biro Tata Negara, lalu beliau tidak layak mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi. Beliau gagal kerana tidak memenuhi cita rasa golongan primitif. Nasib yang sama turut menimpa seorang pelajar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Kita di Telok Kemang tidak ada masalah dengan mana-mana kursus sama ada dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri asalkan tujuannya untuk membangkitkan kesedaran, motivasi kepada peserta dan bukannya menanam atau mengapi-apikan semangat perkauman sempit yang natijahnya akan membawa kerosakan kepada perpaduan negara.

Sesungguhnya perjuangan kita di dalam Pakatan Rakyat adalah keADILan untuk semua.

MENGGILAP HARAPAN RAKYAT

INISIATIF AHLI PARLIMEN: RAWATAN FISIOTERAPI UNTUK RAKYAT

Susulan dari lawatan pada Hari Raya Qurban ke 2 tempohari oleh YB Dato', Datin serta aktivis keADILan ke rumah Encik Baharudin Bin Bakar yang mengidap sakit urat-saraf, hari ini seorang Sukarelawan yang berkebolehan dalam bidang perubatan alternatif telah dihantar ke Taman Politeknik bagi menjalankan rawatan fisioterapi kepada beliau. Turut hadir ialah Wakil Peribadi kepada YB Ahli Parlimen.

Hampir 6 tahun beliau terlantar diperbaringan tidak mampu berjalan, Alhamdulillah, setelah menjalani sessi latihan serta rawatan peringkat awal, beliau telah menunjukkan tanda-tanda positif dapat dipulihkan. Lawatan seterusnya akan diulangi beberapa kali selepas ini sehingga beliau benar-benar sembuh.
Hari ini kaedah perubatan alternatif semakin mendapat perhatian di kalangan rakyat. Justeru usaha mempelopori kaedah perubatan seumpama ini kepada rakyat di Telok Kemang menjadi perhatian serius YB Dato'. Sama-samalah kita doakan agar beliau kembali sembuh semula. InsyaAllah..

29 November 2009

SATU WADAH PERJUANGAN

YB Ahli Parlimen telah meluangkan masa melawat DCL Cawangan Telok Kemang baru-baru ini. Agensi yang dikendalikan oleh Mejar Zainol Bin Abdul ini telah melahirkan ramai usahawan muda khususnya dari kalangan Tentera dan juga Bekas Tentera untuk berkecimpung dalam perniagaan berasaskan 'net-working'. Semoga usaha ini akan beroleh kejayaan.



PROGRAM AHLI PARLIMEN 'BERKAMPUNG' SEMPENA HARI RAYA QURBAN

pada Hari Eidhul Adha yang ke 2, Program Ibadah Qurban telah berlangsung dalam suasana sederhana tetapi cukup meriah di Tapak Rizab Masjid (Masjid Tuanku Muhriz) di padang Taman Politeknik Port Dickson. Program yang dianjurkan Gelanggang Sulong Pertubuhan Seni Silat Pesaka Gayong Malaysia Daerah Port Dickson ini telah berjaya menyatu-padukan penduduk Taman Politeknik dari pelbagai latarbelakang politik serta pertubuhan.
Program diserikan lagi dengan kesudian YB Ahli Parlimen serta isteri turun 'berkampung' di Taman Politeknik bersama-sama dengan penduduk bagi menjayakan program ini.

'Berkampung' di Taman Politeknik, YB Ahli Parlimen & isteri (Datin Faridah Abdullah) serta aktivis PKR Ranting Taman Politeknik Port Dickson berkesempatan mengunjungi rumah Encik Baharudin Bin Bakar yang mengidap sakit urat-saraf serta tidak mampu berjalan. Ketabahan isteri beliau, Puan Shohana Binti Baharum yang memikul tanggungjawab bekerja mencari rezeki demi menanggung perbelanjaan keluarga serta persekolahan anak-anak telah menyentuh hati dan perasaan. Dalam kunjungan ini Ahli Parlimen bertanyakan khabar serta mengulangi komitmen meringankan bebanan yang dialami keluarga ini. Kepada rakan-rakan yang ingin menghulurkan sumbangan, bolehlah menghubungi keluarga ini di: No.1593, Jalan Politeknik 31, Taman Politeknik atau telefon: 019-2156113 (Mejar Zainol Abdul) atau 014-2324711 (Pak Ngah Hamid).

