22 July 2009

AKAN NAIK.....AKAN NAIK LAGI!

Dimaklumkan kemungkinan tarif elektrik akan dinaikkan. Jemaah Menteri akan memutuskan dalam mesyuarat kabinet hari ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui. Beliau menyatakan kenaikan tidak dapat dielakkan akibat dari kenaikan harga gas yang dibekalkan oleh Petronas. Harga gas akan naik dengan kadar 4% ke 5%. Sayugia dimaklumkan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggunakan juga arang batu sebagai bahan bakar untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Tarif elektrik dikaji tiap-tiap enam bulan. Ini ada kaitan dengan harga minyak. Gas adalah komponen dari minyak. Harga gas naik turun dan semenjak kenaikan tarif yang lalu, harga gas telah naik. Dimaklumkan TNB mengubah tarif mengikut harga gas.

Persoalan yang timbul sewaktu harga minyak melambung tinggi setahun yang lalu, tarif telah dinaikkan. Tetapi, tarif tidak diselaraskan dengan penurunan harga minyak dari USD140 setong pada kemuncaknya kepada USD40 setong awal tahun ini. Penjelasan yang diberi adalah kerana TNB menggunakan arang batu selain dari gas dan harga arang batu tetap kekal. Ini yang mengelirukan. Apakah faktor sebenar yang membuat naik turunnya tarif elektrik?

Selain dari pengeluaran sendiri, TNB juga terpaksa membeli keseluruhan pengeluaran tenaga dari Pengeluar Tenaga Babas atau Independent Power Producer (IPP). Di Port Dickson ada dua IPP, iaitu, PD Power dan Jimah Power. Harga telah ditetapkan mengikut perjanjian yang ditandatangani di antara TNB dengan IPP yang berkenaan. Kadar harga dalam perjanjian memperuntukkan kenaikan pada tiap-tiap sekian masanya tanpa kompromi. Tidak pula ada peruntukan penurunan harga. Oleh kerana perjanjian mewajibkan TNB membeli kesemua pengeluaran IPP , walaupun keperluan TNB sudah berlebihan, maka tarif elektrik ada juga kaitannya dengan harga yang ditetapkan oleh perjanjian dengan IPP. Inilah sebenar punca kenaikan tarif elektrik yang kerajaan akan memutuskan untuk ditampung oleh pengguna, khususnya pengguna-pengguna awam.

Perlu juga dimaklum, TNB menghadapi masalah aliran wang tunai. Ini disebabkan kerana tahap hutang tinggi. Keadaan pemiutang pun tinggi. Pengusaha-pengusaha mega tidak menjelaskan hutang-hutang sekerap sepertimana pengguna-pengguna awam.

Kesemua ini mengakibatkan tindakan untuk membebankan rakyat. IPP tetap mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Pengusaha-pengusaha besar tetap akan liat membayar hutang-hutang bil elektrik mereka kepada TNB. Kerajaan akan membesarkan soal subsidi kepada rakyat. Sebaliknya, kerajaan akan berdiam diri mengenai subsidi yang diberi oleh Petronas kepada pengusaha-pengusaha IPP.

HIDUP RAKYAT!!!

13 July 2009

BAS......EKSPRES KE MANA?

Berbicara hal lebuhraya, saya tidak dapat mengelak dari menyentuh sedikit soal penggunaan lebuhraya. Tiap-tiap hari lebuhraya diguna oleh semua jenis kenderaan sebagai laluan mudah mau pun untuk jarak dekat atau terlebih lagi untuk perjalanan jauh. Bayaran tol tidak lagi menjadi masalah bila kita sudah berada di lebuhraya. Memandu ikut peraturan atau pun tidak bukan perancangan yang diutamakan. Yang penting bagaimana hendak sampai ke destinasi mengikut cara masing-masing memandu. Ada yang berhajat hendak selamat sampai. Ada yang hendak cepat dan selamat sampai, dan ramai juga pemandu-pemandu yang nak cepat sampai tidak kira cara mana sekalipun asalkan sampai.
Satu-satu berita dalam akhbar-akhbar keluaran Ahad 12 Julai 2009, melaporkan mengenai 28 pelancong cedera apabila bas melanggar sebuah treler di KM 179.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Plaza Tol Jasin, Merlimau. Siasatan awal mendapati bas itu dipercayai memotong sebuah treler lain dan sejurus masuk ke laluan kiri melanggar bahagian belakang treler yang lain. Bas diseret kira-kira 50 meter sebelum berhenti di lorong kecemasan. Tujuh penumpang cedera parah termasuk pemandu dan pembantunya.

Teringat saya kepada satu soalan di Parlimen yang ditujukan kepada Menteri Pengangkutan pada 25 Jun 2009 yang lalu. Saya minta Menteri menyatakan:

1. Kadar kemalangan jalan raya membabitkan bas-bas ekspres, jumlah kematian dan kecederaan akibat nahas tahun lalu; dan

2. Status beberapa perlaksanaan undang-undang yang sebelum ini diwajibkan seperti alat penggera kelajuan atau kawalan laju (speed control).
Jawapan Menteri…..

1. Perangkaan kadar kemalangan jalan raya membabitkan bas-bas ekspres dari 1 Januari hingga 31 Mei 2009 ( 5 bulan ) adalah sebanyak 1,032 kes. Jumlah kematian pula adalah sebanyak 6 kes manakala jumlah kecederaan dalam tempoh yang sama 26 kes.

