28 April 2009

CATATAN DARI TANAH SUCI

Pada 16 April 2009, saya bersyukur kerana berkesempatan menjadi tetamu rumah Allah. Alhamdulillah, walaupun cuaca mencecah lebih 40 darjah Celcius, saya dan isteri dapat menunaikan ibadah umrah tanpa gangguan.

Maha Besar Allah yang telah menjadikan Baitullah tempat pertemuan umat dari segenap pelusuk dunia. Walaupun berkesempatan bertemu warga Afrika, Arab, Pakistan dan sebagainya tetapi saya bertemu juga dengan orang Perak.

Inilah yang melucukan ketika saya dalam perjalanan balik ke tanahair. Di Jeddah, saya berjumpalah dengan yeop ni -yang jugak seorang Datuk. Orang bergelar juga. Umnonya tebal berkarat juga.

Yang menariknya, si Yeop Perak ini tak kenal saya. Maka berceritalah kome-kome ini tentang pergolakan politik di Perak. Katanya, di Perak kita mesti terus pertahankan dengan apa cara sekalipun pemerintahan BN termasuk menggunakan istana. Sebab itu sahaja peluang yang kita ada. Katanya lagi, kalau buat pilihanraya dan pulangkan kepada rakyat -mampuslah kita.

Jadi ini adalah sekelumit catatan perjalanan saya ke tanah suci. Tetapi cerita politik tetap menjadi perhatian saya. Namun sebagai orang PKR -keadilan adalah menjadi tonggak pegangan. Yang menjadikan saya bersyukur ialah sampai di sini pun Allah tunjukkan keadilan!

Oleh itu, orang-orang Perak sedarlah bahawa kerajaan boneka BN itu hanya sementara sahaja. Mereka tidak dapat lari daripada hambatan rakyat. Apabila sampai masanya, rakyatlah tuan yang akan menentukan siapa yang layak memimpin mereka.

HIDUP RAKYAT!!!

17 April 2009

KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN

Mahkamah Persekutuan, pada 16 April 2009, telah memutuskan bahawa tindakan Speaker DUN Perak Sivakumar menggantung MB Perak Zambry dan 6 Exconya daripada menghadiri sidang DUN dibatalkan.

Dengan keputusan tersebut rakyat dan penyokong Pakatan Rakyat terpaksa menerima keputusan mahkamah tersebut dengan pelbagai persoalan.

Pertama, salah satu daripada manifesto PR adalah untuk memastikan demokrasi hidup subur di dalam sebuah negara bernama Malaysia yang merdeka di mana hak-hak rakyat terbanyak dijamin oleh Perlembagaan. Di dalam prinsip tersebut hak rakyat untuk memilih kerajaan dan pemimpin dijelaskan dan diperakui.

Usaha-usaha pihak tertentu memanipulasi proses demokrasi sehingga dijadikan konflik yang rumit telah berjaya diheret hingga ke makamah. Apabila segala pertikaian yang ‘mudah’ (simple) dirumitkan (complicated) sehingga mengundang campurtangan mahkamah maka kes perlantikan MB Perak ini misalnya telah menjadi perlantikan umum.

Apabila ia menjadi perlantikan umum - tidak dapat tidak ia menjadi topik perbualan dan bahan fikiran orang ramai.

Walaupun dalam perjuangan PR cuba untuk membetulkan sistem pentadbiran di Negara ini dengan berjuang untuk memisahkan di antara kuasa pembuat dasar, perlaksanaan dasar dan kehakiman namun cabaran masih banyak terutama daripada kumpulan–kumpulan yang cuba untuk memastikan dasar ini tidak berjaya dilaksanakan demi kepentingan mereka. Contohnya seperti kes di Perak ini.

Namun sejarah tercipta, di mana negara di dunia sejarah tercatat apabila sesuatu tuntutan rakyat itu tidak dipedulikan maka ianya mencetuskan gelojah sosial yang menambah struktur sosial dan budaya. Dalam sejarah bukan sahaja sistem kehakiman mencatat revokasi sosial dan politik bahkan tidak kurang sejarah mencatat penggunaan kuasa tentera dan polis digunakan untuk menahan kemaraan rakyat. Tetapi kuasa rakyat tetap seperti arus air yang menujah muara lalu membentuk lautan dan ombak serta gelombang kebangkitan rakyat.

