29 July 2008

Potensi Ubat Tradisional

[Soalan Parlimen: Jawab Bertulis]

Meminta MENTERI KESIHATAN menyatakan:

a) Dalam menangani penyakit kronik, apakah rancangan kerajaan untuk menggunakan ubat-ubatan tradisional seperti yang berasaskan herba; dan

b) Bentuk-bentuk bantuan pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang boleh atau telah diberikan untuk mengembangkan sektor dan penggunaan kaedah tersebut.

Jawapan Menteri:

Tuan Yang di-Pertua:

a) Di dalam projek Hospital Integrasi di tiga buah hospital kerajaan yang dipilih menjadi perintis, perkhidmatan penggunaan herba sebagai rawatan sampingan untuk pesakit kanser telah dimulakan dan sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan. Perkhidmatan yang dimulakan di dalam projek ini dipilih kerana berdasarkan bukti saintifik yang kukuh (evdence-bases practice).

b) Untuk membangunkan dan memajukan lagi sektor penggunaan ubat-ubat tradisional berasaskan herba ini, Kementerian Kesihatan telah memperuntukan sejumlah peruntukan kepada Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) untuk menjalankan penyelidikan ke atas herba-herba yang berpotensi untuk dimajukan sebagai ubat-ubatan. Sebuah pusat penyelidikan khas iaitu Herba Medicine Research Centre di bawah Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan beberapa penyelidikan menggunakan peruntukan tersebut. Selain dari itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), beberapa buah syarikat swasta dan juga WHO turut menyumbang sejumlah dana bagi tujuan tersebut.

17 July 2008

Pelancongan di pesisir pantai

[Soalan Parlimen: Jawab Lisan]

Meminta MENTERI PELANCONGAN menyatakan:

a) Sekurang-kurangnya lima sebab utama mengapa banyak kawasan pelancongan berpantai dan pesisir pantai kini ada tanda-tanda mengalami kemerosotan kedatangan pelancong;
dan

b) Strategi dan perancangan bagi memastikan peningkatan kemajuan tahap industri pelancongan di kawasan tersebut.

Jawapan Menteri:

Tuan Yang Di-Pertua,

a) Untuk makluman YB, kawasan pelancongan berpantai dan pesisir pantai di Malaysia sebenarnya tidak mengalami tanda-tanda kemerosotan dari segi jumlah kedatangan pelancong.

Sebaliknya Kementerian Pelancongan menegaskan bahawa kawasan pelancongan berpantai dan pesisir pantai di Malaysia sentiasa mendapat tempat di kalangan pelancong-pelancong tempatan dan luar negara di negara ini.

Sebagai contoh, jumlah bilangan pelancong di kawasan pelancongan berpantai di Port Dickson telah meningkat sebanyak 3.06% dari 1 ,227 ,304 orang pada tahun 2006 kepada 1 ,264 , 896 orang pada tahun 2007.

b) Antara strategi dan perancangan yang diadakan bagi terus meningkatkan kemajuan tahap industri pelancongan di kawasan pelancongan berpantai dan pesisir pantai adalah;

i) Mengadakan promosi kawasan pesisir pantai melalui penganjuran acara-acara yang dapat menarik hati pelancong-pelancong,

ii) Menaik-taraf kemudahan-kemudahan serta infrastruktur di kawasan-kawasan tersebut, dan

iii) Mengadakan aktiviti-aktiviti sukan berpantai di peringkat antarabangsa.

08 July 2008

Sektor Swasta Sebagai Indikator Memacu Ekonomi dan Demokrasi

Ucapan DKBA dalam perbahasan Kajian Separuh Penggal Pertama, Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).

***
Tuan Yang Di-Pertua,

Adalah menjadi langkah pro-aktif di mana-mana negara maju apabila sektor swasta diberi peranan utama memacu ekonomi, dan perkara tersebut jelas tergambar sebagai hasrat di dalam Kajian Separuh Penggal kedua, Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9).

Peranan sektor swasta sesungguhnya adalah kayu ukur bagi menilai tahap kesuburan demokrasi itu sendiri. Kalau sektor swasta dapat berkembang subur, maknanya tahap demokrasi negara kita berada dalam keadaan yang relatif baik.

Tetapi sekiranya peranan sektor swasta menguncup, maknanya ada yang tidak kena di bawah sistem demokrasi hari ini. Begitulah teras hujah pakar ekonomi dan pemenang anugerah Nobel, Amatya Sen di dalam bukunya “Development as Freedom” yang antara lain menyingkap bagaimana kelembapan atau kekangan ekonomi di sesebuah negara berpunca daripada sikap dan dasar sesebuah kerajaan yang terlalu takut dengan perkembangan sektor swasta, sebagai simbol kebebasan, sehingga sering campur tangan secara berlebihan di dalam sektor tersebut. Campur tangan sedemikian dianggap sebagai “tangan ghaib” yang sering mengganggu pasaran.

