29 October 2009

Di ICU, sudah mati... resam politik?

Minggu lalu saya dihujani dengan panggilan dan pesanan ringkas (SMS). Ada yang hanya hendak mendengar suara saya, ada yang mahu tahu keadaan saya, ada yang berkeras hendak pasti apakah suara yang bercakap benar-benar suara saya.

Semasa menerima panggilan dan sms itu, saya sedang sibuk dengan satu acara. Sudah tentu tidak berkesempatan untuk melayan panggilan atau pesanan yang betalu-talu. Hanya pada waktu petang baru teragak mahu menyemak apa ada dalam talipon bimbit saya. Pada mulanya saya berasa hairan kerana banyak yang memanggil atau meninggalkan pesanan bukan dari teman-teman yang saya kenali. Sudah pasti saya tidak dapat mengembalikan panggilan-panggilan itu. Namun, saya cuba menjawab sms yang kebanyakannya bertanyakan khabar.

Apa yang anihnya adalah jarang sekali saya menerima sms hanya semata-mata menanyakan khabar. Tetapi perasaan ini terjawab bila ada satu pesanan mengenai berita angin yang mengatakan bahawa saya sudah meninggal dunia di hospital Singapura! Tak tau lah waktu itu nak ketawa atau marah. Setelah beberapa minit saya berdiam, saya pun menjawab sms itu seperti berikut: "cadang buka semula semua bilik gerakan dan bersedia, dan kita bersama-sama tunggu pengumuman di TV tindakan selanjutnya…"

Di parlimen saya terkejut kerana ada ahli-ahli parlimen dari Pakatan Rakyat mau pun dari BN yang bertanyakan keadaan saya. Bila saya diwadkan di hospital Singapura. Apa penyakit saya? Dah berapa lama saya dirawat dan sekarang dah sembuh. Bermacam-macam persoalan terpaksa saya layan.

Itulah akibat satu berita angin. Ada dua reaksi. Satu yang berharap berita tidak benar atau kalau sakit pun sudah pulih sepenuhnya. Satu lagi memang berharap berita itu benar supaya pilihanraya kecil akan diadakan dalam masa terdekat ini. Yang memulakan cerita niatnya memang jelas. Mungkin masih ada yang belum puas atau belum cukup menerima habuan PRK Bagan Pinang.

Itulah cerita seminggu lalu. Alhamdulillah, sehingga kini, Allah belum lagi ingin menyahut seruan mereka yang mendoakan keadaan menjadi nyata.

15 October 2009

BAGAN PINANG KEKAL UMNO

Beberapa hari sudah berlalu, keadaan di Bagan Pinang ( Port Dickson ) kembali seperti biasa. Tanda-tanda pilihanraya kecil (PRK) yang diadakan pada 11 oktober lalu sudah mula padam. Namun, di warung-warung, kedai kopi dan di mana-mana tempat bersembang, kemenangan Tan Sri Isa diperbualkan. Masing-masing mempunyai pandangan dan analisa sendiri. Apa pun, keadaan di Bagan Pinang sama seperti biasa, hanya, wakil rakyatnya saja bertukar.

Pejabat parlimen sudah mula menerima kunjungan orang ramai yang memerlukan bantuan. Mereka dilayan seperti biasa. Keadaannya seperti sebelum PRK, saolah-olah PRK itu adalah waktu umpama lebaran yang telah berlalu dan kehidupan warga telok kemang kembali seperti sebelumnya.

Ramai kawan-kawan menanya apa kah kemenangan TS Isa akan merubah cara pejabat parlimen melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dari segi membantu menyelesaikan masalah mereka atau meningkatkan usaha mengemukakan masalah kawasan Telok Kemang keseluruhannya. TS Isa sudah berjanji akan membawa pembangunan kepada Bagan Pinang. Beliau juga berazam akan merampas kembali semua kerusi yang disandang oleh Pakatan Rakyat di kawasan Telok Kemang.

Masalah besar di kawasan ini sudah diketahui umum. Bermacam-macam telah disebar dan diungkit semasa kempen PRK. Isu-isu besar seperti kebersihan sekitar pantai, sistem peparitan, pembetungan, lalat, pelupusan sampah, banjir, menyediakan infrastruktur lengkap untuk pelancung dan beberapa masalah yang lain khusus melibat keselesaan hidup rakyat, perlu terus diketengahkan. Peruntukan RMKe9 yang hanya 15-16% sahaja terlaksana perlu dikaji, mencari jalan sebab-sebab kenapa projek-projek yang dirancang tidak dilaksanakan.