YB Dato', Datin serta aktivis Wanita keADILan Telok Kemang kemudiannya bergerak mengagih-agihkan daging qurban kepada penduduk setempat.

pada sebelah petangnya YB Ahli Parlimen telah hadir ke Majlis Minum Petang Bersama Pimpinan Pusat bertempat di kediaman Puan Hajjah Aisah Lamsah di Kg. Linsum, Rantau. Selain dari dapat bersama dengan rakyat menyambut Hari Raya Qurban, majlis anjuran Wanita keADILan Negeri Sembilan Darul Khusus ini turut dihadiri YB Puan Zuraidah Kamaruddin (Ahli Parlimen Ampang), YB Puan Rodziah Ismail (EXCO Kerajaan Negeri Selangor), YB Cikgu Rashid (ADUN Ampangan), YB Saudara M. Ravi (ADUN PD), Saudara Badrul Hisham serta aktivis keADILan yang baru dan yang lama dapat berkumpul bersama-sama bagi merapatkan Silatur-Rahim dalam suasana Hari Lebaran.















pada Hari Raya yang ke 3, YB Ahli Parlimen serta isteri kemudiannya telah 'berkampung' di Kampung Jawa (kira-kira 2km dari Bukit Pelandok). Program Ibadah Qurban di sini dijayakan aktivis keADILan Ranting Chuah.

Dalam program ini YB Ahli Parlimen serta isteri telah bersama-sama dengan komuniti setempat melaksanakan Ibadah Qurban serta mengagih-agihkan daging qurban kepada penduduk di sekitar Pekan Chuah dan Kampung Pachitan.


Sesungguhnya melalui program 'berkampung' seperti ini, YB Ahli Parlimen serta isteri berjaya mendekati serta menyelami masalah rakyat tanpa mengira fahaman politik dan mengambil peduli akan permasalahan mereka. Mudah-mudahan Ibadah Qurban kita akan diterima serta diberkati Allah SWT.


MENGGILAP HARAPAN RAKYAT
Salam Eidhul Adha dari Telok Kemang

27 November 2009

PEMBELI RUMAH DITIPU 'ORANG MINYAK'

Sekiranya ada yang sudah lupa, atau belum tahu ceritanya, biar saya ulang. Kisah seorang wanita warga emas, Siti Hawa Abdullah, 61 tahun. Tahun 1982, masih muda pada usia awal 30an, dia berhasrat memiliki rumah sendiri. Dia membeli sebuah rumah di Taman Senawang Jaya (Fasa 1C), Seremban. Ketika membayar wang pendahuluan kepada pihak pemaju, dia membayangkan betapa bahagianya tinggal di rumah sendiri dalam tempoh 2 tahun lagi.

Malang baginya sebab setelah menunggu penuh semangat selama 2 tahun, rumahnya tidak siap. Dia terus menunggu, menunggu, dan menunggu. Akhirnya beberapa bulan lalu rumah idaman itu siap juga, setelah dia menunggu selama 27 tahun! Bayangkan dari pertengahan usia hingga memasuki usia emas, dia menunggu selama lebih suku abad untuk mendapat rumah. Tidakkah Siti Hawa boleh disenaraikan dalam Buku Rekod Dunia sebagai pembeli paling lama menunggu untuk mendapatkan rumah?

Tentu sekali kita semua simpati kepada pembeli ini. Siti Hawa bukan kes terpinggir. Ada berpuluh-puluh ribu lagi pembeli rumah di seluruh negara menerima nasib seperti wanita warga emas ini. Perangkaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyebut ada 148 projek perumahan terbengkalai dilaporkan sejak tahun 1990. Bilangan ini mungkin lebih banyak lagi sekiranya diambil kira projek yang tergendala sebelum 1990, termasuk Projek Senawang Jaya (1982) yang melibatkan 96 pembeli. Berpuluh ribu pembeli kini masih menjadi mangsa.

Mungkin tidak seteruk kes pembeli di Senawang Jaya yang terpaksa menunggu sehingga lebih suku abad, tetapi bagi pembeli – terutama yang berpendapatan rendah atau sederhana – setahun menunggu pun satu penderitaan. Tetapi bagi sebahagian besar mangsa, bukan menunggu setahun atau 2 tahun, malah rata-rata antara 5 hingga 10 tahun. Seorang pembantu pengurus di sebuah syarikat pengangkutan berjumpa saya baru-baru ini, membawa bersamanya surat perjanjian jual beli rumah, surat peguam, surat bank dan lain-lain dokumen. Dia membeli rumah kos sederhana satu kawasan perumahan di pinggir KL, berharga RM150,000. Projek tersebut sepatutnya siap dalam 3 tahun. Sampai kini dia sudah menunggu lapan tahun, rumah impian itu baru lebih kurang 30 peratus siap – baru nampak tiang, bumbung dan sebahagian dinding yang semuanya sudah berlumut dimakan cuaca – itu pun dalam semak samun yang mungkin telah menjadi tempat musang, ular sawa, kala jengking atau jin aprit, jembalang tanah dan suku-sakatnya.

