11 August 2008

Dasar Automotif Nasional

[ Soalan Parlimen: Jawab bertulis ]

Meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan:

a) Perkembangan terkini penggubalan kajian terhadap "Dasar Automobil Nasional"; dan
b) Bilakah dasar berkenaan akan dibentangkan.

Jawapan Menteri:

Tuan Yang di-Pertua

Dasar Automobil nasional telah diumumkan oleh kerajaan pada 22 Mac 2006. Dasar ini mengandungi enam objektif dan beberapa langkah kerajaan ke arah membangunkan lagi sektor automotif tempatan ke arah industri automotif negara yang lebih mapan, berdaya tahan dan berdaya maju seperti berikut:

1. Menggalakkan industri automotif tempatan yang kompetitif dan berdaya tahan terutamanya pengeluar tempatan;
2. Membangunkan Malaysia sebagai pusat atau hab automotif serantau dalam bidang-bidang khusus;
3. Menggalakkan peningkatan nilai tambah secara mapan serta pembinaan keupayaan tempatan;
4. Menggalakkan peningkatan tahap eksport kenderaan dan kompenen yang kompetitif di pasaran dunia;
5. Menggalakkan penyertaan Bumiputera yang kompetitif di pasaran dunia; dan,
6. Menjaga kepentingan pengguna dengan manawarkan produk yang selamat dan berkualiti pada harga yang berpatutan.

Bagi memastikan pelaksanaan dasar tersebut, kerajaan telah mengambil langkah-langkah berikut:

1. Memupuk dan menyokong pembangunan sektor automotif tempatan melalui pakej geran dan insentif yang komprehensif seperti Dana Pembangunan Automotif;
2. Menggalakkan inisiatif rasionalisasi pengedar dan pembekal komponen automotif untuk mewujudkan struktur industri yang lebih kompetetif;
3. Menggalakkan industri untuk menubuhkan usahasama strategik antarabangsa; dan,
4. Menggalakkan industri meningkatkan skala pengeluaran dengan mengeluarkan model-model untuk segmen pasaran khusus dan meninggikan rangkaian industri dengan menggunakan komponen automotif tempatan.