Oleh kerana itu banyak negara yang telah berpengalaman mengendalikan ombak kebangkitan rakyat tidak memandang ringan kepada sistem pentadbiran yang dicipta untuk mengurus masalah-masalah seperti itu. Kebanyakan negara yang maju dan stabil politiknya sangat berpegang kuat kepada sistem yang menggariskan hak dan kuasa rakyat. Menafikan hakikat sebegitu bermakna kerajaan mengurus negara persis di dalam mimpi.

Mungkin apa yang terjadi di Perak merupakan mimpi-mimpi pemimpin tertentu sedangkan rakyat dan PR berpijak di bumi nyata. Rakyat mahukan perubahan dan menuntut suara mereka diperakui. Pulangkan isu rakyat kepada rakyat, merekalah yang berhak menentukan.

HIDUP RAKYAT!

16 April 2009

KABINET NAJIB & SATU MALAYSIA

Rakyat sekali lagi meneropong tingkah dan onah Najib dengan pengumuman kabinet barunya. Kononnya atas nama perubahan dan tuntutan pembaharuan dengan bangganya Najib mengumumkan barisan kabinet ke arah merealisasikan konsep ‘One Malaysia’ atau Satu Malaysia.

Sebelum pengumuman yang diwar-war mengejutkan media arus perdana, Najib mengumumkan satu dasar ‘One Malaysia’ atau Satu Malaysia untuk mungkin meredakan ombak dan badai serta halilintar ‘suara rakyat, suara keramat’. Seruan ‘ Mohon Restu Rakyat ‘ nescaya tidak berhasil.

Itulah natijahnya apabila sesuatu dasar itu tidak ‘original’ (asli). Itulah implikasinya apabila ‘cakap’ yang keluar itu tidak daripada ‘niat’ yang sebenarnya. Apabila di dalam qalbu pemimpin itu terdapat ‘hubud takli’ (kecenderungan meniru) maka apa yang diucap akhirnya tidak sama dengan apa yang dibuat atau cakap tak serupa bikin.

Hujah ini dapat dibuktikan betapa seorang pemimpin nombor wahid Negara melakukan penipuan paling halus terhadap rakyat di dalam pengumuman barisan kabinet barunya.

Pertama, konsep Satu Malaysia yang diwar-warkan persis omongan kosong untuk mengaburi mata rakyat. Retorik idealisme yang tidak berpijak di bumi nyata. Lihatlah betapa barisan kabinet itu tidak mengambil kira konsep tersebut di mana beliau masih terikat dengan sistem kuota majoriti Umno, buang barisan yang menggambarkan negeri-negeri serta kaum-kaum yang dapat memancarkan pantulan ‘Satu Malaysia’.

Sementara itu, yang dipilih langsung tidak menggambarkan pilihan rakyat. Betapa Najib tanpa segan silu melanggar prinsip demokrasi dengan memilih mereka yang tewas dan kecundang serta ditolak rakyat sebagai anggota kabinetnya. Yang minoriti diangkat memimpin yang majoriti.

Betapa seorang pemimpin nombor wahid Negara cuba mengimplimentasikan sistem autokrasi dalam demokrasi. Laku dan lagak Najib persis pemimpin-pemimpin Zionis yang mencari jalan menghalalkan cara. Beliau cuba menyerapkan penghayatannya terhadap Machiavelli dalam corak pentadbirannya. Itulah akibatnya apabila seseorang pemimpin itu lahir daripada naungan dan telunjuk sang pemimpin zalim dan maha firaun seperti Mahathir.

Apabila barisan kabinet yang dipilih ditolak oleh rakyat setelah mereka kecundang dalam pilihanraya, mereka tidak mempunyai kekuatan. Maka proses pemusatan kuasa itu akan menjurus kepada Najib seorang. Para Menteri-Menteri yang masuk dari pintu belakang diingatkan jangan ghairah, lantas kalian akan digugurkan.