Rumah tidak tahu bila akan siap, tetapi sejak hari pertama menandatangani perjanjian jual beli, termasuk dengan pihak bank, dia telah menanggung segala akibatnya. Dia terpaksa membayar balik kepada bank RM1,350 setiap bulan. Terlewat sehari dua bank bising-bising, dan kenakan faedah lambat bayar. Dalam waktu yang sama dia kena juga membayar sewa rumah. Bayangkan lapan tahun membayar balik pada bank untuk rumah yang tidak pernah diduduki. Lapan tahun juga terpaksa tinggal di rumah orang yang sewanya naik, naik, dan terus naik. Dia sekarang sudah separuh gila sebab dikejar bank setelah dua bulan tertunggak. Terkini, dia menerima surat peguam dari bank untuk mengheretnya ke mahkamah kerana kegagalan melunaskan hutang.

Alangkah menderitanya hidup! Semuanya gara-gara pihak pemaju yang tidak bertanggungjawab. Bagi berpuluh ribu mangsa yang menderita, apa lagi kata-kata dan gelaran yang patut diberikan kepada pemaju berkenaan selain penyangak, lintah darat, pembelit, kaki putar alam. Pemaju sudah awal-awal ‘sakau’ duit pembeli. Ketika pembeli tercungap-cungap dikejar bank, pemaju mudah sahaja cuci tangan dan menghilang diri. Menurut kenyataan kementerian berkenaan sebanyak 120 kontraktor telah disenaraihitamkan seluruh negara setakat ini atas pelbagai kesalahan, termasuk kegagalan menyiapkan projek perumahan mengikut jadual.

Apakah cukup sekadar ‘dihitamkan’? Sedangkan sesetengah dari kontraktor hitam itu masih terus selesa dengan rumah besar, kereta mewah, makan angin luar negara. Ketika pembeli menderita, mungkin ada yang membunuh diri, ‘orang minyak’ itu terus ketawa besar, cerut besar, perut besar. Sedikit pun tidak rasa bersalah. Memang kerajaan menunjukkan keprihatinan terhadap mangsa orang minyak ini. Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) setakat telah membantu 75 projek rumah terbengkalai di seluruh negara, membabitkan 23,185 unit rumah sudah siap dibaik pulih, menelan belanja RM433 juta.
-
RM200 juta juga telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2010 untuk membantu projek rumah terbengkalai. Peruntukan dalam Belanjawan 2010 itu terlalu kecil, dan patut ditambah bagi membantu berpuluh-puluh ribu lagi pembeli rumah yang sesetengahnya telah menunggu dalam derita selama sepuluh tahun. Apalah RM200 juta jika dibandingkan dengan skandal PKFZ yang berjumlah berbilion-bilion ringgit itu. Menyedihkan dan menyakitkan hati kos awal projek komersial dan perindustrian Zon Bebas Pelabuhan Klang hanya RM2.5 bilion, tiba-tiba melonjak RM4.6 bilion.

Siapakah musibatnya? Pada ketika berpuluh ribu pembeli rumah menderita dan mengharapkan bantuan untuk mengatasi masalah projek rumah terbengkalai, ada pula pihak yang dengan mudah menyelewengkan duit berbilion ringgit menerusi projek PKFZ. Ini yang orang politik kita kena tengok!

26 November 2009

MALAYSIAN MAVERICK

Saya tertarik dengan berita bahawa sebuah buku dalam bahasa Inggeris akan terbit mengenai pembaziran yang dilakukan olih bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad (TDM). Buku ini membongkarkan bagaimana TDM menggunakan kuasanya membazir, mensia-sia harta atau dana negara sehingga RM100 billion dalam masa pemerintahan beliau.

Mengikut pengarangnya, Barry Wain, seorang penulis/pengarang di Insitute Southeast Asian Studies Singapore, selama 22 tahun TDM menjadi PM, beliau telah membazirkan kewangan negara secara langsung dan tidak langsung, terlibat dengan skandal secara licik, sehingga mendedahkan Malaysia ke krisis kewangan yang membahayakan negara. Kalau tidak kerana hasil minyak keluaran PETRONAS, negara akan menghadapi kemusnahan.


Buku itu juga mendedahkan bahawa TDM menandatangani perjanjian sulit dengan Amerika Syarikat pada tahun 1984, yang memberi mereka jalan masuk ke Sekolah Latihan Perang Gerila (dikenali Pusat Latihan Tempur Tentera Darat - PULADA) di Ulu Tiram Johor, juga kemudahan pembaikan kapal-kapal kecil di Lumut dan sebuah loji untuk membaikpulih helikopter C-130 Hercules di Kuala Lumpur.