Arakian, sekirannya kemenangan TS Isa mampu membawa perubahan, pembangunan dan penyelesaian kepada perkara-perkara yang mendesak ini, tidak ada sebab kenapa wakil-wakil Pakatan Rakyat tidak menyokong usaha-usaha beliau. Yang penting khidmat untuk kawasan dan rakyatnya diutamakan. Asalkan usaha-usaha untuk mengagih-agihkan tanah-tanah, menguasai pemberian kontrek-kontrek kepada pehak-pehak tertentu tidak akan lagi diamalkan.

HIDUP RAKYAT !

09 October 2009

ANWAR ATAU NAJIB? JAWAP DI KERTAS UNDI...

Mulai petang ini, Jumaat, 9 Oktober 2009, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan bersama seluruh jentera Pakatan Rakyat untuk membantu calon Pas, Saudara Zulkifly Muhamad Omar. Kehadiran Ketua Umum KEADILAN ini bukan sahaja dinanti-nantikan oleh penduduk Telok Kemang amnya dan pengundi Bagan Pinang, tetapi juga oleh calon Umno-BN sendiri, serta juak-juak mereka.

Memang mereka tak mengaku terang-terangan bahawa lurut mereka longgar apabila mendengar nama Anwar. Di media mereka, bukan main lagi angkuhnya konon tak sedikitpun gentar. Kenyataannya di bawah, papan iklan kempen terpampang begitu besar dengan grafik imej Anwar dengan tulisan "dalang". Secara tidak langsung, mereka mengakui bahawa Anwar adalah faktor yang tak dapat dinafikan akan menyumbang kepada kemenangan calon Pakatan Rakyat, Ahad ini, inshaalah.

Tak ada satu pun pilihanraya kecil di mana Anwar tak diserang. Sebermula di Permatang Pauh, pelbagai tuduhan lapuk di era Perdana Menteri ke-4 diulang tayang. Berita jam 8 di kaca TV dan surat-surat khabar berpusu-pusu menyerang Anwar. Alhamdulillah, semuanya dapat ditangkis dan Pakatan Rakyat menang di kesemua PRK sebelum ini.

Rahsia kekuatan Anwar adalah beliau berani bersuara, dan beliau dapat mempertahankan kata-katanya seraya beliau bersih. Bukan sekadar berlakon dan terlihat seperti bersih. Jauh daripada semua tuduhan yang dilempar. Seraya menjejakkan kaki ke Malaysia selepas pulang daripada tugas di luar negara, tentunya ada isu dan pesanan penting yang akan dibawa bersama. Juga selepas Anwar dapat bertemu dengan ramai tokoh cendiakawan, pemimpin dan ahli perniagaan sama ada di Eropah, Amerika Syarikat dan di kalangan tokoh Muslim sekalipun.

Serangan akan bermula, hari ini juga. Kita ada masa sehingga Ahad sebagai hari penentuan. Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato' Seri Najib Razak semalam berkata, majoriti sudah tak penting, yang penting, calon pilihannya, Tan Sri Isa Samad menang. Walaupun satu undi! Begitulah terdesaknya Najib ingin menyaksikan kemenangan Umno-BN. Cukuplah walau sekali, sejak beliau memegang jawatan perdana menteri.

Malu! Memang memalukan apabila dilihat kenyataan Umno-BN belum pernah menang sekalipun dalam semua PRK di Semenanjung. Hanya satu di Sarawak, iaitu di Batang Ai. Alahai!

PRK seperti di Bagan Pinang tak akan mengubah status quo kerajaan negeri, tetapi ia sekali lagi sebagai isyarat bahawa yang akan ditolak rakyat bukan hanya "calon kitar semula" tetapi rakyat sungguh-sungguh tak dapat menerima seorang perdana menteri yang tercalit dengan pelbagai tuduhan yang cemar. Rakyat sama sekali tak dapat menerima bagaimana suatu hari nanti, perdana menteri ini juga mendapat gelaran tertinggi iaitu bergelar "Tun".

Kita waras. Semua dapat membezakan dengan jelas siapakah yang lebih bersih, antara Anwar dengan Najib? Jawapannya jelas. Sangat-sangat jelas.

Kalau Anwar, pangkah Pas. Mustahil yang satu lagi!

08 October 2009

PERMULAAN KEBANGKITAN SELATAN

Menaikkan papan iklan dan sepanduk kempen dengan meletakkan wajah seseorang, kemudian tulisan yang mengherdik serta mencerca adalah perbuatan biadap. Walau tak wujud sekalipunlah apa-apa undang-undang khusus mengenainya, ternyata perbuatan provoksi Umno-BN ini adalah perbuatan tidak bertamadun sama sekali.