Inilah yang ditentang oleh rakyat. Seluruh rakyat inginkan pengagihan kuasa. Ia tidak harus tertumpu kepada seorang atau dua kerat pemimpin sahaja. Rakyat berkehendakkan menteri yang berkarismatik. Yang berakal bernas. Yang berdaya tahan dan diperakui oleh rakyat - bukan diperakui oleh dua tiga kerat pemimpin atasan.

Demokrasi adalah jalan terbaik memilih yang cemerlang dikalangan terbilang. Memilih mereka yang kecundang bermakna menafikan konsep “One Malaysia” yang hendak diketengahkan.

Oleh itu, pembukaan tirai pemerintahan Najib telah terlihat kecacatan. Telah dipertikaikan keikhlasan. Tanpa keikhlasan rakyat yang hendak dipimpin di bawah akan tawar hati dan hambar motivasi. Dirangsang rakyat tidak ghairah. Di arah rakyat tidak menurut perintah. Dirayu rakyat akan layu.

Dalam Islam, pemimpin itu adalah imam. Rakyat adalah makmum. Sebelum imam ingin melakukan ibadah; ianya mestilah bersih (bersuci). Kredibiliti imam jangan sampai dipertikaikan makmum. Kalau ada kotoran-kotoran di badan, hendaklah dibersihkan. Makmum sebenarnya terhidu najis yang busuk. Kalau tidak, seluruh ibadah kita akan rosak.

Dalam konteks kenegaraan, rakyat menuntut pembelaan dan terlalu besar cabaran Negara pada masa mendatang. Dengan cabaran merundumnya ekonomi global serta porak perandanya sistem pengurusan Negara oleh pemimpin sebelum ini, rakyat mengharapkan susunan kabinet yang ampuh. Namun kalau beginilah yang dihidangkan, rakyat pasti akan terus mendesak perubahan.

Rakyat tahu dan cukup menyedari mandat yang mereka berikan melalui undi pilihanraya sudah tidak diendahkan. Slogan ‘One Malaysia’ bukanlah bermakna ‘penyatuan dan kesatuan suara rakyat’. Slogan ini bermakna ‘kuasa Malaysia hanya pada satu orang’ iaitu PM dan penasihat di belakangnya, Mahathir.

Najib sebenarnya mengundang ‘suara keramat’ dari rakyat. Apabila suara rakyat bertempik kelak, akan gegar gempitalah bumi Malaysia ini, sebab, rakyat adalah tuan di bumi bertuah ini.

HIDUP RAKYAT!

13 April 2009

‘MOHON RESTU RAKYAT – BN.....’

Klasiknya pilihanraya kecil di Bukit Selambau dan Bukit Gantang ialah tema kempen BN iaitu ‘Mohon Restu Rakyat’. Mungkin ramai yang tidak sedar apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Ramai yang terkhilaf dan mungkin tidak peduli langsung. Tetapi yang jauhari yang mengenal ma’nikam tentu tercuit di benaknya – mengapa BN memilih tema ini untuk berkempen kali ini.

Senario pilihanraya sebelum apa yang diistilahkan oleh banyak pihak sebagai ‘tsunami politik’ pada tahun 2008 memang telah membuka mata BN. Selama ini mereka mendabik dada, ‘bersultan di mata, beraja di hati’. Calon-calon mereka yang bertanding sebelum ini ‘letak bajupun boleh menang’. Tidak kira siapa dan apa latar belakangnya. Yang pekung penuh di badan. Yang sopak seluruh anggota. Yang barah bernanah. Yang namanya busuk dan haprak. Yang tanpa segan silu mempamirkan segala kemewahan peribadi kepada pengundi-pengundi semasa turun berkempen – semuanya tidak menjadi masalah. Bertandinglah di atas tiket BN, pasti akan menang. Slogannya ketika itu ‘Undilah Barisan Nasional’.

Kalau ditinjau dari sudut bahasa, slogan bertujuan mempengaruhi orang ramai. Sama ada slogan itu ‘mengarah’, ‘merayu’, ‘meminta’ atau lainnya bergantung kepada kajian yang dibuat keatas ‘character’ (sifat) iklan tersebut ditujukan. Yang ‘pelik bin ajaibnya’ selama ini BN menggunakan ‘elemen paksaan/ugutan’ di dalam slogan-slogan pilihanrayanya dengan ‘Undilah BN’ tetapi kali ini satu hal yang aneh ialah ‘Mohon Restu Rakyat’.