Di antara lain, buku ini juga mendedahkan bahawa TDM membiayai pembinaan/hutang ibu pejabat UMNO di PWTC dengan memaksa bank-bank kerajaan melupuskan faedah hutang-hutangnya sebanyak RM140 juta.

Kerajaan hingga sekarang tidak pernah menafikan bahawa adanya ketirisan, pembaziran pembelanjaan kewangan negara sebanyak 5% hingga 10% dari peruntukan pendapatan sebanyak lebih kurang RM200 billion setiap tahun.
Dalam ucapan saya di dalam Dewan Rakyat (ucapan penuh disiarkan dalam blog ini), menekankan bahawa jumlah pembaziran sebanyak RM10 billion hingga RM20 billion setahun itu adalah kerana kurangnya pemantaun perlaksanaan projek-projek pembangunan dan sistem pemberian kontrak secara runding terus.

Pendedahan kurangnya ketulusan mengurus dana/harta negara mendedahkan sebab-sebab kenapa peruntukan untuk kebajikan, keselesaan, program membasmi kemiskinan rakyat dan lain-lain tidak dapat terlaksana secara menyeluruh.

WANG NEGARA ADALAH WANG RAKYAT
Fikirkan..


MENGGILAP HARAPAN RAKYAT !

24 November 2009

AKIBAT KEGAGALAN PERANCANGAN PEMBANGUNAN

Pejabat Ahli Parlimen Telok Kemang telah menerima aduan dari penduduk Kg.Sg. Sendayan (kira-kira 5km dari Pekan Lukut) berkaitan banjir kilat yang sering berlaku di kawasan tersebut. Sejurus menerima aduan penduduk, kami bergegas ke lokasi kejadian banjir bagi meninjau sendiri kesan kemusnahan yang berlaku terhadap harta-benda, tanaman serta ternakan.

Setelah disiasat kami mendapati terdapat 3 laluan air yang bertemu di bahagian 'inlet' perkampungan berkenaan. Musim hujan yang berlaku sekarang ini menyebabkan limpahan air yang banyak. Kegagalan perancangan pembangunan yang meletakkan 'culvert' berukuran 2.5meter merintangi jalan utama Lukut - Seremban (Laluan 53) tidak dapat menampung limpahan air sekaligus mengakibatkan banjir. Keadaan sungai yang dipenuhi rumpai juga telah menjadi faktor menyekat laluan air.

Sehubungan itu, ADUN Kawasan Lukut: YB Saudara Ean Yong yang bersama dalam tinjauan ke kampung ini akan mengambil tindakan mencadangkan kepada pihak Jabatan Kerja Raya menggantikan 'box culvert' yang mempunyai saiz dan rekabentuk lebih besar bersesuaian untuk menampung keadaan sebenar laluan air di kawasan berkenaan.






Turut hadir dalam tinjauan ini ialah YB Saudara M.Ravi (ADUN PD), Wakil Peribadi kepada YB Dato' Ahli Parlimen serta aktivis keADILan Telok Kemang.



23 November 2009

DI MANA SILAPNYA?

Entah di mana silapnya? Penduduk di Kg. Bagan Pinang sekali lagi berdepan dengan masalah banjir setiap kali hujan lebat. Tinjauan mendapati air banjir beserta lumpur menenggelami beberapa kawasan rendah di perkampungan ini sekaligus membuktikan bahawa sistem perparitan di kawasan ini masih gagal berfungsi. Keadaan diburukkan lagi apabila berlakunya fenomena air pasang besar.

Lensa Kamera kami kemudiannya berkejar ke Kg. Ayer Kuning (di dalam D.U.N Linggi). Amat mendukacitakan apabila jalan kampung yang baru saja disiapkan oleh kontraktor yang dilantik oleh Pejabat Daerah Port Dickson tidak memenuhi spesifikasi yang diharapkan.




Keadaan banjir kilat juga dapat disaksikan di Kg. Ayer Kuning, Linggi. Masalahnya serupa, ketiadaan sistem perparitan yang sempurna. Persoalan yang timbul kini ialah, sampai bila masalah rakyat di bawah seperti ini akan berterusan?

CATATAN: Masalah yang dihadapi oleh penduduk di Kg. Ayer Kuning telah mendapat perhatian YB Ahli Parlimen Telok Kemang yang telah mengirimkan surat kepada Pegawai Daerah Port Dickson untuk mengambil tindakan selanjutnya.