Belum pernah dalam sejarah mana-mana pilihanraya kecil, keadaan ini berlaku apabila Umno-BN berkempen bukan sahaja mengajak pengundi memilih mereka, tetapi telah dengan jelas mencerca dan mengecam pihak lawan. Kegelisahan Umno-BN bermula apabila mereka cuba menghalang kesatuan Pakatan Rakyat menyokong calon "kitar semula mereka". SPR ditunggangi sekali lagi untuk menghalang Keadilan dan DAP menaikkan bendera masing-masing.

Siapa yang terdesak, selepas sekian lama mereka war-warkan kononnya Pakatan Rakyat tidak ada kesepaduan. Kononnya kita berpecah-pecah. Ternyata keadaan dan realiti di Bagan Pinang berbeza. Kerjasama erat PAS-KEADILAN-DAP sesuatu yang menakjubkan. Matlamat kita hanya satu, menumbang dan menewaskan calon Umno-BN dan mereka akan menunggu bukan sahaja wang ringgit tetapi apa yang dilakukan adalah tindakan desperado!

Adalah dengan kemenangan Pakatan Rakyat di Bagan Pinang ini nanti, saya yakin ia permulaan satu kebangkitan menyeluruh rakyat di selatan tanahair. Kita percaya, hanya dengan merobekkan kubu Umno-BN di Selatan, termasuk di Negeri Sembilan, selain Melaka dan Johor, Umno-BN akan putus nyawa untuk memerintah di peringkat Persekutuan. Kita belajar, tak cukup hanya menang di Selangor, Kedah, Pulau Pinang malah Perak dan mengekalkan status quo di Kelantan, kita wajib menawan negeri-negeri Selatan.

Ia boleh bermula di sini. Rakyat dan pengundi di Bagan Pinang perlu mengambil kesempatan ini dan menolak politik keanak-anakan ala Umno-BN. Kesempatan untuk mencipta sejarah baru kini di tangan para pengundi, dan bukan hanya asyik dengan kenangan masa lalu iaitu terlena di bawah pemimpin "kitar semula". Kita mahu mendakap hari esok dan bukannya bergelumang dengan kegelapan masa lalu.

Tinggal 3 hari lagi! Ayuh bersama melakar sejarah baru, dan sebuah kebangkitan rakyat sedang muncul di selatan tanah air. Inshaalah, sama-sama kita saksikan.

PAKATAN RAKYAT UNTUK BAGAN PINANG!

06 October 2009

KADUK CARI JUNJUNG

Nah! Setiap kali adanya pilihanraya kecil, akan timbullah watak pak kaduk mahu naik junjung. Mereka dengan mudah mendapat perhatian dan dijadikan bahan berita oleh media perdana, sama ada surat-surat khabar sampailah di kaca TV.

Aneh pun ada, jenaka pun ada. Tentunya cukup menjijikkan apabila ragam pak-pak kaduk ini memainkan gaya politik sepertimana di era Dr Mahathir Mohammad. Mereka cuba mewujudkan pelbagai illusi yang kemudiannya dijadikan dakyah. Akhirnya mereka sendiri yang termakan dengan khayalan dan propaganda sendiri.

Lagu Dr Mahathir didendangkan kembali. Paling ditakuti bukan sahaja calon Pakatan Rakyat yang menentang "calon kitar semula," tetapi Dato' Seri Anwar Ibrahim... sekali lagi sikap yang saling tak tumpah seperti perangai "orang tua itu."

Sekejap kata mereka, Anwar pro-Yahudi. Sekelip mata, kata mereka, media Yahudi menempelak Anwar. Entah mana satu yang betul!? Agaknya atas nasihat syarikat perunding imej dari Amerika, yang kini menjadi penasihat kerajaan Najib, maka mereka pun melepaskan sebutir peluru menuduh Anwar sebagai "sesumpah Malaysia" di dalam sebuah majalah antarabangsa milik Yahudi.

Idea sesumpah, atau sumpah-sumpah, atau bersumpah itu sendiri dikenali terkait kepada siapa. Bukan kepada Anwar kerana Anwar tidak pernah bersumpah di mesjid mengakui dirinya diliwat. Anwar yang sehingga kini gigih menentang rejim Umno-BN juga tidak pernah bersumpah untuk kononnya setia kepada parti.