Ada dua kemungkinan di sini, pertama adakah selama ini BN memaksa/mengugut rakyat mengundi kerana rakyat tiada pilihan lain sebelum era wujudnya Barisan Alternatif atau Pakatan Rakyat. Maka dengan itu BN seolah-olah memberitahu rakyat inilah satu-satunya parti yang mesti dipilih oleh rakyat.

Kedua, adakah selama ini BN melaksanakan pilihanraya hanya untuk ‘menghalalkan demokrasi’ yang menjadi tonggak perlembagaan negara sedangkan hakikat demokrasi sebenarnya tidak wujud. Maka rakyat tidak diberi pilihan kecuali ‘Undilah BN’.

Justeru itu, setelah wujudnya kesedaran rakyat dan lahirnya Barisan Alternatif atau Pakatan Rakyat maka kedudukan BN sekonyong-konyong tergugat. Rakyat tiba-tiba menjadi pintar. Rakyat semakin tajam matahati, sensitif kepada persekitaran dan perkembangan politik semasa. Dalam diam tidak diam rakyat menuntut bermacam-macam perubahan. Rakyat tidak segan-segan menolak politikus yang bercendawan, berpekung, berbarah dan mengidap bermacam-macam penyakit.

Sesungguhnya BN telah sedar bahawa rakyat telah muak dan mual dengan retorik politik yang menjadikan rakyat titian ahli-ahli politik menyeberang ke gunung kemewahan peribadi, memperlakukan rakyat sebagai jambatan ke arah cita-cita pemimpin memperkaya diri sendiri, keluarga dan kroni, merompak hak rakyat dengan menyelinap atas kuasa politik. Akhirnya rakyat sedar pemimpin-pemimpin BN menari dan bersuka ria di atas kesengsaraan rakyat.

Rakyat bawahan berhempas pulas mengerah keringat pagi dan petang kekadang hingga ke malam untuk mencari sesuap nasi. Sementara pemimpin BN dan kroni bermewah-mewah menghabiskan wang yang seolah-olah tidak terhabis-habis. Rakyat bawahan melihat bagaimana pemimpin-pemimpin BN menaburkan wang setiap kali berlaku pemilihan parti kerana daripada jawatan parti yang mereka kuasai, mereka akan dapat peluang menjadi menteri, timbalan menteri, wakil rakyat atau wakil kepada menteri-menteri. Justeru itu, mereka akan menang atas slogan ‘Undilah BN’. Rakyat tiada pilihan. Hanya satu, hanya itu yang dapat menjamin kehidupan rakyat kononnya.

Tetapi selepas lahirnya slogan ‘Suara Rakyat Suara Keramat’ sekonyong-konyong BN tergugat. Lima negeri tumbang, di negeri-negeri lain keadaan tidak menjaminkan. Tiba-tiba parlimen bergegar. Wakil-wakil rakyat BN tidak boleh lagi ‘bersultan di mata, beraja di hati’. Rakyat telah sedar bahawa ‘sembah derhaka’ pun halal diucapkan kalau ‘berani kerana benar, takut kerana salah’. Rakyat tahu pemimpin macam mana yang hendak dipilih kerana ‘benih yang baik campak ke laut menjadi pulau’, pemimpin yang baik dipenjara menjadi mulia, difitnah tetap terbongkar kebenaran, diinjak-injak menjadi perkasa.

Maka setelah dikumpul segala pengkaji sosial dan penganalisa politik serta bijak pandai pembelit diungkapkanlah ‘Mohon Restu Rakyat’ sebab selama ini rakyat tidak pernah merestui mereka. Rakyat tidak diberi pilihan. Rakyat diugut, ditipu dan diakal-akalkan.

Namun, rakyat tidak selamanya sedangkal akal mereka. Rakyat telah celik politik. Rakyat telah ‘terang lagi bersuluh’. Oleh itu, restu rakyat tidak lagi mereka perolehi. Rakyat terus menolak dan menentang. Jadi cukuplah pemimpin BN – bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan sehelai daun.

HIDUP RAKYAT......