30 May 2009

PENANTI : MENANTI TIMBALAN KETUA MENTERI

Rakyat Penanti akan mengundi esok, 31 Mei 2009, sesudah seminggu menunggu untuk membuat penentuan siapa pilihan mereka di antara calon-calon yang bertanding . Warga Penanti yang layak mengundi tidak akan lepaskan peluang ini untuk membuat pilihan kerana pemilihan kali ini ada memberi kesan kepada negeri Pulau Pinang.

Seperti kita semua sedia maklum, pertandingan kali ini memaparkan empat calon. Di Penanti, persepsinya ialah calon bakal Timbalan Ketua Menteri melawan tiga calon BEBAS. Pilihanraya kecil ini mencatat satu sejarah, iaitu UMNO tidak bertanding. Setakat dua belas pilihanraya umum dan beberapa puluh pilihanraya kecil, UMNO tidak pernah mengelak untuk bertempur di medan pilihanraya. Ini mencerminkan kekuasaan parti Melayu itu. Pantang dicabar!

Kali ini UMNO menyisih diri dari cabaran Pakatan Rakyat. Mereka tidak mahu menduga jiwa dan pilihan rakyat di Penanti. Mereka tidak mahu bertempur dengan kekuatan PR di Penanti. Mereka lontar bendera putih. Mereka mengaku kalah sebelum bertempur.

Perjuangan UMNO diserahkan kepada tiga calon untuk menguji kekuatan PR. Di antara mereka hanya seorang sahaja yang nampaknya bersungguh-sungguh cuba mendapat perhatian pengundi. Apakah beliau ini mempunyai hubungan dengan parti UMNO? Wallahu'alam. Yang pasti modus operandinya (cara berkempen) ada mirip-mirip cara UMNO. Sekiranya beliau mendapat jumlah undi yang banyak, lebih kurang banyaknya dengan jumlah yang diperolehi calon UMNO pada PRU12, maka sudah pasti calon ini mendapat sokongan oleh penyokong-penyokong UMNO.

Sebaliknya, jika beliau hanya mendapat jumlah undi yang lazimnya diperoleh oleh calon-calon BEBAS, maka kita akan mendapat gambaran bahawa penyokong-penyokong UMNO telah memberi isyarat kepada pucuk pimpinan UMNO bahawa mereka menolak keputusan memulau pilihanraya kecil ini. Apakah pengundi Penanti yang dulunya menyokong UMNO telah muak dengan karenah UMNO? Apakah penyokong UMNO di Penanti telah diabaikan? Apakah penyokong UMNO di Penanti dipinggirkan? Apakah suara penyokong UMNO di Penanti tidak lagi diperlukan oleh pemimpin-pemimpin yang sedang berbuai di mahligai-mahligai besar-besar di Kuala Lumpur?

Bagi PR, kemenangan di Penanti akan memberi makna yang berkesan. Calonnya, Dr. Mansor akan diistihar sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru. Beliau berazam untuk meningkat dan mambantu memperkokohkan pentadbiran kerajaan PR. Apa jua sumbangan beliau nanti sudah pasti menguntungkan warga Penanti. Ini yang ditunggu-tunggu oleh semua lapisan masyarakat tua, muda dan semua bangsa di Penanti.

Apakah ini akan menjadi realiti? Kita tunggu esok.

HIDUP RAKYAT!!!

19 May 2009

UMNO TUMPAS PERTAHAN MELAYU PULAU PINANG

Pilihanraya kecil (PRK) Penanti menjadi tumpuan umum kini. PRK Penanti ini adalah manifestasi yang menggambarkan hidup matinya idealisme perkauman dan perpaduan. PRK Penanti ini adalah mesej jelas kepada rakyat dan Malaysia bahawa kita kini menuju - PERUBAHAN.
Umno sejak setengah dekad lalu mendakwa merekalah pejuang tulen bangsa Melayu. Umno kononnya adalah satu-satunya parti yang memperjuangkan ‘Ketuanan Melayu’, tiba-tiba menyerah kalah sebelum bertempur di Penanti!

Umno umpama pendekar tua yang telah ganyut yang ‘bernafsu besar tetapi tidak berkudrat’. Langkah pencak silat politiknya telah dibaca lawan. Langkahnya kini sumbang, kekudanya tidak lagi mantap. Genggamannya sudah terketar-ketar persis pesakit kronik parkinson akibat banyak melanggar pantang larang pendekar.

Menurut para guru pahlawan silam, untuk menjadi pendekar ulung bukanlah mudah. Banyak pantang larangnya. Amalan mesti mantap, nafsu mesti dikekang. Takbur jangan sesekali, jangan menjual sebelum lawan menawar. Hendaklah menjaga iman. Hendaklah menjaga amanah. Hendaklah menjaga amalan. Amanah jangan dikhianati. Pusaka hendaklah dijaga.