Kaki sumpah, yang kuat bersumpah... akhirnyalah yang cabut lari dan melanggar sumpahnya sendiri.

Sumpah baru pun dilakonkan, kali itu di masjid pula! Apakah kerana dendam politik, manusia tergamak melakukan apa sahaja? Betapa rendahnya maruah pak-pak kaduk ini! Malah, di Bagan Pinang ditebar pelbagai bahan tak bertanggungjawab termasuk buku memburukkan pimpinan Pakatan Rakyat.

Seperti biasa, dalam laporan media milik mereka, kononnya merekalah yang dianiaya. Kononnya diserang oleh penyokong Pas. Juga disiarkan gambar mengada-ngada di wad hospital.

Apakah mereka dapat menipu di hadapan puluhan ribu penyokong Pakatan Rakyat bahawa siapa sesungguhnya yang buat kacau? Seperti di Ijok dahulu, siapa yang memulakan provokasi membaling botol minuman?

Semua tipu helah Umno-BN ini bukan rahsia lagi. Tetapi apa hendak dihairankan, kalau bersumpah pun mereka tergamak, apalah sangat lakonan kecil-kecilan konon dipukul atau dicederakan penyokong kita.

Yang tak mereka sedari, sumpah itu sedang memakan tuannya, sepanjang 7 PRK sebelum ini dan sekejap lagi, tak mustahil Bagan Pinang mula akan menjadi saksi.

PAKATAN RAKYAT UNTUK BAGAN PINANG!

04 October 2009

APABILA POP...

Kelmarin, ketika proses penamaan calon, buat pertama kalinya kita bersama menunjukkan betapa kekuatan rakyat menyokong calon Pas, saudara Zulkifly Mohamad Omar. Bagi pihak Pakatan Rakyat, lebih 15 ribu berhimpun di dalam hujan pagi dan kita sanggup basah kuyup. Tak seorang pun yang dibayar, atau diangkut dengan bas berbondong-bondong.

Tradisi Pakatan Rakyat yang masih tidak dapat difahami dan ditandingi Umno-BN ialah apabila keikhlasan menjadi teras perjuangan. Bendera dikibarkan, di rumah-rumah dan diarak dengan kereta. Memang, kira-kira seminggu sebelum itu, banting, sepanduk malah papan iklan gergasi 1Malaysia telah dinaikkan. Umno-BN menunjukkan kekuatan wang ringgit luar biasa. Di sepanjang 5 Perdana Menteri sebelum ini, belum pernah disaksikan bagaimana wang ringgit dicurahkan begini rupa untuk mengekalkan kekuasaan.

Keangkuhan sebeginilah yang sedang berhadapan dengan kuasa rakyat terbanyak. Kalangan penyokong Pakatan Rakyat yang hanya orang biasa, ibu-ibu dan orang kampung, serta anak muda yang tersentuh hati mereka melihat keseluruhan sistem pemerintahan yang rakus lagi sombong.

Calon yang didakwa dan dikenakan tindakan oleh partinya sendiri, kini diangkat sebagai wira. Aneh, memang aneh. Sekonyol-konyol disebutkan, beliau sudahpun menjalani tempoh hukuman. Beliau membandingkan dirinya dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang juga pernah dipenjara.

Aduhai! Satu Malaysia tahu, Anwar dipenjara kerana fitnah, bukan kerana rasuah. Tak ada sesen pun wang digunakan dalam pertuduhan terhadap salah guna kuasa yang didakwa dilakukan Anwar. Sementara calon BN, bukan kepalang buktinya.

Beginilah cara pencak silat politik pemimpin Umno-BN, yang penuh tipu daya. Tetapi memandangkan sokongan rakyat yang turun penuh ikhlas, harapan tetap ada bahawa calon Pakatan Rakyat dari Pas mampu untuk menumpangkan tokoh popular Umno-BN itu.

Bukan sekali terbukti dalam sejarah, bahawa populariti bukan bukti kebenaran. Dan keadilan wajib menang di atas kebathilan. Ayuh, membujur lalu, melintang patah!

PAKATAN RAKYAT UNTUK BAGAN PINANG!

02 October 2009

DI SAMBUT DENGAN LALAT

Esok adalah hari penamaan calon. Petugas Pakatan Rakyat dari seluruh negara mulai membanjiri Port Dickson. Mata dunia ke arah kita, demi menyaksikan kesinambungan kebangkitan rakyat berhadapan dengan rejim Umno-BN.