Realiti Perkembangan Sektor Swasta

Tentulah wajar untuk kita bertanya mengapa sasaran awal pertumbuhan sektor swasta setakat ini di dalam RMK-9 gagal dicapai sepertimana yang disasarkan iaitu pada kadar 11.2%. Meskipun indikator menunjukan bahawa sektor berkenaan mencatat lebih 0.8% daripada sasaran yang telah direndahkan kepada hanya 9.8% adalah sebahagian daripada bukti bagaimana proses perubahan politik yang diwar-warkan oleh parti pemerintah masih tidak memberi kesan positif sekurang-kurangnya kepada pertumbuhan di dalam sektor tersebut.

Saya percaya bahawa setiap daripada ahli-ahli yang berhormat di dalam dewan yang mulia ini ingat bagaimana pihak pemerintah telah mengecam hebat pandangan untuk meminjam wang daripada International Monetary Fund (IMF) apabila negara dilanda krisis kewangan hampir 10 tahun lalu. Atas semangat patrotik, saya percaya sahabat-sahabat daripada Pakatan Rakyat juga tidak bersetuju sepenuhnya untuk kita tergopoh-gapah mengambil wang daripada mana-mana pihak luar seandainya maruah dan kedaulatan negara boleh terkorban.

Fakta menarik yang ingin saya ketengahkan hari ini ialah bagaimana tahap pertumbuhan ekonomi negara-negara serantau seperti Indonesia dan Thailand yang 10 tahun lalu terpaksa mengambil wang dan menerima syarat-syarat ketat daripada IMF, kedua negara berkenaan muncul sebagai kuasa baru pertumbuhan ekonomi dan mula meninggalkan Malaysia.

Kita juga tahu bagaimana sebelum ini, Thailand, atau apatah lagi Indonesia jauh ketinggalan berbanding kita. Yang jelas hilang kedaulatan daripada sikap degil dan sombong yang mahu mengekalkan “dasar perlindungan” yang keterlaluan adalah diri kita sendiri, dan yang ‘hilang pulau’ adalah diri kita sendiri.

Sekalipun benar kita mengambil keputusan untuk tidak mahu menerima sesen pun wang daripada sumber luar, walau akhirnya kita meminjam dari negara Jepun, namun itu bukan bermakna kita perlu mengekalkan dasar-dasar ekonomi yang salah hanya atas alasan mahu menyelamatkan syarikat nasional yang sama sekali bertentangan dengan sistem ekonomi pasaran. Antara syarat ketat IMF ialah menuntut agar kerajaan daripada negara-negara peminjam menjadikan dasar fiskal mereka benar-benar telus yakni transparent dan accountability [dengan izin]. Inilah dua prinsip utama di dalam konsep urus-tadbir yang baik, atau apa yang disebut sebagai [dengan izin] “good governance”.

Secara makro ekonomi, kita saksikan juga bagaimana sektor perkhidmatan kini telah mengambil alih peranan sektor pembuatan sebagai penyumbang utama kepada KDNK. Saya percaya rakyat boleh menerima kesan perubahan dasar yang memberi impak positif, tidak kiralah daripada sektor mana sekalipun.

Perlu diingatkan di sini bahawa kita bukan tidak pernah saksikan bagaimana transisi pergantungan ekonomi pernah beberapa kali berkali berlaku sejak 50 tahun lalu. Misalnya, selurus selepas merdeka, kita bergantung kepada sumber bahan asli seperti bijih timah dan arang batu. Dari sana, kita berangkat kepada pergantungan terhadap sektor pertanian sebelum kerajaan kemudiannya memperkenal beberapa dasar seperti “Dasar Pandang ke Timur”, “Dasar Penswastaan” dan “Dasar Perindustrian”.

Hanya apabila hampir 30 tahun kemudian barulah kita seolah-olah sudah terhantuk baru hendak terngadah apabila melihat periuk nasi rakyat kekurangan beras. Demikian juga apabila kita disentap oleh krisis makanan antarabangsa yang dikatakan sebagai “silent tsunami” [dengan izin] yang mana amarannya telah diberi pakar-pakar antarabangsa lebih 15 tahun lalu.

Asas keyakinan bahawa dunia akan mengalami krisis makanan adalah apabila negara-negara utama pengeluar makanan mulai berpindah kepada sektor pertanian kepada sektor-sektor lain yang dianggap lebih cepat mendatangkan keuntungan. Malaysia adalah salah sebuah negara yang diperhatikan mulai tidak lagi memperdulikan ribuan hektar tanah sawah di seluruh negara yang ada di antaranya kini didirikan kilang atau menjadi kawasan taman perumahan.

Tuan Yang Di-pertua,

Pengujudan “Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara” yang dikatakan bagi memastikan bekalan makanan domestik terjamin mencukupi dibimbangi hanya tidak lebih sekadar satu lagi lubuk birokrasi dan ad hoc bukannya penyelesaian sebenar.