Malangnya Umno tidak menjaga pusaka, mengingkari janji, mengkhianati amanah. Pemimpin mereka takbur dan riak. Menunjuk gagah dan bermewah-mewah, menikam kawan seiring. Menginjak yang lemah, mengugut yang takut, mengancam yang terdesak. Akibatnya, satu persatu mereka tewas di gelanggang. Kesannya menusuk ke sanubari. Ketakutan memenuhi setiap ruang mimpi. Tidurnya terus dihambat igauan maha ngeri.

Lebih malang dari Lebai Malang, Umno mempunyai pemimpin yang penuh dengan kudis, pekung dan kusta. Kekotoran pemimpin mereka tidak boleh dicuci lagi. Kerakusan pemimpin mereka tidak dapat ditahan bendung lagi. Perpecahan demi perpecahan. Kehancuran menanti di penghujung usia parti yang mendakwa pejuang bangsa Melayu!

Umno sedar diri mereka tidak laku lagi. Umno tahu sekarang bukan masa orang Melayu akan mempertahankan mereka. Umno sendiri sudah tidak mampu untuk mempertahankan orang-orang Melayu di Penanti, Pulau Pinang. Umno tidak mampu untuk menahan angin perubahan. Kini sudah rebah sebelum masuk gelanggang pertempuran di Penanti.

Justeru itu, sudah terang lagi bersuluh, Umno telah gagal mempertahankan bangsa Melayu. Orang-orang Melayu kini telah mempunyai bahtera baru yang lebih canggih - PKR & PAKATAN RAKYAT.

HIDUP RAKYAT!!!

18 May 2009

KOTAKAN APA DIKATAKAN, NAJIB!

Merujuk kepada kenyataan Najib yang mahu dikenali sebagai seorang Perdana Menteri Rakyat cukup menarik untuk kita fikirkan bersama. Menurutnya, beliau mahu dikenali sebagai PM yang mesra rakyat dan dapat memahami kehendak rakyat.


Beliau dipetik berucap “…saya mahu sentiasa bersama –sama dengan rakyat dan akan terus bersama dengan rakyat. Kita mesti lihat hala tuju negara, kita mesti faham, mesti merasai setiap denyut nadi rakyat, kita mesti merasainya.”

Kalau itulah sebagai prinsip Najib, maka saya menyeru supaya DUN Perak dibubarkan segera kerana rakyat Perak mahukan suara mereka didengari . Rakyat mahu kemelut politik di Perak ditamatkan ‘once and for all’. Rakyat Perak mahu menentukan semula kuasa mereka dapat menentukan halatuju negeri Perak mengikut fahaman, selera dan kepentingan mereka.

Kita telah melihat bagaimana protes penyelesaian politik di Perak dibuat mau pun melalui proses legislatif atau kehakiman. Rakyat juga telah melihat bagaimana pihak BN telah mengeksploitasikan kuasa-kuasanya yang kebetulan masih menguasai kerajaan pusat. Rakyat cukup faham dengan situasi ini.

Oleh itu, kerajaan Zahid Hamidi yang menyatakan “…tidak perlu diadakan pilihanraya di Perak kerana BN telah mendapat sokongan majoriti” sebenarnya mencerminkan hujah yang memperlekehkan kuasa rakyat. Ini kerana, umumnya telah mengetahui cara BN memperolehi kuasa tersebut adalah dengan cara tidak mengikut kuasa rakyat.

Jalan mudah yang paling mulia dan paling dihormati oleh rakyat adalah dengan membubarkan DUN dan biarkan rakyat Perak membuat pilihan mereka sendiri. Najib harus membuktikan kebenaran apa yang dikatakan dengan mengotakan kehendak rakyat. Najib mesti mengenepikan ego dan kesombongan BN dengan menyahut seruan rakyat. Najib wajib melakukan sesuatu yang mencerminkan bahawa beliau bersungguh-sungguh merasai setiap denyutan nadi rakyat!

Najib mesti segera bertindak selaras dengan hasratnya untuk menjadi seorang PM Rakyat!

Jangan hanya cuba melaungkan slogan-slogan yang retorik semata-mata ingin mengaburi mata rakyat.

HIDUP RAKYAT !!!

10 May 2009

KONFLIK PERAK

Apa yang berlaku di Perak kini adalah manifestasi daripada penyelewengan prinsip dan dasar demokrasi berperlembagaan yang kita anuti di negara ini. Apa yang mendasari demokrasi iaitu ‘Kuasa Rakyat’ jika dikebelakangkan akan menatijahkan ironi yang amat merumitkan. Kini semua pihak tiba-tiba dan seolah-olah hilang punca. Sedangkan hakikat sebenarnya ialah berlakunya pengkhianatan terhadap sistem yang semua telah mempercayai dan akur kepada prinsip-prinsipnya iaitu demokrasi.