NASIB RAKYAT 10 TAHUN PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI

Masalah projek perumahan terbengkalai di Taman Kristal, Port Dickson telah mendapat perhatian Ahli Parlimen Telok Kemang setelah menerima aduan dari 170 orang pembeli yang merasakan diri mereka teraniaya.
-
Tinjauan ke tapak projek mendapati kerja-kerja pembinaan yang terbengkalai sebelum ini telah dimulakan semula oleh sebuah syarikat pemaju yang baru setelah berjaya membida lelongan awam yang diadakan di Mahkamah Tinggi Seremban pada 30 April 2009.
-
Walau bagaimanapun, timbul keresahan di kalangan pembeli apabila mereka tidak diberikan apa-apa berita mengenai masa depan untuk memiliki rumah tersebut.
-
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Telok Kemang telah mengirim sepucuk surat kepada Jabatan Perumahan Negara di Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan untuk mengambil langkah-langkah selanjutnya bagi memberi keadilan pada pembeli yang telah sekian lama menanti.

SELANGKAH KE ALAM DEWASA

Kehadiran Ahli Parlimen telah memberikan semangat kepada seramai 28 orang anak-anak yang terlibat dalam majlis berkhatan beramai-ramai di Surau Taman Selasih, Port Dickson.
-
Gambar Kanan: Cuaca hujan tidak menghalang YB Ahli Parlimen diiringi Tuan Haji Ramli Ismail (YDP PAS Kawasan Telok Kemang) sedang mengiringi perarakan anak-anak ke Surau Taman Selasih.
-
Dalam ucapannya, Ahli Parlimen telah menyatakan bahawa majlis seumpama ini merupakan lambang menghargai anak-anak yang sedang menuju ke alam remaja dan dewasa kelak. Semangat yang ditunjukkan anak-anak ini menunjukkan mereka tidak gentar apatah lagi mereka tidak keseorangan.

Ahli Parlimen turut berharap agar ibubapa dan masyarakat dapat meneruskan permuafakatan seperti ini dijalankan sepanjang masa.
-
Gambar Kiri: YB Dato' sedang menyampaikan bunga telur kepada salah seorang anak yang menyertai majlis ini.




HARAPAN RAKYAT KG.ORG.ASLI BUKIT KEPONG

Di atas semangat
'Menggilap Harapan Rakyat', inisiatif yang diambil oleh Pejabat Ahli Parlimen Telok Kemang telah mendapat komitmen dan kerjasama Jabatan Geologi & Mineral serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asli maka terhasillah projek menempatkan sebuah pam air di Kg.Org.Asli Bukit Kepong bagi memenuhi keperluan mendesak bekalan air di perkampungan ini.

Menurut Pemangku Tok Batin Kg.Org.Asli Bukit Kepong: Saudara Omar Bin Gomeng, masyarakat Org.Asli di perkampungan ini merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas keperihatinan Ahli Parlimen serta jabatan-jabatan yang berkaitan.



Turut hadir dalam lawatan ini ialah Wakil Peribadi kepada YB Ahli Parlimen. Menurut beliau, persekitaran di perkampungan ini sangat menarik untuk dibangunkan sebagai pusat Eko-Pelancongan & Homestay. Justeru dengan selesainya isu bekalan air di sini adalah diharapkan potensi yang ada tidak dipersia-siakan. Pejabat Ahli Parlimen bersedia untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan hasrat ini.



PROGRAM KLINIK RAKYAT

Di sebalik kesibukan beliau menghadiri Sidang Dewan Rakyat, ianya tidak menghalang YB Dato' Kamarul Baharin untuk 'turun padang' bagi meninjau sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat di kawasannya.






Gambar-gambar dari keratan tempatan akhbar ini menunjukkan kesungguhan Warga keADILan dalam mendekati dan mengambil inisiatif bagi menyuarakan hasrat rakyat.





Gambar Kanan: Dato' Kamarul sedang beramah-mesra dengan penduduk tempatan di Pekan Pasir Panjang.



PKR ULANGI MANIFESTO BERJUANG UNTUK SEMUA KAUM

Konvensyen Parti keADILan Rakyat Negeri Sembilan Darul Khusus telah selamat diadakan pada 22 November 2009 bertempat di Dewan Sek.Men. Chong Hwa, Seremban. Kira-kira 300 peserta menghadiri Konvensyen ini dan mendapat suntikan semangat dengan kehadiran YB Dato' Seri Anwar Ibrahim.
-
Dalam ucaptama perasmiannya, DSAI telah mengingatkan semua bahawa PKR tidak mementingkan satu kaum sahaja, tetapi kita menjaga kebajikan semua kaum dan sentiasa mengambil berat apa yang berlaku di antara satu sama lain. Kita dalam PKR sentiasa bersatu dan bergabung tenaga, malah tidak sesekalipun kita berpecah kerana kita berada di bawah bumbung dan gagasan yang sama.
-
Ucapan DSAI turut meminta supaya semua ahli PKR faham, kalau Cabang itu sudah kelihatan letih, kita kena suntikan semangat baru. Jangan pula dengan suntikan semangat serta kemasukan ramai ahli-ahli baru menyebabkan yang lama berundur. Yang lama patut kekal dan berganding bahu bagi memantapkan parti. Kelemahan mesti kita perbetulkan.
-
Kita mesti berusaha memperbetulkan kelemahan yang ada supaya dapat mewujudkan kerangka lebih besar dalam perjuangan yang meliputi isu ekonomi, sosial dan kebajikan rakyat.

