24 June 2009

PEMBANGUNAN KAWASAN TELOK KEMANG DI BAWAH RMK-9

Pada 18 Jun 2009, satu-satunya soalan saya di sidang Parlimen ditujukan kepada Perdana Menteri seperti berikut:-

SOALAN

‘Minta Perdana Menteri menyatakan senarai projek-projek pembangunan Kerajaan Persekutuan bagi kawasan Parlimen Telok Kemang di bawah RMK-9, butiran kos projek-projek tersebut dan kontraktor-kontraktornya serta status perlaksanaannya ‘.

JAWAPAN

‘Di bawah RMK-9, sebanyak 127 projek pembangunan dengan siling peruntukan RM992.3 juta telah dilulus untuk dilaksanakan oleh pelbagai Kementerian di kawasan Parlimen Telok Kemang. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 37 projek yang melibatkan peruntukan RM152.9 juta atau 15.4% telah siap dilaksanakan manakala baki projek masih berada dalam pelbagai peringkat perlaksanaan. Senarai terperinci projek, status perlaksanaan serta siling peruntukan yang dilulus bagi setiap projek adalah seperti di lampiran berkembar ’.

Sesungguhnya maklumat-maklumat ini akan memberi kesempatan bagi saya memantau perlaksanaan projek-projek yang dirancangkan. Tumpuan akan diberikan kepada projek-projek di bawah Kementerian Belia & Sukan, Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Pelajaran, Pelancongan dan Kesihatan. Selainnya adalah projek-projek di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kerja Raya, Pengajian Tinggi, Pengangkutan, Pertahanan, Pertanian & Asas Tani, Perumahan & Kerajaan Tempatan, Tenaga dan Teknologi Hijau & Air.

Peruntukan projek-projek masih lagi di bawah kendalian kementerian-kementerian lama dan sekarang sedang dikemaskinikan melalui usul-usul pindaan sesuai dengan portfolio kementerian-kementerian sekarang.

Arakian, kawasan Parlimen Telok Kemang tidak akan ketinggalan dalam arus pembangunan khususnya yang melibatkan kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas untuk rakyat. Saya akan pastikan perlaksanaan kesemua projek-projek yang dirancangkan disiapkan seperti dalam jadual RMK-9.

HIDUP RAKYAT !!!

15 June 2009

1 (One) MALAYSIA atau WANG MALAYSIA

Slogan ‘1 Malaysia’ atau ‘Satu Malaysia’ dijual setiap hari di dada-dada akhbar, media elektronik dan menjadi ‘modal’ ucapan juak-juak Perdana Menteri Najib di mana-mana sahaja. Bertujuan : untuk menyentuh emosi, denyut nadi dan rasa rakyat. Dengan matlamat : menyuntik semangat semua golongan. Dengan nawaitu : untuk membelai perasaan setiap warga. Lantaran itu saya juga tercuit rasa dek lunaknya ia diperdengarkan di laman media massa cetak maupun elektronik.

Sedih dan pilunya apabila ‘rasa bertanya akal’ ialah begitu sekali rakyat Malaysia diperkecilkan daya inteleknya oleh Najib dan juak-juaknya seolah-olah rakyat Malaysia ini tidak tahu antara kerajaan dan politik. Kerajaan ialah parti mana pun yang memerintah akan memilih seorang Perdana Menteri dan para menteri kabinetnya. Justeru itu, Perdana Menteri adalah PM untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira ras rakyat itu berketurunan apa, sama ada Melayu, Cina, India, Iban , Kadazan, Senoi, Jakun, Punjabi, atau agama seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya.

Oleh itu siapa juga yang menjadi Perdana Menteri dia secara otomatik wajib mengamalkan konsep Satu Malaysia. Melayari serta melayani keperluan dan kehendak semua kaum, agama dan budaya.

Lucu dan kelakarnya apabila slogan ‘Satu Malaysia’ ini diperbesar-besarkan tatkala PM Najib memberikan peruntukan untuk membantu sekolah Cina atau kaum India dalam perkara-perkara tertentu. Ini adalah tugas dan tanggungjawab mana-mana pentadbiran kerajaan untuk membantu memenuhi keperluan rakyat dalam soal-soal pendidikan, sosial, ekonomi, budaya dan agama.

Peliknya UMNO yang Najib adalah presidennya tidak pula mahu bercakap soal ‘Satu Malaysia’ mahupun mengamalkannya di dalam pentas UMNO. Jika mahu dipolitikkan slogan Satu Malaysia, UMNO haruslah menukarkan slogan ‘Hidup Melayu’ kepada slogan ‘Satu Malaysia’. Ini tentu memerlukan keberanian politik luar biasa. Sikap ‘double standard’ dan mengelirukan ini akan menjadikan sistem pentadbiran negara tidak telus dan terdedah kepada elemen untuk dieksploitasi. Maka, tidak hairanlah selama ini atas nama slogan yang lunak-lunak, rakyat diperbodohkan apabila dalam amalan yang sebenarnya berlaku sebaliknya, lain dicakap, lain dibuatnya. Misalnya untuk menghalalkan penyaluran kekayaan negara kepada kroni dan sahabat dipampankan slogan ‘Satu lagi projek oleh BN’. Ratusan juta ringgit disalurkan untuk projek itu dan ini yang kononnya atas kepentingan rakyat tetapi ternyata ianya adalah untuk kepentingan mereka sendiri. Tetapi bila projek-projek tersebut terbengkalai atau bermasaalah, tidak mahu pula mengaku ini ‘Satu Projek BN Yang Terbengkalai’. Lantaran itu, jangan salahkan rakyat jika rakyat tidak menghargai BN lagi.