Setiap bilik gerakan mulai dihiaskan sepanduk dan poster. Jadual tugas mulai penuh di papan kenyataan, dan Pejabat Parlimen Telok Kemang menjadi bilik gerakan utama bagi seluruh jentera Keadilan yang akan berbondong tiba.

Selepas memenangi kerusi Parlimen 132 Telok Kemang, antara isu utama yang saya kemukakan di Dewan Rakyat adalah masalah asas tentang kebersihan. Tak jauh daripada DUN Bagan Pinang, ada sebuah pusat pelupusan sampah yang menjijikan. Tak ada teknologi moden. Tak lebih hanya mengharapkan aturan dan 'kekuatan' alam agar bukit sampah yang bertimbun di sana terhapus sendiri. Justeru itu, lalat merupakan masalah utama di seluruh pusat peranginan di sini. Masalah yang berlarutan lebih 15 tahun... masalah yang berpunca sejak zaman calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Isa Samad menjadi menteri besar.

Berbuih mulut di Dewan Rakyat dan DUN membangkitkan isu ini, termasuk oleh tiga ADUN Pakatan Rakyat yang menang dalam PRU-12 lalu di bawah Parlimen Telok Kemang. Jawapan yang diberikan berputar-putar. Pihak kerajaan negeri menunggu peruntukan kerajaan pusat. Pihak kerajaan pusat pula menunggu kelulusan tapak baru daripada kerajaan negeri. Sementara itu, lalat semakin membiak.

Di samping mengucapkan selamat datang kepada semua yang bakal berkunjung ke Telok Kemang dan Port Dickson, saya juga memohon agar perhatikan bagaimana hal yang paling asas iaitu kebersihan dan keselamatan rakyat daripada terus diburu dan diserang lalat kekal berpanjangan. Dalam waktu yang sama, janji pilihanraya kecil mulai ditabur, konon Bagan Pinang akan menjadi "Bandar Tentera".

"Tentera lalat" pun tak dapat diselesaikan, apakah dapat diharap pembelaan terhadap pengundi di sini!? Demi itu, kita perlu tambahan satu lagi wakil di DUN iaitu 4 daripada 5 kerusi DUN di Telok Kemang. Dengan kemenangan itu nanti, insyaalah sebagai mesej dan isyarat bahawa rakyat Bagan Pinang sudah tak sanggup lagi hidup di dalam kerumunan jutaan ekor lalat setiap hari.

Ayuh mulakan perjuangan, dengan langkah kanan.

PAKATAN RAKYAT BAGI BAGAN PINANG!

BAGAN PINANG AKAN BERTUKAR WAJAH?

Teka-teki calon-calon yang akan bertanding telah terjawab dengan pengumuman nama wakil-wakil daripada UMNO (BN) dan PAS (PR). Sudah jelas Tan Sri Isa Samad yang dicalonkan adalah yang terbaik pada mata UMNO dan begitu juga Zulkifli Mohd. Omar bagi pihak PAS. Tanpa aral kedua-dua tokoh ini akan berusaha memenangi hati para pengundi di Bagan Pinang.

Sebenarnya tidak ramai yang mengetahui lokasi Bagan Pinang. Ada juga yang menganggap ianya di Pulau Pinang kerana "Bagan" sinonim dengan negeri tersebut, ditambah pula dengan nama "pinang" itu sendiri. Umum lebih mengenali pantai Port Dickson. Kepada pengunjung lalu-lalang dari pekan PD tidak akan perasan wujudnya Kampung Bagan Pinang sebelum sampai ke pantai tempat perkelahan. Bagan Pinang hanyalah satu kawasan DUN dalam kawasan parlimen Telok Kemang. Itu sahaja signifikannya.

Hari ini Bagan Pinang tumpuan seluruh rakyat Malaysia. Keputusan PRK pada 11 Oktober tidak akan menggugat kerajaan Negeri Sembilan, tetapi, akan memberi bermacam-macam isyarat kepada senario politik tanah air. Biarlah pembaca sendiri membuat apa-apa spekulasi kesannya.

Apa yang menarik bagi saya ialah pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bahawa pekan PD akan diberi nama baru iaitu Bandar Tentera. Menarik kerana sehari sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin menyatakan bahawa kemenangan calon UMNO Isa Samad akan meningkatkan usaha kerajaan untuk memajukan Port Dickson sebagai tempat pelancungan dan perdagangan.

Saya masih lagi cuba hendak menggambarkan corak lanskap baru Bandar Tentera / Pelancungan / Perdangan yang akan menggantikan Bandar Port Dickson. Mungkin satu-satunya dalam dunia!