21 November 2009

MENGGILAP HARAPAN RAKYAT

Parti KeADILan Rakyat Negeri Sembilan Darul Khusus akan menganjurkan Konvensyen Khas pada hari Ahad ini (22/11/2009) bertempat di Dewan Sekolah Menengah Chong Hwa, Seremban mulai jam 9.00 pagi. Dengan tema: MENGGILAP HARAPAN RAKYAT, konvensyen ini nanti akan menjurus ke arah persiapan segenap lapisan pendokong, baik kepimpinan ataupun aktivis di peringkat cabang, agar mempunyai kefahaman dan kesedaran mengenai apa yang diperjuangkan oleh Parti keADILan Rakyat khasnya dan Pakatan Rakyat secara keseluruhannya.

Semua anggota parti dari seluruh Negeri Sembilan dijemput hadir ke konvensyen ini. Tuan/Puan diminta hadir awal pagi kerana pendaftaran peserta akan bermula seawal jam 8.00 pagi. YB Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan amanatnya dalam konvensyen tersebut. Berikut adalah aturcara konvensyen:

0800 – 0845
Pendaftaran

0900 – 0945
Ucapan dan Perlancaran Konvensyen oleh YB Dato’ Kamarul Bahrin Abbas
(Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan)

0945 – 1010

Rehat

1010 – 1050
Pelancaran Tema Konvensyen oleh Saudara Ibrahim Yusof
(Ketua Penerangan Majlis Pimpinan PKR NS)

1050 - 1120
Ucapan YBhg. Dato' Salehuddin Hashim
(Setiausaha Agung PKR)

1130 – 1230
Amanat YB Dato Seri Anwar Ibrahim

1230 – 1400
Rehat / Makan Tengahari

1400 – 1600
Sesi Pembentangan Kertas Kerja

1600 – 1700
Sesi Dialog

1700 – 1730
Ucapan Penggulungan oleh Saudara Hj. Nordin Ismail
(Timbalan MPN 1)


1730
Bersurai

MASALAH RAKYAT DI KAWASAN D.U.N LINGGI DAPAT PERHATIAN

Majlis Dialog Ahli Parlimen bersama masyarakat di Masjid Kg. Permatang Pasir, Linggi telah merungkai beberapa permasalahan yang selama ini terpendam. Walaupun kawasan ini diwakili oleh seorang Wakil Rakyat bertaraf EXCO Kerajaan Negeri, situasi banjir yang kerap dihadapi di kawasan ini telah menjadi buah-mulut di kalangan penduduk tempatan: Adakah penduduk Linggi memang sengaja dibebankan dengan keadaan demikian?
-
Adalah sukar untuk difahami bagaimana kerja-kerja mendalamkan sungai (ataupun sebenarnya aktiviti "mengambil pasir" secara terancang) yang didakwa oleh penduduk sebagai punca utama masalah ini berlaku. Bagaimana si cerdik pandai yang terlibat dalam projek mengorek pasir itu dengan sengaja menutup aliran air dari parit-parit kecil dari mengalir ke sungai? Juga ditagih adalah inisiatif serius Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah banjir dari berterusan.
-
Turut disentuh dalam majlis dialog ini ialah peranan Pejabat Ahli Parlimen Telok Kemang di Pekan Linggi dalam menyalurkan apa juga masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat. Sesungguhnya Pejabat Ahli Parlimen Telok Kemang akan sentiasa bersama-sama dengan rakyat, dalam apa jua keadaan dan komited menyuarakan masalah rakyat.