Jika kita semua berpegang kepada prinsip demokrasi, rakyatlah yang dapat menyelesaikan semua permasalahan yang berlaku di Perak sekarang ini. Memanipulasikan kuasa-kuasa tertentu sama ada polis, tentera, raja-raja, jabatan kerajaan atau apa sahaja elemen kuasa lain selain kuasa rakyat iaitu kuasa demokrasi akan memburukkan lagi keadaan. Lebih parah lagi akan menghilangkan integriti dan kredibiliti kuasa-kuasa yang dipergunakan tersebut.

Masyarakat yang matang dan bertamadun adalah masyarakat yang menghormati sistem yang mereka pilih untuk mengurus kehidupan mereka. Mana-mana pihak yang cuba untuk memanipulasikan sistem ini akan mendapat padah. Malah natijahnya nanti sistem ini akan rosak dan lumpuh. Apakah musibah yang paling besar jika lebih 50 tahun kita bina dan wujudkan sistem yang diharap dapat melindungi dan menguruskan kehidupan masyarakat dengan lebih baik tiba-tiba dirosakkan?

Apa yang terjadi pada 7 Mei 2009 akan tercatat dalam sejarah. Sekali lagi sejarah hitam ‘Kuasa Rakyat’ dinodai akan tercatat dalam lipatan kenangan anak cucu kita. Semua cetusan dan luahan hati rakyat disekat dan dihalang dengan pelbagai cara dan muslihat. Gunakan polis, gunakanlah dewan undangan negeri yang tidak sah, gunakan pejawat-pejawat awam, gunalah apa sahaja. Tujuan akhir penguasaan kerajaan – tujuan akhirnya ialah untuk membela rakyat! Tetapi jika rakyat tidak menerimanya dan rakyat tidak bersetuju, rakyat membantah, apa gunanya!

Tamadun peradaban manusia telah mencipta undang-undang dan peraturan untuk menyusun atur sistem berpolitik dan bernegara guna untuk melicinkan segala kekusutan, jika ada, untuk melancarkan segala ketidak-lancaran sistem pengurusan kemasyarakatan. Tetapi jika apa yang diperlakukan di Perak, hanya untuk memenuhi cita-cita dan impian dan nafsu besar pihak-pihak tertentu dengan menghancur-leburkan perpaduan dan persefahaman sesama rakyat yang telah terbina sekian lama. Apalah manfaatnya kepada negara jika pihak yang mengambil alih kuasa menganiaya dan menindas rakyat!

Selama ini pihak penguatkuasa undang-undang mendapat segala macam kerjasama dari rakyat tetapi sekarang sekonyong-konyong pihak berkuasa menjadi musuh kepada rakyat! Lebih sedih lagi penguatkuasa undang-undang hanya bertindak untuk melindungi pihak tertentu sahaja. Betapa hibanya hati rakyat sedangkan selama ini rakyatlah yang telah bertukus lumus memerah keringat sama ada mereka bergelar petani, nelayan, pemandu teksi, buruh, pekerja, penternak dan sebagainya membina negara. Merekalah penyumbang besar sektor ekonomi dan penggerak ekonomi yang telah membayar gaji semua penguatkuasa ini. Apakah hasil usaha mereka ini digunakan untuk membelasah mereka semula!

Persoalannya sekarang adakah tragedi yang berlaku di Perak ini akan menjadi penanda aras. Jika konflik ini menjadi ‘precedence’ untuk mentadbir negara ini pada masa depan, bayangkan apakah bentuk negara yang akan kita miliki akhirnya! Inilah kebejatan politik yang harus ditangani. Justeru itu tidak hairan rakyat menentang sekeras-kerasnya juak-juak terbabit yang bertanggungjawab mengeksploitasi situasi ini.

Sampai bilakah interpretasi perlembagaan ditafsir sewenang-wenangnya oleh juak-juak yang di benaknya diselaputi kebejatan serta keburukan akhlak. Juak-juak ini menyuburkan ‘fahaman mata duitan untuk mengeksploitasi perlembagaan atas nama interprestasi perlembagaan’. Mereka mencari jalan untuk menghalalkan cara bagi mencapai matlamat. Kalau ini terjadi, bayangkan isu-isu lain yang melingkari negara kita sekarang. Apakah jaminan isu-isu lain tidak dieksploitasi sebegitu rupa.

Lebih mengerikan badan-badan berkuasa, badan-badan kehakiman dan lainnya dilihat tidak segan silu menyongsangkan perlembagaan dan undang-undang semata-mata untuk memenuhi selera pihak tertentu. Petakanya jika sistem yang murni dikotori oleh sikap yang penuh muslihat kotor ini, apakah rakyat akan merelakannya?