Dengan sekian puluh, atau barangkali ratusan dasar-demi-dasar, polisi-demi-polisi, tetapi dalam banyak hal yang asas sekalipun kita gagal menyelesaikannya. Oleh itu saya bimbang beras tetap tidak cukup, harganya tetap akan mahal, minyak sawit tetap selalu kering, dan dasar-demi-dasar yang diberikan solekan baru adalah ruang untuk bermaharajalelanya rasuah dan korupsi. Apakah kita sedang melakukan kesilapan yang sama, dan bakal menyaksikan anak-cucu kita masuk ke lubang ular yang sama juga?

Usahlah terlalu cepat berbangga apabila sektor perkhidmatan sebagai sub-sektor di bawah sektor swasta yang kini dikatakan sebagai penyumbang utama kepada KDNK. Meskipun ianya kini menjadi pemain utama, tetapi bukan kerana kehebatan sektor berkenaan itu sendiri yang benar-benar bersaing dengan sektor pembuatan, tetapi rupa-rupanya sektor pembuatan itulah yang sesungguhnya semakin melemah.

Apa tidaknya… tatkala sektor pembuatan mencatat pertumbuhan hanya 3.5% iaitu separuh lebih rendah daripada sasaran pindaan pada 4.1% dan jauh lebih tidak tergapai daripada sasaran awal iaitu 6.7%.

Angka-angka yang tersembunyi begini sesungguhnya juga memberi penunjuk ekonomi di mana Foreign Direct Investment (FDI) khusus untuk sektor pembuatan dan pengilangan tidak lagi memilih Malaysia sebagai destinasi perniagaan mereka. Seperti yang saya sebutkan tadi, pelabur-pelabur luar bukan hanya memandang pada kadar upah yang competent dan competitive [dengan izin], tetapi ukuran mereka juga kepada ruang kesuburan demokrasi itu sendiri.

Kekurangan kemasukan pelabur bagi sektor pembuatan, termasuk kepada penyediaan infrastruktur sebenarnya masih memberi ruang cukup luas kepada syarikat-syarikat tempatan untuk memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan. Justeru perlu digalakkan dengan bantuan-bantuan dan insentif-insentif supaya mereka ini berjaya.

Rakyat kini hidup di bawah keperitan apabila harga minyak melambung tinggi. Sekalipun kerajaan tidak ada pilihan untuk tidak menaikkan harga petrol, mengapa syarikat-syarikat milik rakyat tempatan sendiri gagal untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam sedangkan sejumlah besar peruntukan telah diumumkan oleh Perdana Menteri daripada wang subsidi minyak yang dipindahkan kepada usaha untuk meningkat kualiti pengangkutan awam.

Sekali lagi kita berhadapan dengan soal konsep urus-tadbir yang baik. Kerajaan sehingga kini gagal untuk mengumumkan secara terperinci, bukan sahaja senarai syarikat-syarikat yang diberi hak atau tender terhadap projek tersebut, dengan tender terbuka dan adil, tetapi kerajaan juga gagal menyatakan jumlah wang dan setiap ringgit yang telah digunakan; ke mana ianya digunakan?

Kos Pengurusan Kekal Tinggi

Sekali lagi kita boleh mengukur demokrasi dengan mengukur belanjawan dan perbelanjaan sesebuah kerajaan terhadap sektor awamnya. Selain sekian banyak sektor yang tidak mencapai tahap sasaran awal, perbelanjaan mengurus pula terlebih daripada sasarannya.

Kos pengurusan dikesan masih tetap juga tinggi sekalipun sekian banyak badan awam telah pun diswastakan sejak lebih 25 tahun lalu. Cukup aneh apabila impak yang diharap daripada penswastaan sewajarnya mengurangkan kos mengurus oleh kerajaan, dengan wang lebihan itu bolehlah digunakan untuk membuat projek-projek pembangunan ataupun menambah subsidi minyak.

Ternyata beban kerajaan masih terlalu besar untuk perbelanjaan mengurus apabila dalam penelitian kajian penggal pertama ini, ianya melebihi 0.1% daripada sasaran awal iaitu 19.1%, sedangkan dalam masa yang sama pendapatan kerajaan tidak pula mencapai sasaran awal iaitu kurang 0.1% daripada 21.9%. Dalam kata mudah, pendapatan tidak bertambah tetapi perbelanjaan meningkat.

Perlu saya ingat bahawa hanya negara-negara yang dikatakan sebagai negara autokratik sahaja seperti Singapura dan Israel yang perbelanjaan mengurusnya tetap tinggi. Negara-negara yang demokratik, pemerintahnya tidak perlu wang yang terlalu besar untuk mentadbir negara apabila peranan sektor swasta dapat bergerak dengan lancar dan benar-benar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Dato' Yang Di-Pertua,

Sesungguhnya kita tidak punya cara lain untuk membangunkan negara melainkan memperbaiki sistem demokrasi itu sendiri sebagai “political will”, bergerak daripada amalan politik intrik dan fitnah, menuju kepada gagasan ekonomi-politik yang kreatif dan berprinsip.

Sekian. Terima kasih.