PERJUANGAN HAK ORANG ASLI

Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa di kawasan Parlimen Telok Kemang terdapat dua buah perkampungan masyarakat Orang Asli: Kg. Org. Asli Sunggala & Kg. Org. Asli Bukit Kepong. Kedudukan dua buah perkampungan ini letaknya hanya beberapa kilometer di pinggir kawasan pelancongan "Pantai Peranginan Negara" Port Dickson. Namun agak mendukacitakan kerana setelah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan, kemudahan prasarana di perkampungan ini seolah-olah dipinggirkan.
-
Mengambil contoh tentang permasalahan yang dihadapi di Kg.Org. Asli Bukit Kepong, penduduknya yang telah sekian lama dahagakan kemudahan air bersih disalurkan ke perkampungan mereka. Sebelum ini media tempatan telah menyiarkan mengenai projek gajah putih: tangki air milik Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (kini S.A.I.N.S) yang sudah lama siap tetapi tidak berfungsi oleh kerana kegagalan JBANS menyiapkan kerja-kerja menyambung paip dari jalan utama ke perkampungan ini.
-
Kemudiannya setelah Ahli Parlimen Telok Kemang mengadakan lawatan mengejut ke perkampungan tersebut, inisiatif Pejabat Ahli Parlimen telah diambil bagi menempatkan sebuah pam air di situ. Sedikit sebanyak masalah bekalan air yang dihadapi oleh masyarakat Asli telah dapat dibantu. Namun matlamat kita adalah untuk melihat Kerajaan Negeri Sembilan khususnya Wakil Rakyat di kawasan perkampungan itu (yang juga EXCO Kerajaan Negeri) agar menyegerakan projek penyambungan paip air ke perkampungan berkenaan.
-
Dalam perjuangan Hak Orang Asli, Ahli Parlimen Telok Kemang mengalu-alukan keputusan Kerajaan Negeri Selangor menarik balik rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap kes Sagong Tasi yang membabitkan pengambilan 38.477 ekar tanah adat kaum Temuan di Bukit Tampoi, Dengkil pada tahun 1995 (oleh Kerajaan Selangor pada ketika itu). Kami prihatin bahawa walaupun Orang Asli adalah masyarakat yang sangat bernilai, mereka adalah kumpulan masyarakat yang telah diabaikan sekian lama.
-
Majoriti Orang Asli tidak dapat menikmati sepenuhnya hak-hak asasi mereka kerana tradisi, adat dan nilai mereka sedang dihakiskan. Amalan tanda dan cakap-cakap kosong yang ditawarkan oleh segelintir pemimpin parti Pemerintah kepada masyarakat ini harus dihentikan. Kaedah bagaimana negara ini melayan keperluan-keperluan dan hak-hak masyarakat ini mencerminkan komitmen kita kepada demokrasi dan hak-hak asasi manusia.
-
Gambar:
Majlis Dialog Ahli Parlimen Telok Kemang bersama dengan Masyarakat Kg. Org. Asli Sunggala.
-
Sehubungan itu, kami menyeru supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sembilan serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asli mengambil tindakan segera untuk menunaikan tanggungjawab fidusiari mereka untuk menghormati, mendukung dan melindungi kebajikan dan hak-hak Orang Asli khususnya di negeri ini. Sejajar dengan Pengisytiharan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak-Hak Orang Asal 2007, dan tidak bertindak bertentangan dengan hak-hak tersebut.

20 November 2009

RAKAN ALAM SEKITAR

Isu pencemaran alam sekitar telah lama menjadi antara agenda utama Ahli Parlimen Telok Kemang. Sebelum ini pun telokkemang.blogspot.com telah mendedahkan pelbagai laporan mengenai isu ini yang sehingga kini masih belum ditangani secara benar-benar serius oleh pihak Pemerintah. Dari isu pencemaran di pantai peranginan Bt.8 Telok Kemang, isu pembinaan Kolej Tentera Darat di pantai Segenting yang mengalirkan lumpur pantai hingggalah kepada isu pembuangan air panas berkimia oleh sebuah stesyen janaletrik. Namun timbul juga persoalan adakah di pihak Pemerintah benar-benar serius mengangani isu ini ataupun hanya sekadar retorik?

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Sumber Asli & Alam Sekitar telah meminta semua anggota Parlimen di seluruh negara melaksanakan aktiviti Rakan Alam Sekitar untuk menimbulkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar di kawasan masing-masing. Timbalan menteri berkenaan Tan Sri Joseph Kurup berkata setakat ini hanya kawasan Parlimen Maran, Langkawi & beberapa kawasan Parlimen di Sabah & Sarawak telah melancarkan program Rakan Alam Sekitar itu. Beliau mendapati banyak kawasan Parlimen belum melaksanakan program Rakan Alam Sekitar dan kita berharap semua anggota Parlimen akan mempercepatkan pelaksanaan program itu supaya rakyat di peringkat akar umbi bersama-sama bertanggungjawab menjaga alam sekitar.

Joseph berkata program Rakan Alam Sekitar itu sebenarnya harus diwujudkan di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara dengan setiap kawasan diberi peruntukan sebanyak RM30,000 oleh kementerian. Rakan Alam Sekitar di setiap kawasan Parlimen itu akan dipengerusikan anggota Parlimen dan wakil dari Jabatan Alam Sekitar atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilantik sebagai urusetia. Penubuhan Rakan Alam Sekitar sejak Jun lepas adalah sebagai usaha kerajaan meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar di kalangan masyarakat dan memberi pendidikan serta maklumat mengenai pemuliharaan alam sekitar kepada masyarakat.