Kesalnya perasaan kita bila slogan ‘Satu Malaysia’ ini dikumandangkan bagaikan bait-bait lagu untuk dihafal sedangkan hakikatnya UMNO yang diterajui oleh Najib sedang bertungkus-lumus untuk menghidupkan semangat perkauman sempit dengan mengambil setiap inci ruang dan peluang yang ada di hati orang-orang Melayu supaya terus menyokong UMNO yang telah dihinggapi oleh pelbagai penyakit yang sukar untuk diubati. Di dalam pencarian punca kepada kehilangan kepercayaan orang-orang Melayu terhadap UMNO, satu-satunya jalan yang difikirkan sesuai ialah menggambarkan pimpinan UMNO adalah prihatin terhadap kaum-kaum lain di Malaysia. Jadi, slogan ‘Satu Malaysia’ diuar-uarkan.

Namun apabila ‘rasa’ bertanya ‘akal’ dan ‘akal’ bertanya ‘roh’ kita tidak akan dapat lari dari ‘kebenaran yang hakiki’. Kebenaran yang hakiki ialah KEADILAN adalah pokok utama kepada prinsip kepimpinan. Bukalah sejarah, semaklah sirah Rasullullah, lihatlah dunia sekeliling kita. Akan terbukalah hakikat bahawa tidak ada kepimpinan di mana-mana tempat, kawasan atau negara yang dapat dipertahankan jika seseorang pemimpin itu tidak berpegang teguh kepada konsep keadilan. Konsep keadilan itu pula bukanlah perkara yang boleh dibuat-buat, direka-reka atau dinyanyi-nyanyikan. Keadilan adalah disematkan dalam niat di dalam hati, disebut dengan lisan dan diamalkan dengan ikhlas.

Sekiranya slogan ‘Satu Malaysia’ hanyalah direka sebagai satu lagi episod UMNO/BN untuk mengakal-akalkan rakyat, sesungguhnya rakyat Malaysia telah pun sedar, betapa dalam masa 50 tahun UMNO menyanyikan lagu yang sama cuma diberi nafas dan irama baru. Dulunya, ‘muhibah’ selepas itu ‘integrasi nasional’ dan kini ‘Satu Malaysia’, tetapi setiap masa ada-ada sahaja peristiwa berlaku dan mencipta sejarahnya tersendiri. Ada-ada sahaja sentimen-sentimen perkauman yang cukup menderitakan rakyat akibat yang daripada permainan politik sempit perkauman UMNO/BN dan pemimpin-pemimpinnya. Ada-ada sahaja hati rakyat yang terluka akibat tingkah dan karenah pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak berjiwa ‘Satu Malaysia’.

Justeru, Datuk Sri Najib, ‘satukan’ dulu hati pemimpin-pemimpin di dalam UMNO, ‘satukan’ dulu pemimpin-pemimpin di dalam BN dan ‘satukanlah’ dulu orang-orang Melayu. Rakyat sedang memerhati sekarang, namun episod pecah dan perintah peninggalan penjajah warisan UMNO/BN ini akan berkubur! Keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia adalah dilahirkan oleh rakyatnya bukan dinyanyikan oleh pemimpin-pemimpin yang hipokrit!

HIDUP RAKYAT!!!

02 June 2009

PENANTI - SIAPA SEBENAR MENANG?

Siapapun tidak menyangka keputusan pilihanraya kecil Penanti akan membawa pelbagai reaksi dan analisa dari pelbagai pihak kerana keputusannya sudah dijangka pada mula hari penamaan calon lagi. Persoalannya hanya pada jumlah pengundi yang akan keluar dan berapakah jumlah undi yang mirip kepada BEBAS. Sungguhpun demikian, PKR tetap yakin bahawa prestasi calon-calon BEBAS akan serupa dengan keadaan di Bukit Selambau.

Yang jelas, penyokong-penyokong kuat Pakatan Rakyat (PR) keluar mengundi, iaitu 39.34% daripada jumlah pengundi berdaftar (15,384) adalah pejuang ‘perubahan’ setia/tegar. Perbezaan undi sekitar seribu tiga ratus yang mengundi pada PRU12 itu adalah mereka-mereka yang berada di luar kawasan, yang tidak pulang mengundi, dan ahli-ahli UMNO yang kali ini tidak mengundi kerana tidak mahu dilihat oleh orang ramai sebagai penyokong-penyokong ‘perubahan’ dalam diam-diam.

Panglima-panglima UMNO menyifatkan kemenangan PR tidak mencerminkan populariti PR kerana PR, kata mereka, hanya bertentangan dengan calon-calon BEBAS. Kita tidak dapat menyalahkan panglima-panglima ini kerana kita tidak dapat secara tepat menyatakan dari sudut mana penglihatan mereka ini. Tetapi jelas, dari sudut mana pun, mereka ini melihat dengan kacamata gelap.

Memang tidak boleh dinafikan, kekuatan PR di Penanti kekal seperti yang berlaku pada PRU12. Ini telahpun diramal oleh UMNO sebab itu mereka tidak mengambil risiko menghadap kekalahan berturut-turut. Bayangkan apa pula analisa mereka sekiranya bertanding dan tewas sekali lagi. Sesungguhnya UMNO/BN tidak akan kurang dengan alasan-alasan stereotaip mereka.

Inilah kelemahan besar UMNO/BN. Mereka tidak mahu mengiktiraf kehendak rakyat. Mereka tidak mahu mengakui bahawa RAKYATlah yang berkuasa dalam mana-mana pilihanraya. Akuilah, iktiraflah sesungguhnya KUASA RAKYAT, KUASA KERAMAT!

PR menunggu UMNO/BN di Manek Urai. Apakah mereka akan menang dalam kekalahan sekali lagi.

HIDUP RAKYAT!!!