Justeru itu, rakyat punyai dua pilihan iaitu sama ada membiarkan sahaja situasi ini berlaku atau menggunakan sepenuhnya kuasa yang ada pada mereka untuk merubah dan menentukan masa depan mereka sendiri!

HIDUP RAKYAT!!!

04 May 2009

SPR HARAM PONDOK PANAS – APA JUSTIFIKASINYA?

Hairan bin ajaib sungguh bila tanpa petir dan halilintar sekalipun, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dengan tiba-tiba sahaja mencipta ilham baru untuk melarang parti-parti politik yang bertanding di dalam mana-mana pilihanraya mendirikan pondok panas (barong) berkuatkuasa dengan pilihanraya kecil di DUN Penanti kelak.

Apakah logiknya larangan sedemikian hendak dikuatkuasakan secara tiba-tiba sahaja? Setelah sekian lama (sebelum zaman merdeka lagi!) Negara telah menempuhi pelbagai pilihanraya, pondok panas sekonyong-konyongnya akan diharamkan bermula di Penanti pada 31 Mei 2009 nanti.

Sudah pasti fikiran rakyat akan terus berputar-putar dan berlegar-legar mencari apakah justifikasinya tindakan SPR ini. Reaksi awal SPR begitu tipikal sekali! Mengelakkan daripada berlakunya kempen di saat-saat terakhir, kononnya.....

Benarkah BN begitu kecut dan terdesak sekali untuk menghadapi rakyat di Penanti setelah rakyat menunjukkan warna ‘dahagakan kepada perubahan’ mereka bermula di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau?

Mana mungkin SPR mengenakan tindakan yang jelas mau menyekat hak-hak rakyat sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara kita yang tercinta.

Mana mungkin SPR menyekat gelombang kemaraan rakyat yang cintakan kepada perubahan!

Tertibnya SPR harus mendapatkan semua pandangan-pandangan dari parti-parti politik dalam Negara terutamanya PR sebelum ianya menguatkuasakan larangan yang tidak arif ini.

Tanpanya ia nampak jelas seakan-akan tindakan sedemikian adalah bersifat provokasi semata-mata kepada PR!

Justeru itu, kita mestilah sentiasa bersiap siaga untuk mematahkan sebarang jenis provokasi BN yang bakal dijelmakan melalui agensi-agensi di bawah telunjuk serta arahan mereka.

HIDUP RAKYAT!!!

02 May 2009

HUJAN INTAN & EMAS MENANTI DI PENANTI.....

Rakyat telah maklum dengan perletakan jawatan mantan YB Mohd Fairus Khairuddin pada 16/4/09, lantas DUN Penanti (N12) di dalam Parlimen Permatang Pauh telah sah diisytiharkan kosong oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada 17/4/09.

SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon pilihanraya kecil N12 pada 23/5/09 dan tarikh mengundi pada 31/5/09 sekiranya ada pertandingan.
Pelbagai reaksi logik dan tak logik telah timbul di kalangan BN – dengan panglima utamanya Najib berkata mungkin BN tidak meletakkan calon, Mahathir pulak mendesak letak calon bertanding dan seperti kebiasaan pelbagai chorus lagu retorik politik dikumandangkan oleh juak-juak mereka.

Tanpa berlengah Dr. Mansor Othman, telah diumumkan pada 28/4/09 sebagai calon kita yang akan bertanding nanti. BN masih terkapai-kapai hanya akan buat keputusan sama ada masuk bertanding atau tidak pada 4/5/09.

Strategi kita pada kali ini telah berjaya memerangkap percaturan mereka. Aneh sungguh, BN agak ‘terkebelakang’ tidak seperti ‘kebiasaannya’ dalam hal ini. Apa sudah jadi dengan slogan 1Malaysia garapan mereka – Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan? Apakah hak rakyat untuk menyertai proses pilihanraya sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Negara tidak diendahkan pada kali ini?

DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar dengan komposisi kaum Melayu 73%, Cina 24%, India & lain-lain 3%. Keputusan Pilihanraya Umum 2008 menyaksikan calon Pakatan Rakyat meraih 7,346 undi berbanding dengan calon BN yang mendapat 5,127 undi. PR menang dengan majoriti undi sebanyak 2,219 undi.

Sama-samalah kita tunggu dengan penuh debaran, drama cacamarba yang akan dihidangkan BN kepada rakyat Penanti. Apakah jenis habuan yang akan luruh di N12 nanti. Apakah hujan intan dan emas yang maha lebat tanpa didugai akan melanda di Penanti nanti. Walau apapun kemungkinan, rakyat Penanti tetap istiqamah menanti.....

HIDUP RAKYAT!!!