2. Kemeterian Pengangkutan pernah menguatkuasakan alat penggera kelajuan(speed warning device) pada 1 Julai 1985 dan alat mengawas kelajuan atau speed monitoring device (black box) pada 15 Mac 1998. Walau bagaimanapun, kedua-dua alat tersebut telahpun dimansuhkan penggunaannya berikutan masalah alat tersebut sering diganggu usik, masalah operasi dan masalah pemantauan yang dihadapai oleh agensi penguatkuasa.


Alangkah mudahnya jawapan yang diberi kepada sesuatu perkara yang berkaitan ribuan pengguna yang memperjudikan nyawa-nyawa mereka kepada pemandu-pemandu bas-bas ekspres tiap-tiap hari. Adakah kelemahan agensi penguatkuasa satu alasan yang munasabah? Apakah kelemahan ini tidak dapat diperbetul, diatasi dan dipertingkatkan prestasinya sehinggakan pihak yang wajib terpaksa akur kepada kelicikan pemilik-pemilik bas-bas ini? Apakah kepintaran mereka-mereka ini dapat menewaskan kekuatan jentera kerajaan hingga memaksa sistem kawalan laju dimansuhkan penggunaanya? Apakah lemah sangat inisiatif pihak kerajaan hingga hilang keutamaan dan kepentingannya kepada ribuan rakyat yang melangani kemudahan bas-bas ekspres? Apakah nyawa-nyawa pengguna-pengguna tidak mempunyai nilai-nilai yang wajib dilindungi cara manapun oleh yang dipertanggungjawabkan?

Apa rasionalnya tindakan yang diambil oleh pihak-pihak yang berwajib?
Sama-samalah kita renungkan…..


HIDUP RAKYAT!!!

09 July 2009

FOTO-FOTO PROJEK TERGENDALA...
























































Jalan Baru dari Lebuhraya Seremban-PD ke Laluan Persekutuan 5 Di Pasir Panjang & Dari Pasir Panjang ke Linggi, Seksyen 1 & 2.



APO NAK DIKATO !!








07 July 2009

JEJAK AP PANTAU RMK-9

Saya telah meninjau beberapa projek yang dirancang di bawah RMK-9 untuk Telok Kemang, bagi mendapatkan secara rambang prestasi projek-projek yang telah siap, dalam perlaksanaan dan juga masih belum dilaksanakan.

Dalam siri permulaan pemantauan ini, saya akan bicara mengenai prestasi projek pembinaan jalan dari Lebuhraya Seremban-Port Dickson ke Pasir Panjang dan Pasir Panjang ke Linggi.

Butiran projek yang dibekalkan kepada saya oleh Jabatan Perdana Menteri adalah seperti berikut :

1. Membina Jalan Baru dari Lebuhraya Seremban-Port Dickson ke FR5 di Pasir Panjang dan dari Pasir Panjang ke Linggi - Seksyen 1

Status : Ikut jadual
Kontrak siling : RM115,800,000.00
Kontraktor : HARTAJAYA (M) SDN BHD - BENTENG TIMUR SDN BHD (JV) & AMR JELI SDN BHD (DESIGN & BUILD)

2. Membina Jalan Baru dari Lebuhraya Seremban-Port Dickson ke FR5 di Pasir Panjang dan dari Pasir Panjang ke Linggi - Seksyen 2

Status : Ikut jadual
Kontrak siling : RM 40,000,000.00
Kontraktor : SATRIADESA CORPORATION SDN BHD

Hasil tinjauan yang saya lakukan ke dua-dua projek ini tidak mencerminkan bahawa kerja-kerja sedang pesat berlaku. Tidak kelihatan jentera-jentera berat, mesin-mesin dan bahan-bahan binaan di sepanjang jalan-jalan tersebut. Pekerja-pekerja pun sangat sedikit kelihatan. Suasana sunyi dan ada berapa tempat yang terdapat kerosakan, tanah runtuh berlaku dan menggambarkan kawasan terbiar.

Justeru, tidak dapat saya memahami prestasi kerja 'mengikut jadual' yang dilaporkan oleh YB Tan Sri Nor Mohamed bin Yakcop kepada saya dalam jawapan beliau kepada soalan di Parlimen tempoh hari. Hanya, setakat ini, saya akan terus lakukan kerja pantauan supaya projek-projek ini tidak akan tergendala, terbiar tanpa sebarang kawalan sepertimana yang berlaku pada jalan Port Dickson ke Pasir Panjang.

Projek Penglebaran dan Menaiktaraf Jalan Port Dickson ke Pasir Panjang telah lama terbiar, terbengkalai. Ciri-ciri keselamatan tidak mengikut piawaian dalam kontrak. Kemalangan sering berlaku dan adakalanya mengakibatkan kematian. Pengguna-pengguna jalan tersebut terpaksa mangambil risiko tiap-tiap kali menggunakannya, terutamanya di waktu malam.

Kita terpegun dengan papan-papan tanda yang terpampang dengan megahnya bahawa projek-projek ini adalah usaha-usaha Barisan Nasional. Apakah wajar kita pertanggungjawabkan BN dengan kehilangan nyawa akibat kemalangan-kemalangan yang berlaku, kerana BN kurang pengawalan perlaksanaan projek-projek tersebut?

Rakyat akan bersama mengawasi perkembangannya.

HIDUP RAKYAT !!!