Justeru Ahli Parlimen Telok Kemang menyeru pihak Pemerintah bersifat profesional bekerjasama dengan Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat untuk sama-sama menjayakan program itu. Menyedari hakikat bahawa tanggungjawab untuk menjaga alam sekitar ini tidak harus diletakkan di bahu pihak yang berwajib semata-mata, berikut disiarkan semula foto-foto arkib yang menunjukkan peranan serius Warga keADILan untuk bersama menjayakan hasrat murni ini.

ADAKAH MEREKA PERDULI PADA ALAM SEKITAR?


Masalah pencemaran perairan Telok Kemang sekali lagi telah mendapat perhatian serius dari Ahli Parlimen Telok Kemang. Bersama dengan YB Saudara M.Ravi (ADUN Port Dickson) & YB Saudara Ean Yong (ADUN Lukut) serta aktivis alam-sekitar dan wartawan, YB Dato' telah meluangkan masa hampir 3 jam menaiki bot menyusuri perairan pantai Port Dickson bagi melihat sendiri kesan kemusnahan yang didakwa berpunca dari pembuangan air panas berkimia dari sebuah loji janaletrik di Jimah, Port Dickson.

17 November 2009

MASIH DI TAKUK LAMA.......

Sentuhan mengenai projek membina jalan baru dari Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Jalan Persekutuan 5 di Pasir Panjang dan menaik taraf Jalan Persekutuan 5 dari Pasir Panjang ke Linggi, Seksyen 1 dalam ucapan saya mengenai bajet 2010 sepertimana tersiar dalam laman ini sebelum ini, telah mendapat reaksi dari Menteri Kerja Raya di parlimen tempoh hari. Yang Berhormat Menteri telah memberi penjelasan seperti berikut :

' Projek telah dimiliki tapak pada 14 Februari 2005 dan tarikh siap mengikut kontrak adalah pada 12 Ogos 2007. Walau bagaimanapun, perlaksanaannya mengalami kelewatan kerana berikut:


1. kelewatan dalam memberi tapak iaitu lot 415 ;

2. kelewatan oleh pihak-pihak yang ditugaskan oleh kerajaan bagi kerja-kerja pengalihan utiliti ;

3. peruntukan khas bagi peningkatan harga bahan-bahan binaan ; dan

4. masalah dalaman kontraktor itu sendiri ;

Kontraktornya, Hartajaya-Genting Timur-AMR Jeli JV Sdn. Bhd. masih belum ditamatkan kontraknya dan projek tersebut sepatutnya dijangka siap pada Disember 2009 ( 2 tahun dari jadual ). Kemajuan fizikal sebenar projek sehingga 30 Oktober 2009 ialah 65.6% berbanding dengan sepatutnya 97.7%. Notis bagi tujuan penamatan kerja kontraktor telah dikeluarkan oleh kementerian atau JKR pada 1 Oktober 2009.

Kontraktor telah mengemukakan rayuan dan sedang dalam proses pertimbangan JKR. Projek ini dilaksanakan secara RUNDING TERUS , REKA dan BENA, dan harga kontrak yang ditetapkan adalah melalui rundingan antara pihak Kerajaan dan Kontraktor. Rundingan harga yang telah dibuat adalah pada tahun 2003.

Akan tetapi memandangkan kos bahan pembinaan yang semakin meningkat, kerajaan telah membantu melalui perubahan harga variation of price ( variasi harga ) kepada kontraktor untuk mengatasi masalah tersebut. Walau bagaimanapun faktor peningkatan harga binaan bukanlah punca utama kelewatan projek ini, sebaliknya disebabkan PRESTASI KONTRAKTOR ITU SENDIRI YANG MENDUKACITAKAN....'

Nah, sudah pasti bukan sahaja kos projek ini akan meningkat, ianya akan mengambil masa lama lagi untuk siap memandangkan hanya 65.6% sahaja kerja telah disiapkan. Inilah yang saya tekankan dalam ucapan saya mengenai pengendalian projek-projek runding terus yang akhirnya mengakibatkan tergendala dan cost-overrun ( berlebihan kos ). Kontrak-kontrak seperti ini menyumbang kepada ketirisan penggunaan dana negara yang akan memuncak diantara 5% ke 10% ( RM 10 billion ke RM 20 billion ) SETAHUN !

Sama-sama kita renungkan...


MENGGILAP HARAPAN RAKYAT !